Baru-baru ini, Lejen Press dan produksi Rumah Anak Teater sekali lagi mementaskan sebuah naskhah hasil adaptasi novel terbitan syarikat itu, berjudul Seyogia yang ditulis oleh Amal Hamsan.

Ini merupakan pementasan kedua selepas kejayaan teater adaptasi novel Awek Chuck Taylor yang juga merupakan terbitan Lejen Press yang mana ia mendapat tempat di hati peminat buku dan teater terutamanya penggemar penulisan indie.

Seyogia yang berkisar mengenai kehidupan Jazreen dan Laila sudah pun memulakan pementasannya di Johor Bahru pada 26 hingga 28 November lalu dan kini peminat teater di Kuala Lumpur pula akan berpeluang menyaksikan teater ini.

Ia bakal berlangsung di Black Box Publika, bermula 18 hingga 20 Disember ini. Pementasan itu dibintangi oleh pelakon teater muda yang berbakat besar dalam seni dan persembahan yang komited dalam dunia teater.

Barisan para pelakon yang terdiri daripada Nazim Othmann (Azzad), Muhammad AlHakeem Husaon (Sod), Lya Azman (Jazreen), Feqdyatul Zainor (Laila) dan satu lagi watak yang dicipta khas untuk teater iaitu Norafidah Ahmad (Laila sisi gelap).

Peranan generasi muda ini dilihat memberi peluang kepada orang muda lain untuk menyokong dan meminati teater sebagai salah satu wadah dalam hiburan yang lebih sihat dan baik.

Penerbit Eksekutif teater ini yang juga dari produksi Rumah Anak Teater, Faizal Mustaffa berkata, terdapat banyak perbezaan antara naskhah Awek Chuck Taylor dan juga Seyogia, walaupun kedua-duanya diadaptasi daripada novel indie.

“Seyogia lebih memberi nilai kemanusiaan yang terjadi dalam diri setiap orang dengan menampakkan sisi hitam agar setiap yang disampaikan tidak terlalu sempurna kerana realitinya begitu.

“Pementasan ini memberikan satu perjalanan yang agak berbeza kepada penonton dengan perwatakan serta penyampaian yang boleh dirasakan sendiri dalam segala aspek kesedihan dan sebagainya,” jelasnya.

Novel Seyogia merupakan antara buku terlaris yang diterbitkan oleh Lejen Press yang diterbitkan pada 2013 dan telah terjual sebanyak 15,000 naskhah sehingga hari ini.

Menurut Faisal dalam pembikinan teater indie ini, segala yang dilakukan bukanlah hanya berpaksi pada keuntungan tetapi kerana cinta dan sayang pada seni teater dan persembahan.

Para pelakon yang terlibat merupakan penggiat teater dan ada juga yang baharu tetapi kesannya dapat dilihat dengan baik apabila berjaya membuatkan penonton di Johor Bahru memberi respons yang positif.

“Sebagai penggiat teater indie, pelbagai kekangan akan dihadapi untuk mengangkat seni ini dan paling terasa adalah dari segi sumbangan dan kekurangan dana untuk melakukannya.

“Ramai beranggapan bahawa teater perlu dipentaskan dengan gah di Istana Budaya tetapi bagi penggiat teater, di mana ada ruang dan ada penonton, maka di situ juga sesuai dipentaskan teater.

“Masyarakat masih lagi belum memahami keadaan ini, namun kesan positifnya sudah mula timbul dengan pelbagai produksi teater kian giat melaksanakan apa yang kami lakukan hari ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, rata-rata generasi muda akan terus menilai seni ini sebagai salah satu cabang yang boleh dihargai seperti masyarakat luar menghargai teater yang mereka pentaskan setiap hari.

“Bagi mereka yang ada di Kuala Lumpur, jangan lepaskan peluang untuk menonton Seyogia kerana pengalaman yang akan dialami pasti memberi kesan kepada anda seperti yang berlaku di Johor Bahru,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan tiket teater ini, bolehlah mendapatkannya di kedai buku I AM Lejen Shop, Subang Jaya, kedai buku MPH terpilih dan juga menerusi talian WhatsApp 012-2290944. – AMIRUL/FARID

Watak memberontak Jazreen

Memegang watak Jazreen dalam teater Seyogia memberi satu pengalaman baharu kepada saya. Saya akan cuba menghayati watak ini, lebih-lebih lagi watak ini mengimbau zaman persekolahan.

Wataknya yang rebel (memberontak) membuatkan saya mengingati watak-watak yang sama semasa di sekolah yang penuh dengan misteri yang diselindungi sama ada masalah atau sebagainya bagi membolehkan watak ini disampaikan dengan berkesan.

