Itu yang terjadi kepada pelakon cantik Fathia Latiff yang pernah ‘jatuh tersungkur’ kerana tersilap langkah dalam kehidupan remajanya. Tidak mahu mengenang kembali apa yang sudah berlaku, Fathia mahu jadikan semua itu sebagai satu sejarah.

Kontroversi yang dilalui oleh Fathia, biar ia tersimpan dalam kalendar 2018. Sempena tahun baharu 2019, tutup buku lama, buka buku baharu.

Kepada HITS, secara eksklusif Fathia berkongsi segala rasa dan harapan menjelang lembaran baharu hidupnya.

“Setelah apa yang berlaku (kontroversi) dan menerima kecaman yang bertubi-tubi, saya sedar bukan senang untuk mengembalikan kepercayaan orang.

“Saya juga tidak boleh mengubah pandangan negatif orang. Namun saya berterima kasih kepada semua yang menyedarkan saya daripada terus hanyut ‘merosakkan’ diri.

“Saya akui kesalahan dan kekhilafan yang dilakukan sebelum ini dalam proses mencari makna hidup. Walaupun saya nekad mahu berubah, saya sedar ada yang masih tidak percaya,” tutur Fathia membuka bicara.

Namun pelakon Ariana Rose ini membulatkan hati untuk kembali ke dunia seni kerana hanya itu caranya meraih kembali kebahagiaan yang wujud dalam hidupnya.

“Apa yang mampu saya lakukan adalah minta maaf, maaf dan maaf. Walaupun sudah berulang kali saya melafazkannya, percayalah hati saya jujur dan rendah hati memohon kemaafan tersebut.

“Kalau ada yang masih mempertikaikan perubahan saya dan mengungkit kisah-kisah silam, saya tidak boleh marah kerana itu adalah hak mereka. Siapa saya nak menghalang?

“Secara peribadi, saya pun masih dalam proses memperbaiki kelemahan diri dan menilai setiap komen yang diberikan dalam memuhasabah diri. Kalau boleh janganlah harapkan perubahan mendadak kerana saya tidak boleh meletakkan sebarang tempoh untuk perubahan ini. Semuanya memerlukan masa,” kata Fathia.

Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 31, berulang kali mengingatkan agar peminat tidak meletakkan sebarang harapan, sebaliknya terus mendoakan yang terbaik buat dirinya.

“Saya tidak boleh janji berubah 100 peratus untuk menjadi Muslimah yang sempurna, tapi kalian boleh melihat perubahan saya perlahan-lahan. Dalam masa sama, saya pun tidak mahu berubah disebabkan kecaman warganet. Biar niat mahu berubah itu lahir dari hati sendiri,” tambahnya.

Kontroversi dekatkan diri dengan Allah

‘Tamparan’ kontroversi lalu masih dirasai Fathia apabila tidak mendapat tawaran berlakon selama setahun. Ia bagaikan satu dugaan besar buat dirinya yang sebelum ini digelar ‘ratu drama’.

“Saya akui kira-kira setahun tidak pergi ke set penggambaran. Bila tiada tawaran berlakon, tidaklah saya berasa sedih, cuma terkilan. Dalam hati saya berkata-kata: “Adakah hanya kerana kesilapan lalu semua orang membenci sedangkan saya manusia biasa yang pasti melakukan kesilapan.

“Namun bila difikirkan semula, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kalau situasi ini tidak berlaku, mungkin saya tidak akan belajar untuk menjadi lebih baik dan mengambil serius terhadap kerjaya selama ini.

“Iyalah, sebelum ini saya bekerja untuk keseronokan, tetapi apa yang berlaku menyedarkan saya agar lebih menghargai kerjaya.”

Malah katanya, kontroversi lalu juga membuatkan dia lebih banyak bermuhasabah diri apabila kerap menghabiskan masa di rumah. Secara tidak langsung, dia mendekati Allah dan cuba memperbaiki kelemahan diri menjadi sebahagian keutamaan dalam rutin hariannya.

