Menyaksikan gabungan pelakon dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, Sinaran yang diarahkan oleh Osman Ali merupakan antara filem yang dinanti-nanti tambahan pula pelakon Lisa Surihani kembali ber lakon selepas berehat seketika kerana mengandung dan bersalin anak sulung.

Bakal ditayangkan pada 26 November ini, filem yang mengambil judul daripada lagu hits Sheila Majid ini dihasilkan dengan cetusan inspirasi daripada koleksi lagu-lagu hitsnya dan dizahirkan dengan baik oleh barisan pelakon terpilih.

Selain Lisa, Sinaran turut menyaksikan bintang Indonesia, Evan Sanders dan Syarif Sleeq dari Singapura menjayakan filem ini yang menggabungkan elemen muzikal, drama, persahabatan dan percintaan.

Berkongsi cerita mengenai filem dan perkembangan peribadi, bintang utamanya, Lisa dan Evan sempat disatukan dalam satu sesi fotografi khas untuk tatapan pembaca Pancaindera dalam merasai kehangatan filem Sinaran.

Tidak mudah – Evan Sanders

Bintang berusia 34 tahun ini sebenarnya bukanlah orang baharu dalam industri hiburan di tanah seberang.

Merupakan antara pelakon popular di Indonesia, Evan Sanders juga adalah seorang penyanyi dan itu adalah antara kriteria mengapa dia dipilih untuk membawakan watak Andre untuk naskhah ini.

Berkongsi mengenai pengalamannya kata Evan, walaupun sudah biasa menyanyi dan berlakon, dia menganggap naskhah filem muzikal bukanlah semudah yang disangka.

“Selalunya saya buat satu-satu tugas pada satu-satu masa. Kalau menyanyi, cuma menyanyi. Tetapi untuk filem ini, saya perlu menyanyi dan kemudiannya masuk ke set penggambaran dan perlu membuat mimik nyanyian sama seperti yang saya nyanyikan ketika rakaman.

“Bagi saya itu susah dan sangat mencabar,” katanya.

Akui Evan selama ini, dia sering membayangkan bahawa untuk menjayakan sesebuah filem muzikal, pelakon perlu menyanyi secara langsung dan tidak ada rakaman dilakukan sepanjang proses itu.

“Ternyata saya salah. Rupa-rupanya rakaman nyanyian dilakukan terlebih dahulu dan kemudian kita perlu menyanyi ikut rakaman itu.

“Mujurlah lagu itu nyanyian saya sendiri, kalau orang lain yang menyanyi, mungkin lebih kekok untuk saya lakukan kerana yang penting ialah bagaimana saya menyampaikan emosi dalam lakonan dan nyanyian pada satu masa.

“Namun ini bagi saya memberikan satu pengalaman berharga,” katanya.

Tidak cuma itu, kata pelakon yang berasal dari Biak, Papua, Indonesia ini lagi, dia juga melihat tarian sebagai satu cabaran lain untuk dirinya sepanjang terlibat dalam filem ini.

Menganggap dirinya bukan seorang penari profesional, Evan bagaimanapun bersyukur kerana Zaini banyak memberikannya tunjuk ajar meski pada mulanya dia sendiri tidak tahu tarian yang bagaimana perlu dipersembahkan.

“Kalau nak tahu segala tunjuk ajar gerakan tari cuma diberikan oleh jurutari sebelum penggambaran dimulakan. Itulah cabarannya untuk saya. Sudahlah kebanyakan babak saya berlangsung lewat malam.

“Jadi mahu atau tidak, pandai atau tidak, saya perlu lakukannya dengan sempurna walaupun dalam keadaan mengantuk agar saya tak balik lewat,”katanya ketawa.

Melahirkan rasa bangga kerana berpeluang terlibat dalam sebuah naskhah muzikal, kata Evan, semua yang diperankan dalam Sinaran menyaksikan kali pertama buat dirinya.

“Ini adalah kali pertama saya terlibat dengan sebuah karya yang membabitkan tiga buah negara, kali pertama saya terlibat dalam filem bercorak muzikal dan kali pertama saya perlu menari.

“Sangat bernilai untuk saya kerana sepanjang 13 tahun berada dalam industri hiburan di Indonesia, belum pernah lagi saya terlibat dalam sebuah karya begini,” katanya.

Cabaran

Bercerita mengenai cabaran dalam filem Sinaran, Lisa membangkitkan elemen tarian sebagai antara yang menjadi perhatiannya dalam menjayakan watak sebagai Sheila.

Mengaku sudah sedekad meninggalkan dunia tarian balet, Lisa menganggap kemahiran menarinya sudah agak ‘berkarat’ dan itu adalah cabaran yang perlu ditempuhinya memandangkan ini adalah sebuah filem muzikal yang memerlukan dia menari.

“Bayangkan selepas 10 tahun, tiba-tiba anda diminta untuk menari? Tetapi mujurlah tarian pop moden. Kalau disuruhnya saya menari tap, memang saya tak boleh buat.

“Alhamdulillah saya juga dipantau oleh jurutari Singapura, Zaini Tahir untuk menjayakan watak ini namun tidaklah semudah yang disangka,” katanya.

Perlu menjalani sesi uji bakat tarian, kata Lisa, tempoh itu menimbulkan debaran dalam dirinya memandangkan dia tidak diberitahu mengenai jenis tarian yang perlu dibuat.

“Saya diberi lagu dan kemudian diminta untuk menari secara spontan. Terus terang saya cakap, masa itu gementar sebab kena menari di depan seorang jurutari terkenal.

