Mengimbas kembali kejadian yang dilaluinya beberapa tahun lalu, Shahrol atau nama penuhnya Shahrol Azizie Azmi pernah dikhabarkan meninggal dunia sehingga memaksa ahli keluarganya yang lain bergegas pulang ke kampung halamannya di Kluang, Johor.

“Nampak macam hal kecil tetapi apabila difikirkan semula, khabar angin yang tidak berasas seperti itu boleh mengundang pelbagai perkara buruk.

“Iyalah, siapa yang tidak terkejut mendengar hal kecemasan seperti itu. Mesti semua terkejar-kejar hendak pulang ke kampung.

“Kalau selamat tiba, syukur Alhamdulillah. Tetapi kalau sebaliknya yang berlaku, bukankah aniaya namanya?” ujar Shahrol ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Shahrol, penyebaran berita palsu itu adalah pengalaman terburuk pernah dihadapinya dan tidak faham motif sebenar individu yang mula-mula menyebarkannya.

“Bukan sahaja orang yang memulakan fitnah malah penyebar fitnah itu wajar dikenakan hukuman setimpal jika didapati bersalah.

“Sekarang ini kalau kita perasan (sedar), geng ‘makcik bawang’ semakin berleluasa dan inilah yang menjadi punca hal-hal seperti ini terjadi.

“Mereka terlalu teruja melakukan tugas wartawan, berlumba-lumba untuk menjadi orang terawal menyampaikan sesuatu berita kepada pihak lain padahal tidak diketahui kesahihan sumbernya.

“Jadi, sewajarnya ‘makcik-makcik bawang’ ini dihapuskan dengan penguatkuasaan undang-undang berkaitan,” katanya melontar pandangan. - UTUSAN ONLINE