Ameng (Spring), Tia (Jinbara), Ringgo (Arrow) Amir (Ukays), Baggio (Damasutra), Gmie (Screen) dan Zamani (Slam) nekad menjayakan program murni itu. Ia dengan bermatlamatkan mengutip dana buat anak yatim dan gelandangan di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Dalam keras dan kasar suara dan lagu mereka di pentas,ada sisi-sisi lembut

yang tersendiri lalu kemudian membawa mereka kepada penganjuran acara penuh ikhlas ini. Pada Rabu lalu, dalam usaha mempromosikan kerja amal itu, mereka berkunjung ke pejabat Media House Entertainment (MHE) bagi menjayakan program ‘Dari Tingkat 10, Sembang Rockers 90-an'.

Di situ mereka berkongsi cerita tentang dorongan utama mereka untuk terus melakukan amal jariah kepada Pancaindera.

SEJAK kecil, Bahagia Daharun atau Bagio tidak pernah mengenali erti kasih sayang kedua ibu bapa. Allahyarham Daharun Ismail dan Muhibbah Mohd. Noor dijemput Ilahi ketika dia berusia 10 tahun.

Sejak itu, penyanyi lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi dijaga oleh abangnya, Alia. Lelaki itu yang mengambil alih tugas arwah orang tuanya yang mengambil alih urusan persekolahan dan keperluan lain.

“Menjadi anak yatim piatu sejak kecil membuatkan saya hati saya kering, langsung tak ada perasaan. Saya tak tahu makna ucapan hari jadi kerana tak ada sesiapa pun yang mengingati hari jadi saya.

“Jauh sekali nak cerita tentang majlis sambutan hari jadi. Betul, semua itu tak pernah berlaku dalam kamus hidup saya,” kata Baggio.

Nyata kehilangan orang tuanya menjadikan hati lelaki ini bertambah cekal. Dia boleh menempuh apa saja cabaran di hadapannya berdasarkan pengalaman hidup yang perlu dilalui sebelum ini.

Rasa terbuang itu sakit

BERPULUH-puluh tahun lamanya dia ‘dibuang’ keluarga gara-gara terjebak dalam penyalahgunaan dadah, selama itulah jiwanya kosong. Tanpa perhatian daripada orang tersayang menambahkan perasaan perit itu.

Sebenarnya hidup dalam pembuangan itu sangat memedihkan. Dek mengikut perasaan, Shamsul Bakhtiar Zakaria atau Tia terasing dan membazirkan masa mudanya dengan perkara yang kurang berfaedah.

“Saya tahu macam mana keadaan hidup gelandangan itu. Merempat ke sana ke sini semata-mata untuk menumpang berteduh. Makan dan tidur juga tidak menentu, mana yang sempat kita ‘sebat’ (ambil).

“Serba serbi mengharapkan belas ihsan orang sekeliling. Kebergantungan kita dengan barangan terlarang itu menambah teruk keadaan. Sungguh, saya serik tak nak ke zaman itu lagi,” katanya mengenang momen pahit itu.

Perkahwinannya dengan wartawan Suzan Ahmad pada 2009 memulihkan segala-galanya. Dorongan dan motivasi diberikan wanita berkenaan menyedarkan dirinya erti tanggungjawab yang diabaikan selama ini. Selamat tinggal dunia hitam penuh menyesakkan itu. Tia kini sihat sepenuhnya waima tanpa memegang sebatang rokok sekalipun.

Upah menoreh getah

PERPISAHAN kedua orang tuanya sejak kecil menjadikan Mohd. Nizam Pechok atau Nizam berhati kental seperti hari ini. Didikan arwah nenek, Niat Samad melengkapkan jati dirinya sebagai lelaki sejati.

Penyanyi ini sudah diajar untuk berdikari ketika zaman kanak-kanaknya di Kampung Buyau, Seri Menanti, Negeri Sembilan. Kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan mengangkat berat itu sudah biasa buatnya.

“Saya dapat upah sebanyak 90 sen untuk setiap satu kilogram (kg) getah. Paling banyak saya pernah dapat adalah 20 kg. Itu pun ikut musim. Kalau musim hujan, tak banyak boleh dapat.

