Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa rancangan seperti itu adalah sebagai sindrom hiburan murahan memandangkan pengusaha-pengusaha stesen televisyen berlumba-lumba menyiarkan program bercorak hiburan interaktif yang berakar umbi dari Barat.

Malah tak kurang hebatnya apabila golongan remaja khususnya diselar hanyut dalam budaya hedonisme yang asyik berhibur hingga membawa kepada keruntuhan akhlak generasi muda.

Yang pasti, itu hanyalah sebahagian pendapat yang menyumbang buah fikiran apa yang mereka lihat lebih-lebih lagi seiring dengan pertumbuhan teknologi yang kian pesat membangun.

Tidak salah jika kita hendak berhibur, asalkan ia tidak keterlaluan dari kotak pemikiran dan jiwa kita sendiri.

Bagi stesen televisyen satelit, Astro misalnya, sudah terlalu banyak mencungkil bakat-bakat baharu termasuk Akademi Fantasia (AF) yang telah berlangsung selama 14 musim sehingga turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Rancangan Nyanyian Realiti Televisyen Paling Lama di negara ini.

Terkini, Gegar Vaganza (GV) yang mengangkat kembali 12 penyanyi profesional lama atau berpengalaman dalam industri muzik di Malaysia bersaing dalam satu pentas dijangka akan turut mengikuti jejak langkah AF.

Sejak diterbitkan pada tahun 2014, GV antara yang paling mendapat sambutan terhangat daripada penonton dan atas sebab itulah ia masih diteruskan yang telah masuk empat musim.

Bagi Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal, setiap program yang diterbitkan berteraskan objektif yang berbeza selain memenuhi kehendak penonton.

Dalam konteks ini, Astro jelasnya, sentiasa meletakkan kepentingan penonton pada kedudukan paling teratas.

“Saya rasa setiap rancangan realiti ada perbezaan daya penariknya. Kalau AF kita mencari bakat-bakat baharu. Untuk GV pula kita bawa kembali bakat yang telah sedia ada.

“Ikutkan penonton atau peminat setia GV antara penyumbang idea untuk kami memilih siapa yang mereka inginkan untuk musim-musim yang akan datang.

“Sebab itulah, mulai dari musim keempat tahun ini, kita perkenal penyertaan dari Indonesia dan Singapura. Kami berharap untuk musim seterunya akan lebih ramai lagi penyertaan dari Nusantara, khususnya,” ujar beliau.

Malah Emarina turut memuji ada sebahagian artis yang tidak malu datang ke pihak mereka dan mahu menjadi salah seorang peserta GV.

Memahami trend pasaran muzik hari ini lebih ke arah penyanyi remaja, Astro yakin produk GV mampu mempertahan bakat mereka walau genre yang dibawakan tidak sama.

“Masa GV musim pertama dulu, orang agak skeptikal. Ada yang bertanya ada lagi ke orang nak tengok program seperti itu? Tapi bila berlangsungnya minggu pertama dan seterusnya, ia telah mengubah pandangan tersebut.

“Ramai dalam kalangan artis lama, mereka sendiri berjumpa dengan kami sebab nak aktif semula. Penyanyi lama yang dah menyepi dan nak buat kemunculan semula, ini ada platform terbaik mereka.

“Kita berbangga dapat menaikkan mereka kembali sebab itu selaras dengan objektif kami dengan penerbitan GV,” jelasnya lagi.

mega utusan malaysia

Tinggal seminggu sahaja lagi pencarian juara Gegar Vaganza 4 (GV4) akan diketahui umum. Siapa agaknya antara enam finalis yang mara ke pusingan akhir terpilih antara yang terbaik?

Itulah yang menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat setia program yang memberi peluang kedua kepada penyanyi-penyanyi yang pernah masyhur suatu masa dahulu untuk kembali memahat nama selain bagi menjadikan mereka lebih relevan.

Selepas tujuh minggu bersiaran secara langsung, GV4 akan sampai ke kemuncaknya pada hari Ahad ini, di mana enam penyanyi bakal berentap di pentas akhir yang menawarkan hadiah utama wang tunai RM100,000.

Dari kaca mata media tempatan, tiga nama besar yang bakal mengungguli GV4 ialah Aishah, Liza Hanim dan Hazami.

Ketiga-tiga penyanyi yang mewakili generasi masing-masing dilihat memberi saingan yang amat sengit sesama sendiri berdasarkan kemantapan vokal mereka yang tidak dapat dipertikai.

