Hari ini, Aziz boleh tersenyum bangga dengan segala usaha dan kejayaan yang telah dicurahkan kepada industri seni perfileman tanah air.

Pun begitu, tidak semua orang tahu bahawa di sebalik kejayaannya sebagai seorang pelakon dan pengarah terkenal, melewati zaman kanak-kanaknya Aziz adalah seorang yang suka menyendiri.

“Kalau orang lain mempunyai ramai kawan di sekolah, saya pula boleh dikira dengan jari. Saya ini seorang yang suka menyendiri. Tak ramai yang rapat dengan saya semasa kecil.

“Kebanyakan masa saya dihabiskan di rumah dengan menonton televisyen (TV). Cara saya beriadah juga tak sama seperti orang lain. Kalau orang lain suka bermain di padang permainan, main bola sepak atau galah panjang misalnya, saya pula pergi ke perpustakaan untuk mencari bahan bacaan yang menarik.

“Selain itu saya juga sangat suka pergi ke muzium. Paling suka pergi ke panggung wayang untuk tonton filem-filem yang menarik pada pengamatan saya,” katanya.

Menurut Aziz, melihat pada karektornya yang kurang bergaul dengan rakan sebaya dan suka menghayati dunia ‘ciptaannya’ sendiri, orang tuanya, M. Osman dan Afidah Es berasa bimbang.

Kongsi Aziz, kedua-dua orang tuanya itu berasakan seperti ada yang tidak kena memandangkan adik-beradiknya yang lain sudah melanjutkan pelajaran ke menara gading sedangkan Aziz pula lebih cenderung menjadi ‘pengkritik filem tidak bertauliah’.

“Saya cuma tersedar untuk melakukan sesuatu yang benar-benar memberi kesan dan sesuai dengan jiwa saya apabila ayah mula bersuara selepas dia bimbang dengan karektor saya yang begitu.

“Ayah cabar saya dengan membandingkan kecemerlangan adik-adik dengan reputasi saya ketika itu yang asyik-asyik nak kritik filem orang. Saya (rasa) tercabar. Semasa itulah saya berikrar untuk menjadi seorang pembikin filem yang berjaya,” ceritanya.

Dunia selebriti Aziz

SUDAH membawa gelaran selebriti sejak kecil, ramai yang tentunya cemburu dengan ‘kerjaya’ Aziz pada waktu itu.

Ramai yang menyangkakan Aziz sejak kecil memang meminati dunia lakonan sedangkan kata Aziz, lakonan bukanlah kerjaya pilihan pertamanya ketika itu.

Menurutnya, meski sudah mula berlakon ketika berusia enam bulan, Aziz tahu sepanjang menginjak usia dari tahun ke tahun, dunia pengarahan sentiasa berada di tangga teratas dalam jiwanya.

“Tapi sudah namanya bidang seni, tetap dekat dengan jiwa saya kerana telah mendapat pendedahan sejak masih bayi. Filem pertama saya ‘berlakon’ ketika itu berjudul Ibu Ayam pada 1963, arahan Allahyarham Salleh Ghani keluaran Merdeka Studio.

“Saya juga bertuah kerana mewarisi darah seni daripada kedua orang tua saya. Selain penyanyi pelopor muzik pop yeh yeh pada era 60-an, ayah dan bonda saya aktif berlakon filem dan drama TV. Secara tak langsung itu banyak mempengaruhi saya dalam bidang lakonan dan perfileman,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Aziz, walaupun ayah dan bondanya disegani dalam dunia seni, anehnya mereka tidak begitu menggalakkan anak-anak untuk menceburi bidang yang sama.

“Bagi ayah dan bonda, kalau boleh mereka mahu kami berjaya dalam bidang lain. Sebab itu semasa kecil semua aspek akademik dan agama mereka tekankan.

“Kalau tanya saya, pada awalnya berlakon pun saya tak nak sebab saya lebih mengagumi dunia proses pembikinan filem dan drama. (Kerja-kerja) di sebalik tabir paling saya suka, filem-filem yang menggunakan teknik kesan khas,” katanya yang meminati pengarah terkenal Steven Spielberg dan Francis Ford Coppola.

Bagaimanapun cerita Aziz, dari semasa ke semasa dunia lakonan terus ‘dekat’ dengannya malah atas sokongan kedua ayah dan bondanya dia mula serius membintangi filem Sayang Anakku Sayang pada 1975 arahan Jamil Sulong.

Sesuatu yang mungkin sukar digambarkan oleh seorang kanak-kanak pada usia 13 tahun, menerusi filem tersebut, Aziz diangkat sebagai pemenang Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Asia di Festival Filem Asia di Korea.

Menang anugerah

CERITA pengarah yang terkenal dengan filem sains fiskyennya yang berjudul XX Ray ini, sewaktu memenangi anugerah tersebut, dia tidak hadir ke festival filem itu. Malah dia juga tidak tahu filem itu dipertandingkan di luar negara.

Hanya tahu perkara tersebut melalui bondanya, Aziz mengakui ketika kecil, dia tidak begitu mementingkan soal kemenangan apatah lagi untuk membayangkan dirinya mampu merangkul sebuah anugerah pada waktu itu.

