Biarpun belum diisytiharkan bankrap namun Shaheizy Sam, 34, tidak dapat melupakan tekanan sewaktu namanya dikaitkan dengan situasi memalukan buat seorang bintang filem yang dikenali itu.

Apatah lagi sewaktu semua pihak menanyakan topik yang sama secara serentak selepas pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengiklankan notis muflis hujung Mei lalu, Sam turut terkesan dengan apa yang terjadi.

Enggan melatah, Sam mengambil inisiatif untuk segera menyelesaikan perkara tersebut dengan melantik seorang ejen dan peguam bagi sama-sama menyelesaikan permasalahan yang timbul.

“Daripada memberatkan kepala memikirkan perkara ini, lebih baik saya diam-diam saja. Biarlah pihak terbabit ‘buat’ kerja mereka. Nanti kalau dah selesai, semuanya barulah saya boleh buka cerita.

“Kejadian ini juga buat saya buka mata. Dah mula kena mengambil berat tentang hal ehwal pengurusan kewangan dan urusan pembayaran cukai yang sewajarnya.

“Kalau diikutkan memang saya serik bila dapat tahu nama menghampiri bankrap. Panik pun ada. Tapi sebagai manusia biasa, kita kadangkala gemar mengambil mudah atas apa yang berlaku.

“Terutama dalam bab urusan dokumentasi, rata-rata antara kita pernah ambil serius. Sedangkan hakikatnya perkara itu sangat penting untuk urusan rasmi,” jelas bintang filem Polis Evo ini.

Tidak akan mendedahkan secara terperinci kes yang membabitkan namanya, Sam juga tidak pernah merasakan perkara itu sebagai perosak reputasi dan hubungan profesionnya dengan mana-mana pihak.

Sam juga percaya yang kes yang membabitkan urusan LHDN itu akan diselesaikan secara baik dan berharap agar semua pihak yang terbabit berlapang dada atas apa yang berlaku.

 

Oh Pinjamkan Hatiku

MENGAKUI genre cinta bukan pilihan utamanya setiap kali terbabit dalam naskhah baharu, Sam juga tidak menolak untuk terbabit jika produksi berkenaan menawarkan kelainan buatnya.

Apatah lagi naskhah tersebut mendapat sentuhan pengarah Osman Ali, Sam pasti tidak akan teragak-agak untuk memberikan kata persetujuan untuk turut sama dalam produksi yang sama.

“Apabila dapat tahu filem Pinjamkan Hatiku bakal diarahkan Osman, saya terus bersetuju kerana dia adalah antara senarai pengarah filem tempatan impian yang ingin saya bekerjasama.

“Sebelum ini, ada peluang untuk bekerjasama tapi tidak dapat dilakukan kerana macam-macam kekangan. Sudah pastinya saya tidak mahu melepaskan dengan mudah,” ujarnya yang membawakan watak Naufal dalam filem Pinjamkan Hatiku.

Kali pertama bergandingan dengan Ayda Jebat dalam filem terbitan Aurawhite Global Sdn. Bhd., Sam teruja dengan personaliti ‘gila-gila’ penyanyi lagu Mata itu yang banyak menyuntik keinginan dirinya untuk ‘bercinta’ dalam filem itu.

Secara tidak langsung membantu Sam untuk menyemarakkan lagi watak diberikan kerana Ayda dilihat bijak mencari mood untuk memastikan watak mereka sebagai pasangan kekasih itu benar-benar berjaya.

“Berlakon bersama Ayda juga membuatkan saya rasa benar-benar ingin bercinta. Nak kembali kepada zaman rindu merindu dengan pasangan kekasih kita itu tidak mudah, apatah lagi dengan status saya sebagai bapa dan ada anak.

“Sikap kebudak-budakkan Ayda yang ditonjolkan dalam filem itu benar-benar membantu, saya perlu berterima kasih padanya,” kata suami kepada Syatilla Melvin dan bapa Syeriv Samheizy, yang berusia empat bulan ini.

Selain Sam dan Ayda Jebat, Pinjamkan Hatiku turut dibintangi Farid Kamil, Lia Natalia, Azizah Mahzan, Norman Damanhuri, Sharifah Haslinda Al Khaired dan Daaim Jailani.