Melihatkan keseluruhan filem ini sebenarnya membuat kita berfikir apa yang sebenarnya cuba disampaikan oleh pengarah Liew Seng Tat.

Garapannya cukup kemas terutama soal sinematografi, penceritaan yang ringkas yang membuatkan filem ini begitu cantik pada permukaan atasnya.

Digambarkan sebagai sebuah naskhah komedi yang banyak adegan tersirat yang perlu dilihat lapisan demi lapisan sebaik sahaja selesai menonton.

Namun untuk mereka yang berfikir dua kali, subteks yang cuba disampaikan melalui Lelaki Harapan Dunia begitu sinis, kritikal dan memaparkan realiti yang dihadapi ketika ini.

Secara umumnya karya Seng Tat memberikan sindiran tajam kepada orang Melayu khususnya yang sentiasa berbalah kerana perkara yang kecil dan mempercayai sesuatu berita tanpa mengetahui kesahihannya.

Lelaki Harapan Dunia mengisahkan tentang Pak Awang yang mahu memindahkan sebuah rumah terbiar, buruk dan dilitupi semak samun di dalam hutan sebagai hadiah perkahwinan anaknya.

Rumah tersebut perlu dipindahkan dan dia berjaya meyakinkan orang kampung untuk membantunya memindahkan rumah tersebut secara bergotong-royong walau pun ramai mempercayai rumah tersebut berhantu.

Dalam masa yang sama, seorang pendatang Afrika terlepas dari tangkapan dan melarikan diri ke kampung itu. Solomon akhirnya memilih rumah yang sedang dipindahkan itu sebagai tempat menyorok.

Pelbagai tragedi berlaku sebelum dan sewaktu rumah itu dipindahkan dan kemuncaknya apabila Wan, seorang penagih dadah terserempak dengan Solomon dan menghebahkan kepada penduduk kampung tentang lembaga yang dijumpainya itu.

Keraguan dan kepercayaan penduduk tentang penunggu rumah yang sedang mereka pindahkan semakin memuncak apabila anak kepada salah seorang penduduk lebam di beberapa bahagian badan.

Kehadiran bomoh menambahkan huru-hara kampung dan memecah belahkan kepercayaan sesama penduduk kampung sehingga timbul cerita kampung mereka diserang orang minyak.

Untuk mengelak kejadian tidak diingini, mereka mengambil jalan untuk berkawal dan lelaki memakai pakaian perempuan dan sebaliknya untuk mengelirukan orang minyak.

Penduduk kampung semakin berpecah belah meskipun ada Tok Bilal yang cuma mendamaikan mereka.

Selain Wan Hanafi Su antara pelakon yang terlibat di dalam Lelaki Harapan Dunia termasuklah Soffi Jikan, Harun Salim Bachik, Jalil Hamid, Azhan Rani, Azman Hassan dan Roslan Salleh.

Kritikan

MELIHATKAN secara keseluruhan filem ini, tidak dinafikan Seng Tat menggarap dengan penuh kemelayuan termasuklah perincian masyarakat yang hidup di sebuah kampung.

Gambaran mengenai rumah yang cuba dipindahkan itu pun membuatkan kita berfikir apa yang cuba disampaikan oleh Seng Tat. Hanya kerana rumah tersebut dicat berwarna putih, dia terus digelar ‘rumah Amerika’ atau White House.

Sikap Pak Awang lakonan Wan Hanafi Su yang beria-ia hendak memindahkan rumah usang di dalam hutan juga digambarkan dengan baik termasuklah paparan mengenai sifat kedekut Pak Awang yang terlalu berkira untuk membaik pulih rumah itu.

Pak Awang lebih rela memilih singkong daripada keju dan mahu memperbaiki sendiri rumah tersebut dan dalam masa yang sama dia mendapat semangat daripada Tok Penghulu (Roslan Salleh) pada awalnya.

Tok Penghulu pula digambarkan lebih suka melayan orang besar yang datang ke kampung mereka. Dia hanya memikirkan masalah unta yang hilang daripada menyelesaikan masalah orang kampung yang sedang bercakaran.

Watak Tok Bilal (Jalil Hamid) yang digambarkan memakai songkok dan cacat penglihatan dan menjadi pendamai bila berlakunya pergaduhan antara penduduk kampung.

Paling ketara apabila watak Hishamuddin Rais sebagai bomoh yang mengesahkan tentang kehadiran syaitan dan orang minyak yang mengganggu kampung mereka.

Bomoh ini meyakinkan penduduk kampung agar memakai tangkal yang perlu mereka beli. Lebih besar tangkal yang dipakai, lebih kurang peluang untuk diganggu syaitan.

Secara dasarnya adegan-adegan yang dipaparkan oleh Seng Tat begitu halus dan sangat terancang apabila menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu yang masih berada pada takuk lama.

Pemahaman dan 'bacaan' setiap orang tentang filem ini mungkin berbeza tetapi subjek yang digunakan oleh Seng Tat tentang orang Melayu agak sinikal dan tajam.

Selain itu, filem ini juga telah dibawa ke beberapa festival filem di seluruh dunia.

Garapan yang dibuat oleh Seng Tat cukup kemas terutama soal sinematografi, plot penceritaan yang ringkas yang membuatkan filem ini begitu cantik pada permukaan atasnya.