Biarpun menampilkan jalan cerita yang sukar untuk difahami pada mulanya, namun susunan plot yang cukup menarik menjadi antara penarik utama untuk penonton menyaksikan filem ke-20 dan filem seram kedua oleh KRU ini.

Kehebatan pengarah Jason Chong dengan tidak menampilkan hantu membuatkan filem ini berlainan daripada filem seram sedia ada.

Naratif ceritanya membicarakan tentang seorang wanita bernama Lena yang baru tersedar setelah dua tahun koma dan hilang ingatan akibat satu kemalangan.

Keadaan bertambah mengelirukan apabila dia diperkenalkan kepada isteri baharu Shahrul, Min di flat lamanya di tingkat 4. Keadaan di tingkat itu yang suram dan sunyi dirasai walaupun telah mengalami pengubahsuaian dan dinamakan tingkat 3A.

Bermula dengan pelbagai insiden yang disangka mainan perasaan, Lena mula mengesyaki sesuatu peristiwa buruk telah berlaku di tingkat 3A. Lena sering berdepan dengan pelbagai kejadian aneh yang menyeramkan. Lena dapat rasakan terdapat makhluk-makhluk halus yang seakan berdendam dengan seseorang dan kembali untuk menuntut bela.

Gangguan seram ini memberikan lebih tekanan kepada Lena yang terasa diabaikan oleh suaminya Shahrul yang berbelah bagi antara isteri mudanya dan Lena.

Dendam Orang Mati diolah dengan begitu baik dan ia tidak menonjolkan hantu sebagai subjek utama biarpun ia sebuah filem seram. Sebaliknya, ia diceritakan dengan begitu kreatif lalu membuatkan kita berfikir apa sebenarnya yang berlaku.

Apa yang ingin dijelaskan pengarah melalui filem ini adalah permainan perasaan seseorang yang mampu mencipta pelbagai situasi dalam mindanya.

Selain itu, tanpa perlu solekan yang menjijikkan atau rambut putih dan menggerbang, Dendam Orang Mati tetap tampil menakutkan. Pengarah sendiri akui, yang dia tidak mahu memaparkan hantu yang menakutkan tetapi perasaan manusia sendiri.

“Perwatakan setiap karakter pula kadangkala mengelirukan. Siapa yang baik atau jahat tidak diterangkan dalam filem ini. Penonton diberi kebebasan untuk menilai sendiri apa yang mereka tonton,” kata Jason.

Teruja bekerjasama dengan KRU sekali lagi, Jason yang pernah menerbitkan filem Ular sebelum ini berkata, filem itu merupakan filem seram yang dicarinya iaitu seram yang berpandukan pada jalan cerita yang kuat.

“Saya tertarik dengan idea adanya sesuatu yang lebih menyeramkan dari kejadian paranormal itu sendiri.

“Apa yang lebih menakutkan dari hantu-hantu yang berdendam? Salah satu penekanan dalam penggambaran filem ini ialah kepuasan kerjasama dengan Lisa Surihani dalam mengatasi semua batasan demi menghidupkan watak Lena. Lisa begitu cekal dan akhirnya cemerlang dalam lakonannya,” ucap Jason.

PRODUKSI

Pengarah Jason Chong

Penulis Skrip Nizam Zakaria & Jason Chong

Penerbit Eksekutif Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim, 
Edry Abdul Halim

PELAKON


Lisa Surihani Lena

Fizz Fairuz Shahrul

Miera Liyana Min

Mustapha Kamal 
Tan Sri Zamani

Ramli Salleh Zali

Hamidah Wahab 
Mak Cik Zaharah

Eunous Madeonus Afiq