Biarpun kadangkala perhatian Zarina buat Razil dan Raizal itu melebihi dua lagi anaknya, Muhammad Naim Azrai, 14 dan Muhammad Adam Azrai, 11, namun Zarina tiada pilihan.

Sememangnya Razil dan Raizal memerlukan lebih banyak perhatian berbanding Naim dan Adam. Ini kerana Razil penghidap autisme yang kronik. Dia langsung tidak boleh bercakap berbanding Raizal yang mampu bertutur, berdikari dan menjaga diri.

Bukan soal berbahagi kasih sayang di sini. Sesungguhnya, Zarina tidak pernah membeza-bezakan kasih sayang untuk kesemua darah dagingnya itu. Tidak satu pun Zarina bersikap pilih kasih hanya kerana dia mempunyai dua pasang anak autisme dan normal!

“Saya ibu yang mengandungkan dan melahirkan mereka. Saya yang menyusu dan mendidik mereka dari kecil hingga dah besar seperti hari ini. Sudah pastilah naluri ibu saya mahukan kesemua anak-anak saya gembira di depan mata.

“Perkara ini yang saya perjelaskan kepada Naim dan Adam setiap kali abang mereka, Azil (panggilan buat Razil) dan Azal (Raizal) buat hal. Naim mungkin dah boleh memahami.

“Tinggal lagi Adam, anak bongsu saya itu. Dia kerap mengadu sedih apabila saya seolah-olah mengabaikannya, terlalu kerap memberi layan istimewa buat Azil dan Azal. Sedangkan hakikatnya saya tak berniat sebegitu pun.

“Semua anak saya dilayan sama rata. Semuanya saya sayang sangat-sangat. Tak pernah sekalipun saya pilih kasih kepada mereka,” kata Zarina meluahkan perasaan yang berbuku di hati membabitkan perihal darah dagingnya itu.

Banyak suka duka yang perlu dihadapi oleh seorang ibu sepanjang mendidik kedua-dua anak istimewanya itu. Tambahan pula kedua-duanya mempunyai fiil yang sukar dijangka.

Apatah lagi pada situasi-situasi tertentu seperti suhu yang panas dan diberi tekanan berbentuk arahan yang tidak boleh diterima kedua-dua kembar itu, silap hari bulan boleh mengakibatkan mereka bertindak di luar kawalan.

Kerapkali juga Zarina berdepan dengan beberapa situasi getir apabila Razil tiba-tiba saja mengamuk dan mencederakan dirinya sendiri di khalayak ramai.

Baru-baru ini, Razil tiba-tiba menampar dirinya sendiri ketika mengikuti Zarina dalam sebuah acara di Selangor. Kejadian yang turut disaksikan orang awam itu menimbulkan suasana panik tambahan pula ketika itu Zarina tiada berhampiran Razil.

“Cuaca sekitar pada waktu itu sangat panas. Ditambah dengan ramai orang menyebabkan Azil tiba-tiba tension dan memanggil nama saya. Bila saya sampai di situ, saya nampak muka dia dah kemerahan.

“Azil seorang yang berjiwa sensitif dan dia hidup dalam dunianya sendiri. Dia juga menghidap penyakit sawan sejak kecil. Kalau tak kena mood, dia boleh mencederakan dirinya sendiri.

“Itu yang seboleh-bolehnya, saya elakkan benda-benda tajam berada di sekelilingnya. Saya risau kalau tiba-tiba dia mencederakan dia dengan barangan tersebut tanpa sedar ketika penyakit itu menyerang.

“Saya juga dah tak kisah dengan pandangan orang luar sewaktu anak saya itu diserang sawan di tempat awam. Biarlah mereka nak cakap apa. Yang penting anak saya pulih segera,” ujarnya.

Pun begitu, usaha untuk merawat Razil itu tidak dilakukan secara sendirian. Zarina bertuah kerana suami, Datuk Seri Dr. Abdul Raihan Wan Jaafar dan madunya, Datin Seri Noorhasimah Mohd. Noor banyak membantu.

Begitu juga dengan pembantu dan keluarga terdekat, mereka paling banyak membantu Zarina andai pelakon ini sibuk menjalani penggambaran atau terlibat dengan urusan perniagaan.

Beraya di kampung madu

Pernah diduga dengan ujian dalam rumah tangga, Zarina sama sekali tidak akan menyerah kalah kerana semangat juangnya sentiasa berkobar-kobar untuk memastikan segala-galanya dalam keadaan baik.

Apa yang penting juga, Zarina tidak boleh bergoyang kaki di rumah sebaliknya berusaha kerasa untuk sama-sama meningkatkan ekonomi keluarga.

“Saya bertuah kerana perniagaan menjual makanan pulut kuning saya itu semakin sukses dan berkembang pesat dengan pemantauan suami dan madu.

“Pelanggan juga bukan dari sekitar ibu kota tapi dah ada permintaan di luar negara. Ini semua adalah rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Semakin ramai orang yang makan masakan daripada air tangan saya, semakin banyak pula rezeki mendatang. Ini adalah satu perkara yang membuka mata saya secara tidak langsung.

“Rezeki semakin berkat dan hati juga semakin tenang apabila kita tidak pernah berkira dengan setiap rezeki yang dikongsi bersama,” katanya yang baru saja berhari raya di kampung madunya di Kampung Tualang, Kuala Krai, Kelantan.

Semakin tabah

ANAK-ANAK adalah dorongan utama yang menyebabkan Zarina mengambil keputusan untuk berhijrah awal tahun ini. Dia mahu menjadi contoh yang terbuat buat kesemua anak-anaknya itu yang semakin membesar.

Keikhlasannya untuk mengubah hidup itu juga menyebabkan dia dengan rela hati menolak tawaran berlakon dalam drama berjudul Dendam Aurora terbitan Global Station Sdn. Bhd., dua bulan lalu.

Dalam drama 100 episod itu, Zarina dikatakan telah pun membuka tudung bagaimanapun atas dasar penyesalan di atas kekhilafan, wanita ini mengambil keputusan untuk menarik diri dan memulangkan bayaran yang diterima kepada pihak penerbitan.

“Manusia mana yang tak melakukan kesilapan. Biarlah perkara yang lepas itu, tak usahlah nak menyesali. Cuma saya nak beritahu ada hikmah yang manis telah terjadi selepas itu.

“Pihak penerbitan yang sama kemudiannya menawarkan saya berlakon untuk sebuah lagi drama terbitannya 50 episod. Syukur sangat, tak sangka ada rezeki yang menanti selepas apa yang terjadi.

“Kejadian ini juga membuatkan saya lebih berhati-hati pada setiap amal ibadah saya. Kita tidak boleh mempermainkan segala apa yang termaktub dalam syariat Islam.

“Terus terang juga, yang saya dalam proses untuk memperbaiki semua ini secara perlahan-lahan. Insya-Allah, semuanya akan jadi sempurna satu masa nanti,” ujarnya.