Mempamerkan lakonan meyakinkan sebagai Alisya dalam drama Papa Ricky yang ditayangkan di saluran Astro Prima dan Maya HD, pelakon cilik ini tidak kekok ketika beraksi di depan kamera. Mungkin itu, antara kelebihan yang dianugerahkan Yang Maha Esa kepadanya.

Bertemu anak kelahiran Selangor di ibu pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini, penulis terhibur dengan telatahnya yang petah berbahasa, bak orang dewasa. Tidak kaku menjawab soalan diajukan, dia berkongsi banyak cerita, termasuk kisah pembabitan awal dalam bidang seni.

“Ketika berusia empat tahun, saya tidak tahu (lakonan), satu bidang kerjaya yang serius. Saya berpandangan ia sekadar aktiviti menyeronokkan dan cukup menghiburkan.

“Pembabitan awal bermula apabila saya ditawarkan oleh rakan ayah yang merupakan seorang penggiat seni. Ketika itu, saya dimaklumkan pelakon yang sepatutnya membawakan watak tersebut telah menarik diri kerana takut beraksi di depan kamera.

“Walaupun tidak pernah berlakon, saya cuba berikan yang terbaik. Tidak sangka, lakonan saya menjadi dan memberi keyakinan kepada pengarah drama tersebut.

“Sejak itu, saya terima banyak tawaran berlakon dari semasa ke semasa,” katanya teruja.

Sejak mula berkecimpung pada 2012, Nur Qistina dihujani pelbagai tawaran berlakon termasuk watak yang cukup mencabar walaupun usianya masih mentah. Disoal tentang itu, Nur Qistina menyingkap pengalaman berlakon babak yang cukup memberi kesan buat dirinya.

“Antaranya ketika berlakon dalam filem Kelibat, arahan Hashim Rejab. Terdapat satu babak menggerikan yang mana tubuh saya dikerumuni ulat sampah.

“Itu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Sehingga hari ini, saya masih berasa geli apabila mengingati kembali saat tersebut,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada ibunya yang banyak memberi semangat ketika dia melakonkan babak mencabar.

Bercerita tentang pelajaran, Nur Qistina yang mengikuti proses pembelajaran di rumah mengakui mempunyai keinginan untuk belajar di sekolah harian bersama rakan seusia dengannya.

“Memang saya ingin belajar di sekolah harian, ada kawan-kawan untuk bermain dan sertai aktiviti di sekolah harian,” ujarnya yang menjelaskan dia tetap gembira dengan cara pembelajaran sekarang yang membolehkannya menyeimbangkan masa untuk belajar dan berlakon.

Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah untuk mengikuti sukatan pelajaran dan subjek penting dengan baik.

Malah, katanya, guru yang mengajarnya di rumah cukup membantu.

“Dalam masa yang sama, ibu juga sentiasa memantau pembelajaran saya,” ujarnya.