Walau bagaimanapun, keunikan idea tersebut telah berjaya direalisasikan dalam Festival Seni Antarabangsa Johor Bahru kali ke-13 pada 6 hingga 8 Oktober lalu, dan ketika itulah ramai pengkritik mulai sedar bahawa magis dalam dunia teater boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Sidang Teater menjadi antara titik permulaan bagi revolusi perjuangan teater indie yang dimartabatkan oleh anak-anak muda dengan harapan ‘seni untuk umat’ dapat dikongsi bersama.

Kehadiran tokoh penggiat teater tanah air, Che Shamsudin Osman atau lebih dikenali dengan nama Dinsman ternyata membangkitkan semangat pejuang seni teater yang terdiri daripada kelompok anak muda yang bercita-cita mahu mengangkat karya masing-masing.

Dinsman berkata, penggiat seni boleh meluahkan rasa hati dan pandangan semasa mengenai persekitaran sekeliling yang sedang berlaku di dalam sesebuah naskhah untuk disampaikan kepada masyarakat.

“Teater Atas Pokok yang telah kami jayakan pada April lalu di Seksyen 14, Shah Alam merupakan satu naskhah yang mengandungi pelbagai elemen termasuk jentikan isu semasa yang disampaikan dengan cara yang berbeza, tidak seperti di atas pentas.

“Pelakon perlu pandai memanjat dan berlakon di atas pokok tersebut untuk menyampaikan mesej dan alhamdulillah, pementasan tersebut telah berjaya, sekali gus menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records,” katanya ketika ditemui dalam program Sidang Teater tersebut.

Dinsman yang ditemani rakannya, Yassin Salleh dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Mohd Naim Nasir amat teruja dengan lokasi pementasan teater tersebut kerana lorong belakang IT Roo Cafe, Johor Bahru akan menjadi saksi kebangkitan idea generasi muda hari ini.

“Jutaan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada produksi Sekutu Ghuraba selaku penganjur kerana menjemput kami serta kerana berani mempertaruhkan percubaan menghimpunkan seluruh penggiat seni untuk mengangkat karya masing-masing demi masyarakat,”ujarnya.

Fokus mengupas di sebalik tabir pementasan tersebut untuk dikongsi bersama bagi tatapan pembaca .com pada minggu ini. Turut dipaparkan, foto-foto menarik sepanjang berlangsungnya pementasan tersebut. – LOKMAN HAKIEM ABD. SAMAD

Seni teater perlu diberi perhatian dan sokongan oleh semua pihak sama ada oleh kerajaan atau bukan badan kerajaan kerana di dalam dunia teater itu, masih terdapat naskhah-naskhah segar yang bersifat tidak stereotaip untuk dijadikan sebagai tatapan penonton.

Kepelbagaian naskhah sebegini sukar ditemui dalam dunia seni komersial seperti drama televisyen atau filem kerana pengisian berbentuk mengajak manusia untuk berfikir dianggap ‘berat’ oleh segelintir produser dan seterusnya mengetepikan karya tersebut.

Penggiat teater dari Johor, Din Rahman berkata, seorang penggiat seni teater tidak wajar mengalah sekiranya idea mereka ditolak oleh segelintir pihak, sebaliknya menjadikan situasi tersebut sebagai peluang untuk menarik perhatian penonton.

“Usaha untuk menghasilkan sebuah naskhah melalui cetusan idea bukanlah sesuatu yang mudah dan sekiranya mereka telah melalui fasa ini, penghormatan perlu diberikan walaupun mereka bukan terdiri daripada orang-orang kenamaan atau berjawatan.

“Penggiat seni teater juga perlu bijak memanipulasi keadaan semasa melalui ‘sarang’ pembacaan masyarakat seperti di media sosial kerana di situ, pelbagai kehendak dan kemahuan penonton diluahkan,” katanya.

Sebagai contoh, masyarakat hari ini mencemuh kisah yang dipaparkan di kaca televisyen dan filem di media sosial dan segala komen yang ditulis kebiasaannya adalah mengenai mereka sebagai penonton mahu menonton sesuatu yang lain daripada yang sedia ada.

“Peluang ini perlu direbut oleh penulis naskhah dan promosi yang unik perlu dilakukan bagi menarik perhatian penonton di rumah untuk bertukar arah seketika dengan cara hadir menonton teater,” katanya.

Pihak penganjur meletakkan harapan melalui Sidang Teater ini, akan lahirlah kelompok penggiat seni yang sama-sama sudi menggalas idea Islam dan pergolakan diri yang perlu dihentikan demi kehidupan yang lebih baik.

