Menjelaskan gambar tersebut mempunyai nilai kenangan yang indah, namun bagi Rita Rudaini, 42, ia bukan bermaksud kenangan antara dia dan bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Sebaliknya sebagai seorang ibu, dia tahu anak-anaknya Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, mempunyai hak untuk memastikan gambar kenangan seperti itu sentiasa disimpan rapi.

Malah perkongsiannya itu juga membuktikan dia tidak pernah memadam gambar-gambar yang pernah dirakam walaupun kali terakhir Aidil bertemu dengan dua anaknya itu beberapa tahun dahulu.

“Memang benar gambar yang dimuat naik itu mempunyai nilai sentimental buat anak-anak saya, malah saya tidak pernah memadam gambar-gambar yang pernah dirakam kerana ini adalah satu cara untuk anak-anak saya mengenang kembali memori dengan daddy mereka.

“Secara jujurnya kedua-dua anak saya tidak pernah menyuarakan rasa rindu terhadap ayah mereka. Mungkin ketika berpisah umur mereka masih kecil, tetapi sebagai ibu saya sentiasa jelaskan kepada mereka siapa Aidil,” katanya.

Menjadi sasaran warganet yang melihat dia sengaja mewujudkan jurang antara anak-anaknya dengan bekas suami, Rita bangkit membetulkan keadaan.

“Memang banyak spekulasi yang kononnya lebih tahu perihal peribadi saya. Sebenarnya mereka ini yang tidak pernah move on dengan kisah percintaan dan perceraian saya.

“Saya tidak pernah halang anak-anak untuk bertemu dengan ayah mereka. Malah memuat naik gambar kenangan dalam laman sosial adalah sebagai cara untuk memberitahu Aidil yang anak-anaknya ini semakin membesar dan meminati bola sepak,” jelasnya.

Tidak pernah merosakkan imej bekas suami di hadapan anak-anaknya, bagi Rita, walaupun tidak lagi bertemu dengan ayah mereka buat masa ini, namun menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa mengingatkan kewujudan Aidil.

“Setiap kali menonton bola sepak dan ayah mereka bermain, saya akan jelaskan siapa Aidil kepada mereka. Saya bukan jenis wanita yang akan putuskan hubungan anak-anak dengan ayah mereka.

“Bagi saya yang sudah berakhir adalah perkahwinan kami, bukan hubungan anak beranak.

“Saya tidak tahu berapa lama sebenarnya anak-anak saya tidak bertemu dengan ayah mereka, namun semenjak ayah mereka berkahwin lain dia tidak pernah datang langsung bertemu dengan anak-anak,” katanya jujur.

Kahwin bukan caranya

Terus menerus dituduh tidak move on dengan kehidupan lalu, ada yang beranggapan mungkin dengan berkahwin lain Rita Rudaini akan menamatkan spekulasi tersebut.

Menolak cara itu sebagai jalan terbaik, kata Rita, ketika ini fokusnya hanya untuk menjadi seorang ibu.

“Saya tidak rasa itu cara untuk menutup spekulasi yang kononnya saya masih belum lupakan perkara yang berlaku.

"Saat ini juga saya masih sibuk membesarkan anak-anak yang menuntut waktu saya yang banyak.

“Jika benar saya akan berkahwin, itu adalah perkahwinan buat anak-anak sebenarnya,” jelasnya.

Menjadi antara selebriti popular dalam laman sosial dengan jumlah pengikut sebanyak 1.3 juta, Rita juga tidak boleh dapat lari daripada mereka yang sentiasa menjadikan ruangan komen sebagai lokasi untuk menghentam dirinya.

Melihat perkara itu sebagai satu jenaka, kongsi Rita, dia tidak akan sesekali menyerah kalah hanya kerana komen-komen pahit yang ditinggalkan.

“Buat masa ini tidak pernah terfikir untuk tutup laman sosial gara-gara komen warganet malah saya juga tidak pernah menyekat mahupun menutup ruangan komen.

“Saya layan orang sama sahaja malah pengguna laman sosial palsu juga saya layan,” katanya.