“Sebagai hadiah, arwah nenek akan beri saya duit lebih saya ke pekan Seri Menanti setiap hujung bulan. Dapat minum cendol dan beli barangan keperluan, itu sudah menggembirakan hati saya,” ujarnya.

Terkesan cerita sedih

PERCAYA setiap nasib manusia itu berbeza, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng tidak pernah lupa untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Tidak kira kepada peminta sedekah, ibu tunggal serta anak yatim, penyanyi lagu Bourgenvilla ini tidak pernah bersikap prejudis. Rezeki yang ada pada waktu itu pasti akan dikongsi.

“Saya pernah didatangi seorang wanita sewaktu mengikuti program memberi makanan kepada golongan gelandangan di ibu kota. Dia bercerita tentang kehidupannya yang sangat susah.

“Sampaikan nak beli barangan wanita sendiri pun tak mampu. Makan, minum dan pakaian anak-anak semuanya mengharapkan simpati daripada orang ramai. Macam mana nak hidup macam itu,” ujarnya.

Biarpun kedengaran pelbagai versi sindiket membabitkan golongan peminta sedekah namun Ameng tidak pernah kisah. Apa yang penting baginya adalah keikhlasannya untuk membantu golongan tersebut. 

Kisah malam Amir

SETIAP kali malam menjelma, Mohd. Azmir Muhammad Yusof atau Amir Ukays pasti berasa risau.

Rumah keluarganya yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur tiada bekalan elektrik dan  itu antara kenangan pahit ketika alam kecilnya.  Oleh itu, segala persiapan untuk menempuh malam yang gelap itu perlu dilakukan segera pada belah petangnya. Pelita juga dipasang lebih awal jika tidak, pasti dia berdepan dengan masalah.

“Saya bukan dilahirkan dalam keluarga orang senang. Arwah orang tua saya berhijrah dari Kampung Luat, Lenggong, Perak ke kawasan setinggan di Sentul, Kuala Lumpur.

“Saya juga pernah berdepan dengan pengalaman cemas sewaktu banjir besar di ibu kota sekitar tahun 70-an dulu. Mestilah risau sebab banjir itu menghanyutkan rumah keluarga kami sekali,” katanya.

Pernah jadi  buruh binaan

DILAHIRKAN dalam keluarga yang susah, Hajimi Ibrahim atau Gmie nekad mahu mengubah takdir kehidupannya. Dia perlu  melakukan sesuatu dalam hidupnya agar tidak terbelenggu daripada masalah kewangan.

Melakukan pelbagai kerja sambilan sewaktu zaman persekolahannya, wang yang diperoleh itu digunakan bagi menampung belanja harian. Sekurang-kurangnya, dia tidak mengharapkan orang tuanya untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

“Rata-rata anak kampung seperti saya ini sudah pandai menoreh getah. Itu kerja warisan daripada orang tua kita. Cuma selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja sebagai buruh binaan.

“Dapatlah upah RM30 sehari daripada tak buat apa-apa. Duit itu yang digunakan untuk menampung belanja harian saya. Takkanlah nak mengharapkan duit orang tua selama-lamanya,” kata anak bongsu daripada 11 adik-beradik ini.

Hitam putih kehidupan

ISU politik yang terjadi pada dirinya menyebabkan nama dan punca rezekinya disekat pada 2008. Kejadian yang menyebabkan Mohd. Zain Ramli atau Ringgo hilang punca pendapatan itu masih diingati pada hari ini.

Selama enam tahun penyanyi itu terpaksa bertungkus-lumus menjana pendapatan buat keluarga.

Rezekinya dilihat semakin pulih sewaktu dia menyertai pertandingan Kilauan Emas pada 2014.

“Macam-macam kerja saya buat sewaktu nama saya disenaraihitamkan itu. Apa saja kerja yang boleh mendatangkan wang, saya buat. Meniaga barangan, menjual makanan dan macam-macam lagi. Keadaan ekonomi saya semakin stabil apabila membuka restoran di Puchong, Selangor. Di situlah rezeki utama yang digunakan untuk menanggung keluarga,” kata Ringgo.