Baik Haleeda Mazlin, Mamat Exists, Ayai Ilusi, Rahmat Mega, Ifa Raziah mahu pun Fazli Zainal, mereka mempunyai keistimewaan tersendiri untuk memikat hati barisan juri.

Sementelah mempunyai pengalaman bertahuntahun lamanya dalam bidang nyanyian, itu antara faktor yang memanaskan pentas konsert final Gegar Vaganza.

Bakal berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil Kuala Lumpur, yang pasti pertembungan keenam-enam penyanyi terhebat tanah air itu dijangka membuka mata semua pihak tentang kehebatan artis lama.

Mamat Gerun Rahmat, Fazli

KEKUATAN vokal Rahmat Mega dan Fazli Zainal menjadi igauan ngeri buat Mamat Exists yang merasakan kedua-dua penyanyi itu berpotensi untuk menjadi juara Gegar Vaganza malam ini.

Walaupun begitu kata Mamat, itu bukan mematahkan semangat malah dia perlu lebih berhati-hati dan memastikan tiada kesilapan sepanjang persembahan nanti.

“Apabila orang lama bersaing, kita nampak kelebihan masing-masing. Masa itu kita akan membuat perbandingan. Keadaan sebegitu cukup menggerunkan saya.

“Sebab itu saya perlu mengetepikan soal kelebihan pihak lawan kerana keadaan sebegitu dikhuatiri akan menjejaskan mood saya,” ujarnya.

Bakal membawakan Salju Di Danau Rindu dan Janji Padamu, kata Mamat, kedua-dua lagu berkenaan sudah sebati dalam dirinya sejak menyanyikannya lebih 10 tahun lalu.

Justeru kata Mamat yang terkenal dengan lagu berentak balada, fokus utamanya adalah kepada persembahan duet lagu hip hop, Havoc, dendangan asal Joe Flizzow bersama-sama Altimet dan SonaOne.

“Saya mengalami sedikit kesukaran untuk menghafal lirik Havoc yang pada mulanya agak kelam kabut. Tapi cabaran tersebut saya terima dengan hati terbuka,” katanya yang akan bergandingan membawakan lagu tersebut bersama-sama Fazli.

Haleeda jadi diri sendiri

MENGAKUI gemar menyanyikan lagu daripada penyanyi lelaki seperti Faizal Tahir dan kumpulan Meet Uncle Hussain, kata Haleeda Mazlin, itu kecenderungan yang tidak didedahkan di media massa walaupun menceburi bidang nyanyian kira-kira 20 tahun lalu.

Merasakan kepuasan sewaktu mendendangkan lagu penyanyi lelaki tambah Haleeda, dia juga selesa untuk mengetengahkan lagu-lagu sebegitu sepanjang penyertaannya dalam Gegar Vaganza.

“Saya sama sekali tidak menyangka dapat beraksi di pentas akhir. Nyata kemunculan saya ini mendapat reaksi yang pelbagai.

“Ada yang suka dan sebaliknya selepas melihat persembahan saya. Mungkin disebabkan penampilan bertudung, jadi ada kalanya gaya persembahan yang terserlah tanpa disedari di atas pentas menjadi bahan perbualan.

“Tapi saya tidak kisah sebab saya maklum dengan asam garam dunia hiburan,” kata penyanyi yang popular pada tahun 1990-an ini.

Enggan memperbesarkan kritikan yang diterima itu kata Haleeda, dia sentiasa berfikiran terbuka terhadap pandangan yang diberikan malah dia juga tidak akan memenuhi permintaan segelintir pihak yang mahu dia mengubah gaya persembahan semata-mata untuk memuaskan hati mereka.

Dalam pada itu, Haleeda yang bakal menyanyikan lagu Mendua dendangan asal Astrid dan Pelesit Kota (Search) juga berdepan dengan masalah kesihatan beberapa minggu sebelum pertandingan akhir yang berlangsung malam ini.

“Pada persembahan separuh akhir pertengahan November lalu, saya mengalami masalah di bahagian tekak sehingga menyebabkan saya perlu mendapatkan suntikan,” katanya yang bakal ‘bersaing’ dengan Ifa Raziah untuk segmen lagu duet, Fanatik yang dipopularkan KRU.

Fazli paling muda antara senior

MEMILIH lagu Sampai Syurga, nyanyian Faizal Tahir dan sebuah lagu kumpulan Indonesia, Kerispatih, Tapi Bukan Aku, Fazli Zainal memberitahu, dia amat mementingkan kualiti vokal.

Namun Fazli mengakui, kegusarannya untuk membuat persembahan pada segmen lagu duet, Havoc bersama-sama Mamat.

“Latar belakang muzik saya adalah balada tetapi apabila diberi tugasan lagu hip hop dan perlu menyanyi rap, itu adalah kebimbangan utama saya.

“Ini kerana tidak semua penyanyi dapat menyanyi rap dengan baik. Kalau silap menyanyi akan kedengaran sumbang dan lebih ditakuti menjadi kutukan masyarakat,” katanya yang menerima secara terbuka cabaran tersebut.

Biarpun merasakan dirinya masih mentah dalam bidang nyanyian, Fazli bersyukur apabila bersaing dengan lima finalis yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian.