“Satu kejutan buat saya sebab masa itu, nama saya turut dicalonkan bersama-sama beberapa pelakon kanak-kanak lain termasuk Rano Karno (pelakon Indonesia). Saya masih ingat, waktu diberitahu saya menang bonda saya melompat gembira. Memandangkan itu anugerah pertama pada waktu itu, saya hanya terima berita tersebut sebagai satu perkara yang biasa saja.

“Tahun seterusnya saya menang lagi untuk Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik TV sempena Malam Seri Angkasa (1977) anjuran RTM. Ketika itu saya fikir kedudukan saya sudah selesa. Namun agak terkesan juga kerana pada tahun-tahun seterusnya apabila saya tidak lagi memenangi sebarang anugerah, saya jadi bingung dan kecewa.

“Kemudian saya semakin dahagakan pengiktirafan. Jadi saya fikir untuk mendapat pengiktirafan, saya mesti kena sentiasa memperbaharui diri. Itulah yang saya amalkan sampai sekarang,” katanya.

Tahu bahawa segala yang dikecapinya itu tidak berlaku sekiranya tiada pengorbanan kata Aziz, dia sanggup ‘meninggalkan’ zaman kanak-kanaknya yang menyaksikan rakan sebaya yang lain begitu seronok menikmati hidup tanpa perlu memikirkan bagaimana untuk mencari duit pada usia sebegitu muda.

“Bagi saya setiap kejayaan tentunya didahului dengan kepayahan. Saya akui zaman kanak-kanak dan remaja saya banyak dihabiskan dengan membantu menampung keluarga menerusi kerjaya saya sebagai pelakon.

“ Tetapi pengalaman itulah yang telah membuat saya menjadi lebih dewasa daripada remaja lain. Saya jadi lebih sensitif dengan kehidupan. Segala input tersebut kini saya luahkan menerusi karya-karya saya,” ujarnya.

Sering berpaksikan filem sains fiksyen, Aziz yang merupakan abang kepada Zulkifli M Osman, sedar bahawa kebanyakan orang sering mengingati dirinya sebagai pengarah genre itu.

Katanya, dia tidak menolak bahawa kemungkinan filem genre tu, terutamanya filem popular XX Ray, begitu diingati kerana dia juga terlibat sebagai pelakon di dalam filem berkenaan.

“Filem XX Ray (1991) dan XX Ray 2 (1994) adalah sebahagian daripada puluhan filem karya saya. Saya diingati mungkin kerana saya turut menjadi pelakon penting untuk filem itu.

“Sebenarnya saya suka menganggap diri saya sebagai seorang penglipurlara. Seorang yang mampu bercerita pelbagai kisah. Kerana itu saya buat pelbagai genre. Antaranya saya hasilkan filem Fenomena (drama muzikal), Fantasi, (Khalayan), siri Senario (komedi), Leftenan Adnan (epik sejarah), Trauma (seram) dan Luncai (animasi).

“Saya akan sentiasa bereksperimen dan mencabar diri. Namun tidak dinafikan, ada yang berjaya dan ada yang gagal. Contohnya, XX Ray satu usaha yang berjaya namun filem remake Azura bagi saya adalah usaha yang gagal,” katanya lagi.

Jiwa tak gelojoh

DITANYA sama ada berlakon atau mengarah yang menjadi kesukaannya kata Aziz, seperti yang dapat dilihat dan dinilai oleh semua, dia tentunya lebih menyukai bidang pengarahan. 

Namun ketika ini, barangkali atas faktor usia, Aziz telah pun mengurangkan aktiviti di belakang tabir dan memberi tumpuan kepada bidang lakonan.

Bukan berhenti tetapi baginya, dia cuma akan kembali ke kerusi sutradara apabila benar-benar mendapat naskhah yang mampu ‘menaikkan keghairahan’ jiwanya untuk mengarah.

“Penonton zaman ini tidak sama dengan zaman lampau. Persembahan drama dan filem kini juga berbeza. Dalam masa dua minit, sebuah filem atau drama perlu menangkap perhatian penonton.

“Jika lebih dari itu, penonton akan bosan. ‘Kegelojohan’ ini tidak sesuai dengan jiwa saya. Tapi siapa tahu, mungkin satu hari tiba-tiba saya mahu ‘memperbaharui diri’ dan kembali mengarah, insya-Allah,” katanya.

Aziz turut memberi nasihat kepada pelapis pelakon kanak-kanak generasi baru untuk tidak mengabaikan pelajaran.

“Menjadi pelakon mampu mempertingkatkan minda. Kerana itu dalam setiap sekolah yang cemerlang mempunyai aktiviti seni lakon. Berlakon perlukan pemahaman jalan cerita, penghafalan dialog, kepekaan sekeliling dan komunikasi. Selain minda, aktiviti ini juga mampu mempertingkat keyakinan diri dan ilmu.

“Cuma pesan saya, ilmu membezakan karektor dan tindakan kita. Ilmu juga bakal menentukan langkah kita seterusnya. Sentiasa bersedia ‘memperbaharui diri’ kerana tidak selamanya kita menjadi kanak-kanak,” kata bapa kepada tujuh anak ini lagi.