Merupakan anak bongsu daripada empat beradik, Sherry akui ada beberapa individu cuba berkenalan lebih rapat dengannya, namun perhubungan tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa zaman bujangnya bakal berakhir.

“Kebanyakan lelaki yang cuba mendekati saya adalah rakan-rakan yang bekerja satu industri, bidang sama dan kerap berjumpa.

“Apabila kami menjalani rutin harian hampir serupa, maka hilang keterujaan untuk berkongsi cerita, sekali gus membuatkan hubungan mudah bosan.

“Lama kelamaan, perhubungan itu mendatar, tiada bergerak ke tahap seterusnya. Kemudian kami lebih selesa menjadi teman biasa, tidak lebih daripada itu,” jelasnya kepada Utusan Online.

Mengakui pernah beberapa kali mencuba khidmat yang ditawarkan oleh sebuah portal mencari jodoh, namun Sherry cuma lakukan separuh jalan kerana lebih percayai kaedah konvensional.

Menurutnya, dia gemarkan lelaki budiman yang berani bersemuka dengannya sambil berbual-bual, berbanding menyemai ayat cinta di ruangan maya.

“Memang ramai lelaki hantar pesanan teks di media sosial, tetapi saya cukup tidak berkenan dengan cara itu. Nampak tidak profesional.

“Seboleh-bolehnya saya tepis godaan lelaki dunia siber yang tiada keyakinan diri berselindung di sebalik akaun media sosial mereka,” tegasnya. 

Dalam perkembangan lain, selebriti bertubuh gempal itu masih meneruskan kolaborasinya dengan butik pakaian Asyikin Exclusive buat kali ketiga berturut-turut. 

Jenama milik tempatan itu cukup sinonim dengan pelbagai jenis pakaian yang direka khas buat wanita-wanita berbadan besar. - UTUSAN ONLINE