Apatah lagi, karya arahan Shuhaimi Zulkefli itu kini menggantikan drama Jangan Benci Cintaku yang sebelum ini berjaya memperoleh jumlah tontonan mencecah 12 juta penonton setiap kali disiarkan di slot Akasia TV3.

Menurut Sharnaaz, lebih setahun berehat seketika dari arena seni lakon tempatan, dia mengharapkan CBK dapat meninggalkan impak terbaik kepada masyarakat sementelah naskhah adaptasi novel itu mengangkat isu poligami.

“Alhamdulillah, saya punyai keserasian dengan Ayda kerana sebelum ini kami pernah sama-sama membintangi siri Awak Sangat Nakal dan beberapa drama lagi.

“Selepas berehat kira-kira setahun setelah mendirikan rumah tangga, saya akui memang ada rasa gugup.

“Namun, sepanjang berada di set penggambaran drama ini, segala-galanya berjalan lancar. Saya harap, reaksi peminat terhadap Cinta Bukan Kristal positif,” ujarnya.

Ayda pula berpendapat, bukan mudah untuk sesebuah naskhah yang mengetengahkan isu poligami diterima baik oleh komuniti.

“Justeru, diharap mutu persembahan saya, Sharnaaz dan Nina Iskandar serta barisan pelakon lain yang menjayakan drama ini dapat memberi satu sudut pandang berbeza terhadap permasalahan rumah tangga sebegini.

“Tidak semua wanita mahu berkongsi kasih dan bahagia dengan wanita lain. Jadi, menerusi drama ini pengarah cuba luaskan skop pandangan umum berhubung isu poligami yang dianggap tabu dan sensitif oleh segelintir individu,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE