Sejak itu, dia yang baru mengeluarkan single terbaharu Terasa Ada menyimpan hasrat untuk bertemu dengan bintang siri Dalam Hati Ada Taman tersebut.

Pucuk dicita ulam mendatang, keinginan Sufian yang ‘ditagih’ sedari belasan tahun akhirnya dijelmakan oleh trio penyampai Era FM, Johan, Hanif dan Ray (Johara) yang telah merancang satu pertemuan sebagai kejutan.

Siapa sangka, bermula dengan minat, kemudiannya berputik rasa cinta dan sayang yang mekar mengharum sehinggakan kedua-dua selebriti itu mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober lalu di kediaman keluarga Elfira.

“Ibarat mimpi jadi nyata, gadis yang dahulunya diminati di kaca televisyen kini menjadi tunangan saya. Rasa amat bertuah dan beruntung,” ujar Sufian yang kacak mengenakan sepersalinan baju Melayu rekaan Fairuz Ramdan.

Malah, hubungan yang tidak diduga itu mendapat restu keluarganya yang sentiasa mendoakan agar pasangan tersebut dipertemu jodoh dalam kadar segera.

“Begitu juga dengan maklum balas keluarga sebelah perempuan yang amat menyenangkan, sekali gus melancarkan hubungan kami sehinggalah ke hari ini,” tambahnya.

Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Terakhir itu, pada peringkat awal, keluarga Elfira sangat terbuka dalam menerima kehadirannya tanpa membuat penghakiman luaran.

Pendek kata, segala-gala yang berlaku sepanjang lapan bulan perkenalan mereka adalah positif belaka, tiada isu yang mampu membantutkan hubungan dua merpati sejoli itu.

Katanya lagi, status sebagai artis yang digalas kedua-duanya tidak menjadi sebarang masalah, malah diletakkan ke tepi apabila bersama-sama keluarga.

Dalam pada itu, Elfira Loy ketika menjawab pertikaian netizen yang mendakwa pasangan itu begitu terdesak untuk mendirikan rumah tangga, dia sedikit pun tidak melatah.

“Buat apa saya nak mengambil kira kata-kata negatif orang luar, apatah lagi mereka tidak tahu perjalanan hidup kami. Sia-sia sahaja jika mempersoal takdir.

“Paling penting, kedua-dua belah pihak mendapat restu daripada keluarga masing-masing tanpa pernah wujud sebarang masalah,” jawabnya tenang.

Anggun dalam persalinan serba mewah rekaan pereka fesyen terkemuka Rizman Ruzaini, Elfira memberitahu persiapan menjelang hari bahagia mereka masih dalam fasa perbincangan.

Katanya, ada berbaki lima bulan lagi untuk mereka berdua memikirkan secara serius tentang majlis perkahwinan yang telah direncanakan.

“Lokasi dan tarikh sebenar majlis belum lagi diputuskan. Cuma kami sepakat mengadakannya pada Mac 2018 sempena ulang tahun kelahiran saya yang jatuh pada tanggal 8 Mac.

“Secara amnya, saya mahukan sebuah perkahwinan yang intim membabitkan ahli keluarga, sahabat handai, rakan media dan peminat.

“Akan ada tiga buah majlis iaitu pernikahan, persandingan di sebelah keluarga perempuan dan sambut menantu di sebelah keluarga lelaki,” tuturnya terperinci sambil menguntum senyuman penuh bahagia.

Mungkin hubungan mereka tampak singkat, namun menurut Elfira, perkara yang baik wajar dipercepat dan berharap dipermudah oleh-Nya.