“Saya pernah bertanyakan kepada Ketua Juri Gegar Vaganza, Ramli MS tentang potensi setiap calon untuk bergelar juara. Katanya, semua finalis ada (harapan).

“Ini kerana kami pernah mendapat markah tertinggi dan rendah sepanjang pertandingan berlangsung. Jadi tidak timbul soal siapa juara dalam kalangan kami tetapi lebih kepada keupayaan untuk membuat persembahan sempurna pada pentas akhir nanti,” ujarnya.

Pilih lagu nasihat- Ayai

CENDERUNG kepada lagu lama yang mempunyai unsur nasihat, itu yang membuatkan Ayai Ilusi memilih, Jangan Kau Rayu nyanyian asal Rahim Maarof dan Semangat Lamina ( Lefthanded dan Ramli Sarip) untuk persembahan solonya.

Sebagai orang lama penyanyi berusia 53 tahun ini berkata, dia perlu bijak mencari lagu yang seiring dengan dirinya.

“Saya bimbang jika timbul kata-kata kurang manis jika saya memilih untuk menyanyikan lagu cinta anak remaja di pentas konsert final nanti.

“Bagi mengelakkan tanggapan negatif, saya perlu selektif. Lagipun industri rakaman di Malaysia ini ada banyak lagu berunsur nasihat dan kemanusiaan,” katanya.

Mengulas tentang keistimewaan kedua-dua lagu tersebut pada dirinya, kata Ayai, dia amat menyanjungi kehebatan Rahim yang merupakan rakan seperjuangan dalam industri hiburan.

Menyifatkan penyanyi itu berbakat besar, tambah Ayai, semangat kelangsungan hidup Rahim yang tidak pernah kenal erti putus asa juga dikagumi.

Begitu juga dengan Datuk Ramli Sarip yang baginya, gabungan Papa Rock Malaysia itu sememangnya ‘menjadi’ dengan Lefhanded.

Selain Jangan Kau Rayu dan Semangat Lamina, Ayai juga bakal berduet dengan Rahmat Mega untuk menyanyikan lagu Kalau Aku Kaya, dendangan asal Awi Rafael bersama-sama Altimet.

Teknik nyanyian fokus utama - Rahmat

ENGGAN memikirkan kelebihan finalis Gegar Vaganza yang lain tegas Rahmat Mega, dia hanya mahu memberi perhatian lebih terhadap teknik nyanyiannya.

Bakal menyanyikan lagu popular Jamal Abdillah, Di Sudut Kamar Hatiku manakala sebuah lagi lagunya sendiri iaitu Suara Cinta, kata Rahmat, dia kerap berlatih bagi mengelakkan berlaku kesilapan.

“Saya ada masalah untuk menghayati lagu balada dengan sepenuh jiwa. Kelemahan ini yang perlu saya atasi kerana mahu memastikan barisan juri turut ‘merasai’ perasaan saya sewaktu menyampaikan lagu tersebut.

“Tapi dalam pertandingan sebegini, saya lebih mementingkan aspek ketenangan dan sentiasa berfikiran positif. Anggap seperti membuat persembahan biasa dan bukan pertandingan,” ujarnya yang mengalu-alukan penganjuran pertandingan yang serupa pada masa akan datang.

Selain itu Rahmat berkata, penganjuran pertandingan sebegitu bagi membuka mata banyak pihak tentang kualiti penyanyi lama berbanding sedia ada di pasaran pada hari ini.

“Industri hiburan sekarang ini semakin mengecut apabila didapati ada segelintir penyanyi yang ada masih belum mencapai kualiti yang sepatutnya.

“Bukan nak cakap penyanyi lama itu bagus... Tapi apabila ada pentas sebegini, masyarakat akan membuat penilaian sendiri,” katanya lagi.

Ifa Raziah bangkit berjuang

“Saya akan tetap menyanyi walaupun belum sembuh sepenuhnya,” tegas Ifa Raziah berhubung keadaan dirinya yang masih belum pulih lantaran menghidap jangkitan paru-paru.

Tidak mahu mensia-siakan segala jerih perih yang dilalui sebelum ke konsert final kata Ifa, itu juga komitmennya untuk menjayakan program berkenaan.

“Selama enam hari saya duduk di hospital, saya sentiasa berdoa agar kesihatan saya pulih sepenuhnya sebelum sesi latihan yang berlangsung pada Jumaat lalu.

“Ini kerana saya tidak boleh menarik suara saya sepenuhnya. Ada kekangan sebab mempunyai masalah batuk yang masih belum sembuh lagi.

“Dugaan ini saya terima dengan hati terbuka. Pasti ada hikmah di sebaliknya,” kata Ifa.

Bakal menyanyikan lagu Goyang Inul dendangan asal penyanyi Indonesia, Inul Daratista , Ifa bagaimanapun enggan mendedahkan judul lagu kedua yang akan dinyanyikan pada persembahan final nanti kerana mahu membuat kejutan.

“Tengoklah macam mana.... Kalau saya tidak boleh berdiri pada persembahan itu nanti, saya akan menggunakan kerusi roda dan menjemput pelakon Usop Wilcha menyanyi bersama-sama,” seloroh Ifa yang bakal berduet dengan Haleeda menyanyikan lagu Fanatik.