Menggunakan teater sebagai medium untuk menyampaikan pesanan dan kritikan terhadap peradaban kapitalisme yang sedang berlaku ketika ini ,sama ada secara sedar atau tidak dijadikan sebagai matlamat utama untuk dinilai dengan akal fikiran.

Menurut wakil penganjur, Rayhan Ahmad, 24, jati diri boleh dibentuk melalui budaya dan disampaikan secara seni bagi memupuk semula kelompok masyarakat yang berfikiran cemerlang tanpa mengabaikan kewajipan terhadap agama yang menjadi tunjang dalam kehidupan seharian.

“Produksi Sekutu Ghuraba sengaja memilih lorong belakang untuk memaparkan variasi idea tersebut kepada masyarakat kerana segala elemen seperti lipas, bau longkang, bunyian kuali dan bauan sampah adalah realiti bagi simbol kapitalisme yang sentiasa menentang idea yang berbeza dengan mereka.

“Lorong ibarat kawasan yang paling hampir dan intim bagi golongan rakyat marhaen, namun segala kekurangan dan ketidakupayaan itu boleh menjadi ‘istana’ bagi suara dan kebahagiaan rakyat yang tidak pernah berhenti dalam meniti kehidupan yang mencabar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rayhan berkata, galakan daripada tokoh penggiat teater tanah air, Dinsman menjadi inspirasi kepada mereka sebagai generasi muda untuk terus merungkai sesuatu perkara baik atau buruk melalui pendekatan yang boleh diterima oleh orang ramai.

“Hak dan batil perlu difahami dengan jelas kerana kegagalan masyarakat memahami segala suruhan Allah Yang Maha Esa boleh menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan terumbang-ambing seperti tiada pegangan.”

“Justeru, setiap karya yang berbentuk ingin menyampaikan pesanan kepada masyarakat perlu sentiasa berpandukan sunah dan al-Quran agar naskhah yang dipersembahkan mampu melenturkan jiwa manusia untuk nekad berubah menjadi umat yang baik.”

Beberapa naskhah anak muda seperti Gila, Cahaya Di Hujung Lorong, Jejak Ka Fa Ra dan Tanpa Titik Koma telah menemui penonton di pentas alam pembangunan yang sedia ada dengan berpaksikan lorong belakang dan kemeriahannya adalah di luar jangkaan.

Rata-rata penonton amat kagum dengan semangat penggiat seni yang sanggup bertungkus-lumus, mengerah tenaga serta masa untuk menghasilkan sebuah garapan persembahan yang menarik berlatarbelakangkan suasana sekeliling.

Naskhah Gila arahan Intan Suraya dan skrip oleh Fairul Pujangga mengangkat persoalan kisah kegilaan masyarakat hari ini terhadap dunia semasa, manakala naskhah Cahaya Di Hujung Lorong, arahan dan skrip oleh Azwan Azhari membangkitkan pergolakan individu bekerjaya dalam memburu kebahagiaan.

Ilhamdi Sulaiman dari Jakarta, Indonesia memukau penonton dengan persembahan Tanpa Titik Koma yang bermain dengan emosi manakala naskhah Jejak Ka Fa Ra, naskhah penggiat teater Kuala Lumpur, Akyem Samad (gambar) menjentik persediaan umat Islam untuk berhadapan dengan fitnah terbesar iaitu Dajjal al-Masih.

Menurut Akyem, permainan dan persembahan teater jalanan seperti di lorong belakang tersebut akan memberi impak yang lebih berkesan terhadap penonton kerana pengisian yang ingin disampaikan boleh diterima jelas berikutan corak penggunaan ruang itu sendiri.

Kepelbagaian dalam menyampaikan idea dan jalan cerita turut perlu diberi perhatian kerana garapan yang dihasilkan umpama pesanan untuk diri sendiri dan menjadi sebahagian tanggungjawab untuk masyarakat.

“Nilai dan konsep yang terdapat dalam sesebuah pementasan teater adalah berbeza dengan paparan artistik dalam sesebuah drama televisyen atau filem kerana konsep perjalanan cabang seni berkenaan mempunyai misi yang berlainan.

“Penggiat teater mahu mesej mereka disampaikan kepada para penonton tanpa perlu ada sikap prejudis terhadap paras rupa atau bakat kurniaan Allah kerana setiap ilham dan karya seni diterjemahkan mempunyai keunikan yang tersendiri,” ujarnya.