Menurut Afiza, Terang Malam adalah sebuah karya yang diadaptasi dari buku kumpulan puisi catatan Sani Sudin berjudul Di Dalam Dalam dan untuk menzahirkan kepada sebuah naskah pentas, dia mula mengolahnya sejak Disember tahun lalu.

“Terdapat sebanyak 81 puisi yang terkandung dalam buku kumpulan puisi Sani Sudin tersebut dan setelah kajian dibuat, saya mendapati kesemua puisi yang dihasilkan menjurus ke arah satu tema yang sama.

“Setelah mengenal pasti jenis tema yang perlu diangkat, kerja-kerja penulisan skrip mula dilakukan dan pelbagai persiapan terperinci dilakukan untuk menzahirkan naskah tersebut kepada penonton,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Dalam pada itu, penggiat teater dan pemuisi, Sani Sudin yang akan turut terlibat dalam pementasan Terang Malam berkata, dia gembira kerana dapat memberi peluang kepada anak-anak muda untuk meneroka maksud yang terkandung di dalam puisi-puisi ciptaannya.

“Karya seni adalah sesuatu yang abstrak dan segala mesej yang bakal dipersembahkan serta difahami adalah bergantung kepada intrepretasi masing-masing untuk menilai jalan cerita yang disampaikan.

“Terang Malam boleh dikatakan sebagai satu pementasan yang unik kerana jarang ada golongan muda mengangkat karya puisi sedia ada ke pentas lakon dan menterjemahkannya mengikut kesesuaian zaman,” katanya.

Himpunan puisi Sani akhirnya dicoretkan dengan kisah tentang pertemuan di antara seorang pelukis dan perempuan yang muncul secara tiba-tiba di galerinya pada suatu malam dan kehadirannya telah membawa ke arah satu rahsia yang mengubah perjalanan hidup sang pelukis tersebut.

Pementasan teater yang akan diarahkan oleh Ken Ridzuan ini akan membariskan gabungan nama pelakon baharu seperti Hani Mohamed dan Adieyka Zainal.

Tiket dijual pada harga RM20 manakala RM10 bagi pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi. Tiket-tiket boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM atau hubungi Alia di talian 014-9437387. - UTUSAN ONLINE