Membawakan genre muzik eksperimental new age rock, SW juga pernah menerbitkan album sulung mereka dengan judul Tragedi Realiti yang menyaksikan mereka bernaung di bawah syarikat rakaman Life Records.

Bagaimanapun umpama nasib yang tidak menyebelahi, selepas album tersebut SW dilihat tidak cemerlang dalam mengekalkan kewujudan band berkenaan sehingga mereka dianggap sudah berkubur di mata kasar peminat.

Lalu perkara itu diajukan kepada Pekin yang menjadi ketua kumpulan dan ternyata ada nada kurang senang dalam jawapan yang diberikan oleh pelakon ini ketika diminta untuk mengulas mengenainya.

Menyifatkan isu berkubur itu tidak benar, kata Pekin, sememangnya band berkenaan tidak muncul dengan sebarang single baharu selepas album Tragedi Realiti namun mereka masih bergerak aktif walau cuma di arena muzik indie semata-mata.

“Barangkali berlaku kerana kami tidak mempunyai sebarang publisiti dan tiada pula material baharu untuk diketengahkan kepada pendengar. Ketika itu saya akui, kami tidak begitu fokus kepada band dan banyak lagi perkara berkait yang menyaksikan bagaimana kami sukar untuk terus dengan band secara komersial.

“Jadi kami pilih untuk bergerak secara indie demi memberi ruang buat anggota untuk mencari keseimbangan masa dan kerja yang kami lakukan pada waktu itu.

“Justeru kebanyakan waktu kami cuma buat persembahan secara indie saja, kalau secara komersialnya memang tidak ada. Namun itu tidak bermakna kami sudah berkubur,” katanya.

Sehingga kini situasi seperti itu masih berlaku, kata Pekin, SW dari semasa ke semasa ada menerima tawaran untuk persembahan secara tertutup dan sebagainya dan itu adalah bukti bahawa mereka masih bergerak aktif walau cuma di belakang tabir.

“Mungkin kesilapannya ialah kami tidak banyak publisiti dan kerana itu orang fikir SW sudah berkubur sedangkan perkara itu tidak benar.

“Saya sekarang banyak menerima tawaran untuk persembahan flute dan saya bawa nama SW,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan SW tidak begitu cemerlang ketika itu, kata Pekin, dia melihat situasi itu kepada suasana muzik yang tidak memihak kepada genre muzik baharu seperti yang mereka bawa.

“Masa itu mungkin orang susah nak terima muzik kami sebab kami adalah antara band pertama yang menyanyi rap dalam bahasa Melayu.

“Rata-rata band lain, menyanyi rap dalam bahasa Inggeris. Dulu apabila rap dalam bahasa Melayu orang tak boleh terima sangat dan suasana itu tidak berlaku sekarang apabila ramai yang muncul dengan irama rap dan hip hop Melayu sekarang,” katanya.

Sekadar hobi

Menurut pelakon ini lagi, selepas hampir 13 tahun tiada sebarang projek muzik baharu, SW akan membuat kemunculan semula menerusi sebuah lagu yang telah selesai menjalani proses rakamannya baru-baru ini.

Kata Pekin, sebagai tanda permulaan 2016 yang akan membuka tirainya tidak lama lagi, SW bersedia untuk memberi ruang publisiti untuk band mereka.

“Bagaimanapun kami muncul semula bukan kerana kami mahu serius dengan bidang muzik, Kami lakukan ini sekadar hobi dan untuk suka-suka.

“Masing-masing juga mempunyai pekerjaan lain dalam masa yang sama dan kami berkumpul semula kali ini adalah untuk sekadar perkongsian muzik di masa lapang sahaja.

“Selain itu kami juga buat kemunculan kerana ramai kawan-kawan lama seperti band OAG dan Monoloque beri sokongan kepada kami,” katanya yang memaklumkan single itu mengambil inspirasi daripada band Dewa dan Padi.

Ketika ditanya sama ada jiwanya terhadap dunia lakonan kini berbelah bahagi lantaran fokusnya kini terarah kepada muzik, kata Peki,n itu tidak akan berlaku.

Menganggap dirinya perlu melakukan segala-galanya secara seimbang, Pekin tahu meski bebanannya kini bertambah sementelah dalam masa yang sama sibuk dengan pengajiannya di universiti dan mengendalikan syarikat pengurusan acaranya sendiri, dia enggan mengeluh lelah.

“Kalau kita lakukan perkara yang kita minat dan suka, tiada istilah penat atau lelah. Sebaliknya kita akan rasa seronok buat kerja,” katanya.

Mengaku jiwanya lebih cenderung kepada bidang muzik, kata Pekin, dia yang memulakan dunia seninya dengan muzik kemudiannya 'jatuh cinta’ dengan dunia lakonan yang kini menjadi makanannya.

Menyifatkan bahawa seseorang pelakon itu wajar mempunyai cabang kemahiran lain dan bukan cuma tertumpu pada satu bidang sahaja, Pekin mahu melengkapkan dirinya dengan sebanyak mungkin ilmu yang boleh diraih.

“Sediakan diri dengan banyak ilmu dalam satu masa, tak rugi pun. Saya sendiri belajar banyak benda dan saya fikir perfileman adalah satu medium seni yang sempurna.

“Ini kerana merangkumi muzik, rekaan, lakonan, lukisan dan subjek-subjek lain. Mahu atau tidak belajar, itu terpulang kepada seseorang artis itu,” katanya.