Malah selepas dua dekad tidak mengadakan persembahan berskala besar, sudah tentu penyanyi yang diberi julukan Tina Turner dan Chaka Khan Malaysia ini rindu untuk beraksi di pentas gemilang.

Pada usia yang sudah mencecah angka 62 tahun, siapa sangka wanita ini masih bertenaga dan vokalnya masih lagi sama seperti awal kemunculannya.

Yakin dengan bakat yang dianugerahkan Ilahi, tuah Sahara amat cerah apabila dipelawa untuk mengadakan persembahan di Restoran Rebung milik cef selebriti terkenal, Datuk Ismail Ahmad.

Pastinya, Sahara atau Zaharah Yaacob itu tidak pernah membayangkan impiannya untuk kembali beraksi di pentas bakal tertunai setelah berpuluh-puluh tahun tidak mengadakan persembahan.

“Syukur Alhamdulillah, sudah 20 tahun saya tidak menyanyi dan membuat satu persembahan konsert atau showcase untuk peminat. Saya yakin masih ada lagi peminat Sahara Yaacob dan masih ada yang mendengar lagu genre rock blues yang saya nyanyikan.

“Saya berbesar hati apabila Cef Ismail berminat mempelawa saya untuk menghiburkan peminat di restorannya,” kata Sahara.

Tiket untuk persembahan yang akan berlangsung pada 3 Mac itu berharga antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu meja yang boleh memuatkan seramai 10 orang dan sesiapa yang berminat, boleh hubungi talian 016-3944118 atau 016-3201342 untuk informasi lanjut.

Teruja dan bersemangat untuk tampil kembali ke pentas menghiburkan peminat, Sahara mengakui, dia mengambil risiko untuk memastikan impiannya menjadi kenyataan.

“Saya mengadakan persembahan ini tanpa sebarang modal. Saya memberanikan diri untuk ambil risiko semata-mata mahu cita-cita itu direalisasikan menjadi realiti.

“Saya juga terbuka sekiranya ada pihak yang sudi memberi tajaan bagi persembahan itu nanti. Siapa tahu dengan sumbangan tersebut kita sama-sama dapat manfaatkannya,” ujarnya.

Menginginkan persembahan berbentuk hiburan santai, Sahara memberitahu, dia akan mendendangkan 12 buah lagu yang pernah menjadi hits sewaktu era kegemilangannya dulu.

Malah dia merancang untuk menyanyikan lagu popular Don’t Cry For Me Argentina yang punya nilai tersendiri selain seleksi lagu pelbagai genre.

Ujarnya lagi, dia berharap agar pada penghujung usianya itu masih ada lagi tawaran menyanyi supaya dia dapat kembali meraih pendapatan untuk menjalani sisa hidupnya.

“Inilah masa untuk saya buktikan vokal dan kemampuan diri kepada semua. Meskipun orang kata umur macam saya ini sudah masuk kategori warga emas tetapi saya masih lagi berstamina seperti zaman muda dulu.

“Semoga persembahan itu akan menjadi satu ruang pembuka rezeki kepada lebih banyak tawaran seni untuk menampung kos perbelanjaan sehari-hari,” tuturnya penuh harapan.

Kecewa tidak dibayar

TANGGAL 26 Januari lalu, Sahara bersama-sama 22 rakan penggiat seni bawah Program Umrah Penggiat Seni telah berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.

Program anjuran Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih itu julung kali diadakan hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berkongsi pengalaman berada di Tanah Suci, Sahara bersyukur diberikan peluang untuk menjejakkan kaki di depan Kaabah.

Malah Sahara turut diberi kesihatan yang baik tanpa sebarang kesulitan bagi mengerjakan ibadah.

“Syukur alhamdulillah kepada Tuhan sebab beri rezeki kepada saya menjejakkan kaki ke sana. Perasaan sangat tenang dan semua ibadah saya berjalan dengan lancar dan mudah.

“Sebaik pulang ke tanah air, saya hanya berehat sehari sahaja sebelum kembali bekerja bagi mempromosikan persembahan saya di Restoran Rebung,” katanya.

Pernah tinggal di stor usang yang sangat daif satu ketika dulu banyak mengajar erti duniawi buat Sahara namun kini dia lebih bersemangat untuk mengubah nasib hidupnya dengan mencari sumber wang ringgit daripada hasil nyanyian.

“Semuanya baik-baik sahaja. Saya bersyukur dengan kehidupan sekarang sebab semuanya serba lengkap.

“Tapi ada juga rasa sedikit kekecewaan apabila menjadi mangsa pihak yang hanya menggunakan hasil penat lelah orang lain demi keuntungan sendiri.

“Ada penganjur nak saya menyanyi secara percuma tanpa diberi sebarang token. Malah pernah juga kena tipu tidak dibayar sesen pun selepas selesai buat persembahan.

“Zaman sekarang ini semuanya perlukan wang. Saya tiada niat nak demand tapi harus memahami usaha saya untuk pergi ke lokasi persembahan. Semua ini juga melibatkan kos,” luahnya.

Dalam pada itu, setahun lalu, Sahara telah merakamkan semula lagu Tangisan Marhein bersama-sama komposer Azman Abu Hassan bagi dijadikan single terbaharunya tidak lama lagi.