Bahkan, muzik video yang baru saja dimuat naik pada 4 Ogos lalu telah mencecah dua juta tontonan dalam tempoh yang singkat berbanding lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini.

Zizan atau Mohd. Razizan Abdul Razak yang berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata, pada awalnya dia begitu khuatir memikirkan penerimaan peminat terhadap karya nukilan Alif Magic Potions itu.

“Ini kerana pendekatan yang digunakan dalam karya ini amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan konsep dulu yang masih memaparkan sisi humor saya.

“Kali ini, Kau Takkan Tahu lebih kepada mendedahkan sisi serius saya, satu transisi karakter yang tidak dikenali oleh kebanyakan para peminat saya.

“Sebab itulah saya takut jika mereka tidak boleh menerima pembaharuan yang ingin ditampilkan,” katanya kepada Mega HITS baru-baru ini.

Tambah Zizan, menerusi karya tersebut, dia turut berkolaborasi dengan penyanyi baharu iaitu Melda yang melatari hampir sebahagian lagu itu.

Katanya, lagu berkenaan menceritakan kisah pasangan kekasih yang diselubungi rasa syak wasangka sehingga menggagalkan hubungan cinta mereka.

“Apapun, saya masih mengekalkan konsep hip hop yang menjadi ‘makanan’ saya kerana lebih selesa dengan genre itu.

“Pembaharuan yang saya buat cuma terhadap konsep klip video dan juga liriknya yang lebih berat memandangkan sebelum ini, lirik lagu saya lebih bersifat jenaka dan satira,” katanya.

Menjelaskan lebih terperinci mengenai perubahan yang dibawakan, Zizan akui, dirinya masih seorang pelawak cuma sebagai individu, dia inginkan satu evolusi dalam kariernya.

“Mungkin ada yang mengatakan penampilan saya dalam lagu ini lebih matang dan saya tidak menafikannya.

“Saya sudah tempuhi pelbagai fasa dalam kerjaya seni sepanjang sedekad bergelar artis dan seboleh-bolehnya, saya mahu berganjak dari tampuk lama,” hujah Zizan menyatakan pendirian.

Bukan kisah peribadi

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai karya baharunya itu, Zizan enggan mengaitkan lagu tersebut dengan kisah peribadinya.

Apatah lagi apabila ditanya tentang perkembangan kisah cintanya dengan aktres jelita, Mira Filzah yang heboh diperkata kebelakangan ini.

“Lirik lagu ini adalah rekaan semata-mata. Jika ada kena mengena dengan sesiapa, itu hanyalah kebetulan sahaja,” ujar Zizan.

Dalam pada itu, menyentuh hubungannya dengan Mira Filzah, 25, Zizan sedaya upaya cuba mengelak dengan cara baik untuk berbicara mengenai hal tersebut.

“Buat masa ini, belum ada lagi sebarang perancangan serius untuk upacara pernikahan.

“Saya rasa rakan-rakan media semua faham situasi yang saya maksudkan.

“Biarlah saya selesaikan satu persatu dan harap diberi sedikit privasi untuk mendiamkan dahulu perkara ini.

“Jangan risau, insya-Allah bila tiba masa yang sesuai saya akan umumkan kepada semua dan berjanji tidak akan berahsia tentang berita baik itu,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini, Zizan memberitahu, dia akan muncul dalam filem Polis Evo 2 pada November ini selain berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Indonesia bagi memenuhi jadual seni yang semakin mekar di republik tersebut.

“Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang pengacaraan semakin murah untuk program-program televisyen di sana.

“Saya juga bakal terbabit dalam sebuah filem baharu arahan Ghaz Abu Bakar yang merupakan sutradara untuk Polis Evo dan Polis Evo 2,” tuturnya menamatkan perbualan ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini.