Walaupun Bik Susantik itu dikatakan berasal dari negara seberang, Indonesia, penampilannya dengan rambut kembang yang dilitupi selendang ala datin dalam karya itu, terus menangkap mata setiap audiens yang ketika itu hadir menyaksikan pelancaran trailer filem berkenaan.

Disebabkan kewujudan karakter sedemikian rupa, ia membuatkan wartawan yang hadir cuba mendapat kepastian daripada pengarah filem itu sendiri serta menghubungi Jihan untuk menjawab keraguan media terhadap identiti di sebalik entiti Bik Susantik.

Berkesempatan berbual di telefon serta bermesej menerusi aplikasi Whatsapp, Jihan ketika diajukan soalan itu agak terkejut.

Baginya, tidak terlintas langsung watak yang didukungnya menyerupai individu kenamaan yang dimaksudkan.

Ini kerana, menurut Jihan, ketika di set penggambaran dan mengenakan kostum yang disediakan khas untuk watak itu, tiada seorang pun antara krew produksi menegur ia iras dengan sesiapa, apatah lagi seseorang yang dikenali.

“Awaklah orang pertama yang mengatakan ia serupa dengan pemimpin wanita itu, sedangkan sebelum ini sepanjang penggambaran tidak pernah timbul isu seperti ini. Ketika pelancaran trailer, saya tidak hadir dan tidak mengetahui wartawan ketika itu membangkitkan hal ini terhadap abang Mamat.

“Sejujurnya, sebagai pelakon, saya mendukung watak ini sebaiknya. Karakter tersebut sangat unik dan mempunyai tarikan tersendiri untuk menarik audiens ke pawagam menontonnya.

“Ketika ditawarkan berlakon, selepas membaca skrip yang diberikan, tidak terfikir langsung akan ada isu yang dibangkitkan seperti ini. Mungkin sekadar kebetulan yang tidak dirancang atau disengajakan,” jawab Jihan cuba menangkis persamaan yang dimaksudkan.

Watak rekaan

Sementara itu, Mamat pula ketika ditanya, jawabnya mudah sahaja. Setiap karya adalah sebuah filem cereka yang dihasilkan berdasarkan keadaan atau situasi sekeliling yang dekat dengan jiwa masyarakat setempat, itu katanya.

“Ia perihal pusaka yang diwarisi turun-temurun. Selalunya pusaka yang diwariskan berbentuk harta tetapi dalam filem ini, pusaka tersebut adalah saka. Justeru, disebabkan ia sebuah karya komedi dan suspen, pelbagai karakter dicipta untuk menambahkan kepelbagaian dari sudut plot penceritaan.

“Namun, watak-watak tersebut adalah sekadar rekaan semata-mata untuk menghiburkan penonton, tidak ada kaitan dengan sesiapa yang hidup di muka bumi ini. Jadi, sekali gus tiada niat untuk menyinggung sesiapa. Kalau ada yang sama, ia tidak disengajakan,” jelas pengarah itu.

Menceritakan lebih lanjut mengenai filemnya itu, ia adalah usahasama pertama dengan syarikat produksi Ariabella Sdn. Bhd., selaku penerbit.

Selain Jihan, filem tersebut diterajui oleh Pekin Ibrahim, Bell Ngasri dan Shukri Balas.

Kata Mamat juga, ia sebuah filem ringan sesuai untuk tontonan semua peringkat umur. Pun begitu, pada masa yang sama cuba memberi penjelasan kepada masyarakat tempatan mengenai perihal pusaka secara ilmiah menerusi terapan hiburan.

“Saya berharap, melalui filem ini, orang Melayu khususnya dapat memahami apa itu harta pusaka. Ada fakta ilmiah yang diserapkan tetapi secara komedi. Sebab orang kita lebih berminat untuk ketahuinya dalam bentuk penyampaian yang mudah dan santai,” katanya memberi penerangan.