Setiap minggu sepanjang musim GV kali ini, Aishah, Liza dan Hazami akan mendapat perhatian meluas daripada pencinta-pencinta program berkenaan kerana skil nyanyian serta persembahan mereka sentiasa dekat dengan khalayak.

Namun begitu, tiga lagi bintang lain iaitu Tia Jinbara, Lan dan Firman juga jangan sesekali dipandang remeh kerana mereka juga memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Inilah kelebihan penyanyi-penyanyi berpengalaman. Mereka memiliki daya juang seni yang amat tinggi selain mengetepikan ego masing-masing dalam usaha untuk kembali meletakkan nama mereka pada kedudukan yang sama dengan penyanyi-penyanyi generasi muda.

Menjadi penyanyi yang berjiwa besar akhirnya akan memberi manfaat dan keuntungan yang berlipat ganda buat mereka.

Dan GV telah membuka ruang yang sebesar-besarnya untuk penyanyi-penyanyi lama merebut peluang istimewa ini dengan niat yang baik iaitu kembali aktif dalam gelanggang seni.

Kembali membincangkan pentas akhir yang akan berlangsung Ahad ini, tentu sekali semua peminat seni tanah air tidak akan melepaskan peluang untuk melihat apakah kejutan yang akan ditampilkan oleh mereka semua?

Apakah masing-masing akan memanfaatkan pandangan dan kritikan yang diberikan oleh barisan juri khususnya juri tetap Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang yang saban minggu berkongsi ilmu-ilmu seni?

Juga, sejauh mana boleh Aishah, Liza, Hazami, Lan, Tia dan Firman akan bersedia dari aspek mental dan fizikal kerana cabaran bersaing dengan rakan-rakan yang berpengalaman jauh lebih sukar kerana setiap seorang tentu sekali tidak mahu beralah.

Benar, semuanya terlalu awal untuk dibincangkan, namun harus diingat pelbagai keajaiban boleh berlaku dalam sekelip mata.

Ayuh kita sama-sama nantikan konsert akhir GV4 yang bakal dipancarkan secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru pada Ahad ini bermula pukul 9 malam di Astro Ria 9 (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

............................................................. Gambar SURIYA BONMA

SELAIN memberi tumpuan pada peserta-peserta yang memiliki jiwa seni yang besar, faktor kehadiran juri khususnya juri tetap juga antara sebab mengapa GV4 menjadi masyhur dan masih relevan selepas empat musim diterbitkan.

Tentu sekali, nama Datuk Ramli MS tidak boleh terlepas daripada menjadi subjek perbincangan umum.

Setiap minggu, penonton ternanti-nanti apakah yang akan keluar dari mulut maestro muzik ternama ini mengenai persembahan penyanyi-penyanyi pada setiap minggu,

Sempena kemuncak GV4, Ramli menyuarakan hasratnya yang mahu menyaksikan persembahan bersifat mega pada pentas akhir hujung minggu ini

Menurut Ramli, beliau mahu enam finalis berusaha gigih bukan hanya untuk gelaran juara tetapi mencari formula untuk terus kekal relevan dalam industri selepas tamatnya GV4.

“Mereka kena bekerja keras. Sebab pusingan akhir ini 100 peratus diadili juri profesional. Bukan kami pilih nak mengenakan sesiapa, ya. Memilih apa yang dia ada dan satu benda baharu yang untuk dia bekerja. Saya perlukan lagu yang bertaraf konsert secara langsung.

“Segala kekuatan yang ada diaplikasikan dalam konsert. Justeru, mereka perlu berikan komitmen maksimum pada konsert akhir nanti,” kata beliau.

Mengakui, tanggungjawab membuat penjurian terhadap 12 peserta bukan boleh dipandang mudah, justeru Ramli yang sudah empat musim bersama GV menegaskan, hasratnya ialah mahu penyanyi yang diberi peluang untuk bertanding menggunakan kelebihan itu untuk mencipta nama.

“Bercakap tentang perubahan, setiap penyanyi ada pasang surutnya atau mungkin dari segi populariti.

“Macam Aishah, dia penyanyi legenda yang bernama besar. Dia buang ego untuk bertanding dalam GV.

“Walaupun era dia menyanyi pada 30 tahun dulu sangat berbeza dengan sekarang. Tapi dia boleh selami era moden itu dengan baik,” kata Ramli lagi.