“Saya juga banyak luangkan masa bersama keluarga dan teman-teman rapat yang sentiasa ada sewaktu saya susah dan senang, Merekalah orang yang tetap menerima dan memimpin saya tatkala ‘hanyut’.

“Saya bersyukur, ketika ramai yang benci dan mencemuh saya, rupa-rupanya masih terdapat kalangan mereka yang ikhlas sayangkan saya dan memberi peluang untuk terus bangkit,” jelas Fathia yang lebih fokus bisnes tudung dan lipstiknya sepanjang 2018.

Salah saya, bukan kawan

Ada sesetengah peminat menganggap kesilapan Fathia ialah salah memilih kawan yang menjerumuskannya ke dalam kontroversi.

“Sejujurnya apa yang berlaku adalah kesilapan saya sendiri, bukan kawan. Saya tak pernah menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku.

“Memang saya salah, tetapi kalau boleh selepas ini jangan menghukum saya terus tanpa mengetahui punca saya jadi begitu. Orang tidak tahu apa yang saya lalui. Secara luaran orang mungkin tengok saya ceria dan happy go lucky, tetapi mereka tidak tahu masalah yang sedang saya hadapi.

“Bila kontroversi berlaku dan orang terus menghukum, saya tidak boleh menghalang dan menganggap itu ujian Allah buat saya yang kerdil ini.

“Bukan sahaja saya, malah kalau ada orang sekeliling anda berhadapan dengan masalah, bantulah dan berilah mereka ruang untuk berubah. Doakan bukannya menghukum,” kata Fathia.

Buang yang keruh

Kehadiran 2019 juga dinanti Fathia dengan matlamat yang positif.

“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Singkirkan semua yang negatif, serapkan segala yang positif. Saya mahu menjadi lebih baik sebagai hamba kepada Allah, serius dalam kerjaya dan bisnes serta lupakan kenangan pahit. Saya berazam tidak mahu sekali-kali mengulangi kesilapan lalu.

“Sebagai selebriti, saya juga bernekad mahu menjadi contoh yang baik kepada masyarakat. Saya minta maaf kerana pernah menunjukkan contoh yang buruk sebelum ini.

“Kalau ada yang pernah rasa lemah semangat seperti saya sebelum ini, kuatkan diri untuk bangkit. Semua orang ada masalah dalam hidup dan percayalah sebaik-baik tempat mengadu adalah Allah. Manusia tidak faham sepenuhnya apa yang kita rasa. Hanya Dia yang tahu segala-galanya,” katanya.

Kini selepas setahun tidak berlakon, penerbit Zeel Production yang dikenali sebagai Haji Zil memberi kepercayaan kepadanya untuk muncul dalam drama Kipas Susah Mati.

“Saya sangat berterima kasih kepada Haji Zil kerana memberi peluang kedua kepada saya. Ini adalah hadiah terbaik sempena tahun baharu untuk saya memulakan langkah semula,” kata Fathia yang pernah muncul menerusi Diandra, Bencinta, Nur kasih, Stanza Cinta dan Dalam Setiap Sujud.

Doakan Aiman bahagia

Fathia juga mengaku sudah lama melupakan kisah dengan bekas kekasihnya pelakon Aiman Hakim Ridza. Kini Aiman sedang bahagia bercinta dengan pelakon Zahirah Macwilson.

“Sejujurnya sudah lama saya move on dengan apa yang berlaku antara kami. Itu kisah lama dan sudah saya lupakan. Setiap orang pasti ada kehidupan silam masing-masing.

“Saya doakan dia bahagia dengan siapa sahaja pilihannya. Sebagai kawan lama saya tumpang gembira apabila dia bahagia. Tiba waktunya nanti, jangan lupa jemput saya ke kenduri kahwin ya!” kata Fathia yang mengaku hatinya masih belum dimiliki oleh sesiapa.