Sikap kasar yang dimiliki Syazwan Zulkifly, 32, in i turut mengundang aura negatif. Secara tidak langsung ini telah menyebabkan ada segelintir pihak yang kurang selesa bekerjasama dengannya.

Bersama Pancaindera, pelakon yang sedang popular dengan watak Pali menerusi drama Pujaan Hati Kanda meluahkan perasaan hati termasuklah isu tawaran lakonannya yang disekat sebuah stesen televisyen. Dia juga jujur memberitahu tidak lagi bernaung di bawah syarikat pengurusan Mind Order Sdn. Bhd. dan memilih untuk bergerak sendiri.

Sedar atau tidak, sikap kasar awak menyebabkan rezeki dalam bidang lakonan menjauh?

Syazwan: Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Saya reda dengan kekurangan ini, tetapi sikap kasar saya ini bertempat. Tidaklah 24 jam sehari nak berkasar dengan orang sekeliling. Kalau orang itu baik dengan saya, seribu kali saya baik dengan dia. Saya sedar diri, tak adalah nak menyakitkan hati orang saja kerjanya.

Tetapi, gara-gara sikap itu menyebabkan awak selalu berdepan masalah, kan?

Syazwan: Ada betul juga tu. Saya tak nafikan. Saya juga mengakui memang kurang menyerlah sepanjang tahun lalu. Alasannya sebab saya tak ada produk drama baharu. Yang ada cuma projek telefilem sahaja. Sampaikan, ada yang kata saya buat kemunculan semula dalam drama Pujaan Hati Kanda tu. Sebenarnya tidak, saya aktif sahaja macam biasa.

Benarkah kisah Syazwan mencederakan bekas kekasih, pengacara Shenty Feliziana kira-kira tiga tahun juga jadi punca. Nama anda tidak ‘lekat’ kalau dibawa ke stesen televisyen tertentu?

Syazwan:Barangkali. Hati saya kuat mengatakan kisah kontroversi saya dengan bekas kekasih belum jernih lagi. Nampaknya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan permohonan maaf sebelum ini. Contohnya, jika ada tawaran berlakon daripada syarikat produksi, nama saya tiba-tiba tidak lepas. Katanya, orang stesen televisyen tak mahu saya ada. Apabila ditanya kenapa, alasan diberikan produksi adalah sebab kes lama saya.

Jadi, betullah tu cerita awak kena 'beku' dengan stesen televisyen itu?

Syazwan: Nampaknya macam itulah. Sebab, kalau pergi ke stesen TV3 dan RTM, nampaknya macam tak ada masalah. Stesen itu sahaja. Hairan, bukan?

Dan, kenapa pula nama awak jadi agak tenggelam sepanjang tahun lalu. Takkanlah disebabkan kes lama itu juga?

Syazwan:Terus terang, saya mengharapkan perjalanan kerjaya saya lancar apabila memilih pengurusan Mind Order Sdn. Bhd. tahun lepas. Tapi entah di mana silapnya, perancangan itu tidak menjadi. Pun begitu, saya tak nak salahkan pihak lain kerana percaya rezeki pasti ada. Walaupun tanpa pengurusan mana-mana pihak, selepas ini mungkin adalah rezeki.

Lain macam sahaja kedengarannya?

Syazwan: Sebenarnya saya serik dianaktirikan. Bukan saja dalam soal pengurusan tapi secara keseluruhannya. Selepas melihat apa yang terjadi dalam hidup saya, jadi 'anak tiri' sememangnya perit. Terutama dari segi kewangan. Walaupun saya bujang tapi masih ada komitmen lain. Tak ada tawaran kerja, maknanya tak ada wang. Macam mana nak hidup kalau macam itu.

Dengar cerita sekarang Syazwan sudah bertemu dengan pengganti, buah hati awak kini bekerja di awan biru. Betulkah?

Syazwan: Betul saya (bercinta) dengan pramugari. Dia kawan lama saya. Kami tak adalah bercinta macam nak rak, tak ada pun hitam putih mengatakan saya kekasih dia dan begitu juga sebaliknya. Kami cuma selesa antara satu sama lain.

Orang kata, lelaki kasar ni seorang yang romantik. Penyayang dan manja pada kekasihnya. Awak macam mana?

Syazwan: Secara lisan, saya tidak mengiyakan perkara tersebut. Tapi perasaan sayang itu hanya boleh ditunjukkan melalui perbuatan. Lagipun siapa tak sayang cinta hati bukan? Kalau nak tahu saya romantis atau tidak, tanya pada dia.

Hubungan sudah masuk ke peringkat serius apabila sudah dimaklumkan kepada orang tua kedua-dua belah pihak. Bila awak nak meminang dia?

Syazwan: Jawapan klisenya adalah bila ada jodoh. Realitinya, saya sedang berusaha ke arah tersebut. Membuat persiapan seperti mengumpul wang dan macam-macam lagi keperluan. Nak mendirikan masjid ini adalah satu tanggungjawab besar. Tak boleh ambil jalan mudah.