“Mahu atau tidak, saya buat jugalah tanpa fikirkan bagaimana rupa saya ketika menari. Seseorang jurutari akan tahu dari situ sama ada individu itu boleh menari atau tidak dan sejauh mana kita boleh buat.

“Tapi tak sangka, okey pula saya masa itu. Rasa bangga jugalah sebab saya menari kena tempo,”katanya.

Selain itu kata Lisa, dia juga ditawarkan untuk menyanyi namun terpaksa mengenepikan.

“Saya boleh saja menyanyi kalau dari awal mereka minta saya buat. Tetapi tawaran itu datang kemudian, jadi dari segi susunan masa, memang tak sempat untuk saya buat sebarang latihan dan sebagainya.

“Bukanlah saya mahu mengelak daripada menyanyi. Bagi saya, kalau ada pengarah nyanyian bersama-sama, apa salahnya saya terima tawaran itu. Macam dulu, saya boleh saja menyanyi dengan Yusry walaupun dia terpaksa tunggu setahun untuk saya setuju,” katanya dalam ketawa.

Dalam pada itu, kata Lisa, dia juga bertuah dapat kembali bekerjasama dengan Osman yang dianggapnya sebagai seorang pengarah berbakat dan luar biasa.

Yang membuatkan dia cukup menghormati Osman adalah lelaki itu memberi peluang buat semua aktor dan aktres untuk turut sama memberikan input dari segi proses kreatif.

“Osman beri peluang untuk pelakon meneroka sendiri watak yang diberikan, tidak cuma sekadar dapat skrip dan kemudian masuk set. Tidak.

“Dia minta pandangan pelakon juga dan saya suka dengan cara dia. Tidak cuma itu, dia juga begitu menjaga graf lakonan seseorang pelakon itu dari awal sampai akhir penggambaran dilakukan,” katanya yang secara peribadi menyukai naskhah Sinaran ini.

Indonesia - Jerman

Dalam pada itu, kata Evan, dia yang menetap di Jerman sejak lima tahun lalu tidak berdepan dengan masalah untuk terus menerima projek drama atau filem di Indonesia.

Sudah terbiasa dengan situasi berulang-alik dari Jerman ke Indonesia, Evan tidak pernah mahu terus meninggalkan dunia lakonan di tanah airnya lantaran masih mendapat sokongan daripada peminat dan orang dalam industri di sana.

Bagaimanapun tumpuannya buat masa ini barangkali lebih kepada Jerman memandangkan dia sedang dalam proses membuka restoran kedua di negara itu.

“Saya sudah memiliki sebuah restoran di sana dan saya sendiri adalah chefnya. Selepas mendapat sambutan, saya bercadang untuk buka sebuah lagi restoran.

“Sebenarnya pada awalnya saya ke Jerman untuk menyambung pengajian saya di dalam bidang Sains Politik tetapi pengajian saya terhenti setengah jalan dan saya tukar perancangan dengan membuka restoran,” katanya.

Tidak cuma itu, kata Evan. dia juga bersyukur kerana tahun ini menyaksikan banyak tawaran dan peluang kerja untuknya namun dia tidak terfikir untuk kembali menetap di tanah airnya buat masa ini.

Lisa kembali beraksi

Selesai sahaja berpantang selepas melahirkan anak sulungnya, Yahaira Leanne pada 15 September lalu, si manis ini tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuannya kembali memeriahkan dunia lakonan.

Meski sedar ramai yang bertanya mengenai fokusnya kepada Yahaira apatah lagi ini adalah pengalaman pertamanya mengendalikan ‘tugas’ sebagai seorang ibu, Lisa bagaimanapun sukar untuk menolak komitmennya terhadap filem Sinaran yang selesai menjalani penggambarannya sejak tahun lepas.

Kata Lisa, dia amat berterima kasih kepada pihak produksi kerana tidak memaksa bahkan menunggu dirinya untuk benar-benar bersedia kembali ke dalam dunia hiburan setelah melahirkan tempoh hari.

“Saya kembali ke dunia lakonan bukan kerana saya tak boleh duduk diam. Tetapi kerana memikirkan tanggungjawab saya terhadap filem ini. Produksi sanggup menunggu sehingga saya sudah selesai pantang dan kemudian barulah promosi filem ini dijalankan.

“Produksi secara keseluruhannya cukup memahami keadaan saya, takkanlah saya nak ikut perasaan saya sendiri untuk menangguh kerja promosi filem ini.

“Bagi saya komitmen tetap komitmen,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Lisa, dia juga berasa bertuah kerana keputusannya untuk kembali aktif dalam dunia lakonan diterima baik oleh suaminya, Yusry Abdul Halim dan keluarga.

Mengaku bahawa Yusry tidak pernah menghalangnya untuk sebarang keputusan yang dibuat, Lisa memilih untuk kembali bekerja kerana merasakan adalah satu tanggungjawab.

“Saya bertuah kerana Yusry, ibu dan keluarga merupakan sistem sokongan saya yang sangat kuat. Mereka banyak bantu saya setelah saya kini sibuk dengan promosi filem dan kembali bekerja.

“Sebenarnya sama ada saya kembali bekerja atau sepenuhnya menjaga Yahaira, Yusry tidak kisah. Cuma saya yang lihat dan selepas saya buat pertimbangan, dalam keadaan sekarang saya perlu bekerja.

“Kalau keadaan menyebelahi saya untuk menjadi ibu sepenuh masa, saya okey sahaja. Namun itu tidak bermakna saya lepas tangan. Saya juga akan pastikan Yahaira sentiasa dapat susu badan dan saya akan buat selagi boleh untuk dia,” katanya.