SHAHIR memuat naik status di laman sosialnya mengenai hasratnya untuk menarik diri daripada final AF Megastar yang akan berlangsung Ahad ini.

Dalam kenyataan berbaur kecewa yang dimuat naik di laman sosial peribadinya, Instagram, shahirzawawi88, Shahir yang kini terhimpit dengan kontroversi peribadi memberitahu, keputusan untuk menarik diri daripada AF Megastar dibuat selepas kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang seakan mensabotaj kerjaya seninya.

“Tak senang hati rupanya melihat Allah memberi rezeki kepada saya. Baiklah demi merealisasikan impian mereka untuk menghancurkan saya karier saya.

“Insya-Allah saya sendiri akan menarik diri dari pentas akhir AF Megastar,” kata Shahir dalam status yang dimuat naik lewat petang ini.

Shahir, 29, kini terhimpit dalam kontroversi peribadi selepas seorang wanita yang dikenali sebagai Mona Syamimi mendakwa dia berkawan dengan penyanyi itu.

Menafikan dirinya sebagai peminat Shahir, Mona turut mendakwa, mereka telah beberapa kali keluar bersama sejak berkenalan sebulan lalu .

Sementara itu, kekasih Shahir, Erra Fazira pula dalam reaksi segeranya menegaskan, Shahir harus bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkannya.

“Apa kata kita sama-sama beri ruang pada Shahir untuk selesaikan AF Megastar terlebih dahulu, tak berapa hari lagi dah nak selesai. Sebaik berakhir AF Megastar kita lihat nanti perkembangan seterusnya.

“Saya tidak mahu memberi apa-apa reaksi terhadap apa sahaja kenyataan Shahir kerana semua itu (kenyataan) datang dari mulutnya sendiri. Dia yang harus bertanggungjawab,” kata Erra. - UTUSAN ONLINE