SITI SARAH RAISUDDIN dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas akibat gastrik.

Shuib berkata, Sarah mengalami sesak nafas akibat penurunan tekanan darah yang sangat drastik disebabkan oleh gastrik yang dialami penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu.

Bagaimanapun, Shuib menafikan isterinya dimasukkan ke dalam hospital akibat amalan diet Sarah yang didakwa segelintir pihak penyebab utama dia masuk ke hospital.

“Ini adalah situasi paling teruk saya hadapi sepanjang tujuh tahun kami berkahwin. Nasib baik hospital dekat, kalau tidak doctor cakap perkara buruk akan berlaku. Saya bersyukur sangat-sangat Sarah kembali stabil dan normal.

“Tekanan darahnya pun semakin baik pagi ini. Dia pun sudah sedar dan baik-baik sahaja. Saya takut sangat sebenarnya. Pukul 6 pagi tadi pun, tekanan darahnya turun lagi. Bukan sebab diet pun,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE.

Dalam pada itu, Shuib juga menjelas keputusan berhenti daripada Sinar FM adalah disebabkan dia mahu memberi lebih fokus kepada perniagaannya yang semakin berkembang dengan baik.

Jelas Shuib, dia tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada tiga syarikatnya disebabkan komitmen sebagai penyampai radio tersebut sejak dua tahun lalu.

“Saya berhenti bukan disebabkan bergaduh atau ada alasan negatif. Saya berhenti kerana hendak beri lebih fokus. Rakan-rakan penyampai pun menyokong serta menghormati keputusan itu dan berharap agar semua tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar mengenai penarikan diri sebagai penyampai radio.

“Ini bukan keputusan secara tiba-tiba. Saya sudah berbincang dengan isteri dan keluarga kira-kira tiga bulan lalu. Saya juga sudah berbincang dengan rakan penyampai dan pihak radio sebulan yang lalu. Mereka menghormati keputusan itu.

“Sinar FM memberi saya pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Sedih memang sedih tetapi saya harus buat pengorbanan dan keputusan yang terbaik untuk masa depan saya dan keluarga,” katanya.- UTUSAN ONLINE