Walaupun menggiatkan diri dalam bidang teater, kami turut sama mempunyai komitmen pekerjaan masing-masing. Ini membuatkan kami sukar untuk berlatih bersama. Kebanyakannya, kami berlatih bersendirian.

Walau bagaimanapun kami berjaya mengatasinya ketika melakukan pementasan di Johor Bahru apabila setiap daripada kami dapat ‘bersatu’ untuk menjalani latihan bersama beberapa hari sebelum pementasan berlangsung.

  • Nur Nazliah Norazman

 

Ramai belum minat teater  

Tidak seperti pelakon televisyen mahupun filem, pelakon teater kurang popular. Seni persembahan ini juga kurang diminati dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana masih menganggap ia perkara yang tidak berfaedah.

Kurang pendedahan sejak kecil dan sering menganggap bayaran teater lebih mahal serta tidak begitu komersial membuatkan mereka tidak mahu menonton teater, apatah lagi jika teater itu tidak menampilkan pelakon popular.

Persepsi menyatakan bahawa pementasan teater mestilah dilakukan di dewan besar seperti Istana Budaya dengan penuh kesan khas dan bunyi mahupun pencahayaan. Namun, sebenarnya teater boleh dilakonkan di mana-mana asalkan ada pemain teater dan juga penonton.

Perkara seperti ini perlu diterapkan ke dalam jiwa generasi muda agar mereka terus menyokong walaupun terpaksa berbelanja besar untuk menyaksikannya. Ini kerana banyak sebenarnya perbezaan di antara lakonan teater dan juga tayangan filem mahupun drama komersial.

  • Muhammad AlHakeem Husain

 

​Sisik hitam watak Laila

Walaupun ada pengalaman berlakon teater tetapi ini kali pertama digandingkan dengan pelakon-pelakon baharu.

Dengan komitmen dan tunjuk ajar yang diberikan oleh pelakon lain, ia sedikit sebanyak membantu menyesuaikan diri dalam produksi kali ini yang saya rasakan ada kelainan yang perlu direbut oleh penonton.

Ia memberi satu lagi cabaran buat saya untuk menjayakan teater ini dalam menyesuaikan diri memegang watak Laila yang mempunyai satu misteri dalam dirinya di mana seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu fikiran.

Pada mulanya, saya cuba untuk menjadi diri saya sendiri kerana apa yang dialami watak tersebut sedikit sebanyak pernah saya alami seperti sakit kepala yang teruk dan sebagainya, tetapi saya tidak berjaya.

Justeru, watak Laila terus digali dan diolah sehingga berjaya menemukan sesuatu yang dicari. Itulah yang menyebabkan ada satu watak lain yang merupakan sisi hitam.

  • Hairul Nur Feqdyatul Zainor

 

Pengalaman baharu buat penonton

Kebiasaannya apabila menonton sesebuah teater, para penonton akan berada di hadapan pelakon dan melihatnya berada di atas pentas dengan bantuan pelbagai kesan khas dan bunyi mahupun lampu.

Namun dalam Seyogia, kami melakukan suatu kelainan bagi menghargai penonton yang hadir untuk menimba satu pengalaman baharu yang membolehkan mereka berasa seronok dan terhibur dengan apa yang kami persembahkan.

Seperti di Johor Bahru, kami melakukan teknik teater bergerak iaitu penonton perlu bergerak ke satu tempat seperti di dalam galeri lukisan tetapi di sini, lukisan itu adalah para pelakon yang melakonkan babak-babak mereka.

Ini jarang sekali dilakukan oleh kebanyakan produksi di Malaysia tetapi di luar negara, ia sudah banyak dilakukan. Bagi yang ingin tahu apakah kelainan yang bakal dipersembahkan nanti, bolehlah datang menonton teater Seyogia.

  • Mohamad Nazim Othman

Watak psiko beri pengalaman baharu

Memegang watak sebagai sisi hitam Laila bukan satu perkara mudah. Ia umpama penyakit yang ada dalam Laila tetapi dikeluarkan menjadi satu watak yang pastinya mempunyai masalah psikologi yang berat.

Kadangkala dia membuatkan kita mahu gembira, kadangkala sedih, adakala pula manja dan juga marah. Kesemua itu memberikan satu pengalaman yang berharga untuk terus membawakan watak-watak seperti itu.

Rata-rata, ia adalah satu pengalaman yang mengujakan apabila dapat berlakon bersama mereka yang sering menyertai pementasan kerana ini merupakan kali kedua saya berlakon dalam seni persembahan teater.

  • Siti Norafidah Ahmad