Dilahir dan dibesarkan di Ipoh, Perak, gadis yang dikesan bakatnya menerusi program realiti Pilih Kasih musim pertama itu rasa bertuah apabila diberi kepercayaan oleh pihak produksi untuk membawakan watak tersebut.


“Saya akui, sepanjang 10 tahun atau sedekad dalam bidang lakonan, ini adalah platform terbesar yang diperoleh untuk mengembangkan bakat seni saya.


“Sebelum ini, berpuluh-puluh drama telah dibintangi tetapi kehadiran saya kurang disedari oleh peminat drama Melayu tempatan.


“Alhamdulillah, setelah mendapat tawaran daripada syarikat penerbitan Global Station Sdn. Bhd., saya berjanji untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin bagi menyerlahkan gaya lakonan berbeza, sekali gus meninggalkan impak,” katanya kepada Utusan Online.


Ternyata, kemunculan Emelie atau nama penuhnya Puteri Emilia Norfarihin Mohd. Hanif, berketurunan diraja Perak yang diwarisi daripada ibundanya dalam drama berkenaan berjaya mencuri perhatian audiens.


Menurutnya, barisan pelakon yang ditampilkan selain Nabila iaitu Ungku Ismail, Shah Iskandar, Mia Nasir, Anzalna Nasir, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza, Zila Bakarin, Dian P. Ramlee dan Hafiz Halim membantu memantapkan lagi persembahannya.


“Selain ego, sebagai kakak sulung, Marzia cuba menjadi pelindung kepada adik-adiknya. Namun, dia tersalah langkah apabila dendam mula menguasai diri. Apatah lagi dalam drama ini, dia menentang watak hero iaitu Hariz yang dilakonkan oleh Ungku Ismail.


“Persengketaan Marzia dan Hariz membuatkan penonton bertambah benci kepadanya. Malah, di luar set penggambaran, saya mula rasakan impaknya apabila peminat memanggil saya dengan nama Marzia,” ujar pemegang Diploma Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.


Tambah Emelie, dia tidak kisah nama sebenarnya ditenggelamkan oleh nama Marzia kerana itu menandakan pembawaan watak tersebut melekat di memori dan hati penonton.


Belum lagi menamatkan penggambaran drama 100 episod berkenaan, dia memberitahu rezekinya semakin murah dek tawaran yang diperoleh, namun ditolak secara baik sehingga tamat penggambaran Dendam Aurora pada hujung bulan ini.


Dendam Aurora disiarkan di saluran Astro Prima dan Astro Maya HD pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang. - UTUSAN ONLINE