Konsert yang dibawa khas oleh Sime Darby Property dengan kerjasama Universal Music Malaysia itu diadakan sempena merai penduduk perumahan City of Elmina dan kempen jenama Bandaraya Elmina.

Acara yang terbuka kepada orang ramai itu akan bermula pada pukul 5.30 petang dengan pelbagai permainan dan aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga, seperti belon udara panas, pertunjukan ‘fire-eater’, Cinema 12D dan trak makanan, sebelum konsert bermula pada pukul 8 malam.

Selain Filan, konsert yang diadakan secara percuma kepada orang ramai itu turut diserikan dengan persembahan daripada selebriti tempatan, Fazura.

Pada persembahan tersebut nanti, Filan dijangka akan mendendangkan rangkaian lagu-lagu popular Westlife dan lagu baharu yang dipetik daripada album solonya.

Sementara itu, dalam waktu terdekat ini, pihak penganjur akan mengumumkan seorang lagi artis yang akan menjayakan acara tersebut. - UTUSAN ONLINE