Mengambil inspirasi daripada beberapa kisah perajurit dan pahlawan yang pernah berjuang ke medan perang telah memberikan inspirasi untuk mengangkat kisah Kanang yang terkenal di bumi Sarawak sehingga ke hari ini.

Tentu sahaja terjemahan pengarah Bade Haji Azmi dapat disaksikan menerusi filem The Iban Warrior Kanang Anak Langkau (KALTIW). Tidak sekadar mengangkat tokoh yang berjasa pada negara, tentu sahaja filem ni turut menyemai semangat patriotik dan menambah nilai patriotisme kepada setiap individu.

Seperti yang tertulis dalam sejarah, kisah Kanang anak Langkau sangat memberikan inspirasi. Keberanian dan perjuangan ketika menentang komunis turut diangkat di dalam novel Kanang- Cerita Seorang Pahlawan hasil tulisan Maznan Noordin.

Filem aksi yang diangkat dari kisah sebenar ini bakal ditayangkan di pawagam pada 16 Mac nanti. Tentunya menjanjikan sesuatu yang luar biasa dan mampu menyuntik semangat cintakan tanah air.

Menurut Bade Haji Azmi, bukan mudah untuk menghasilkan filem ini kerana ia memerlukan penghayatan yang baik. Dia sendiri perlu menyelami sikap mendiang Kanang.

“Saya perlu merantau ke seluruh negara untuk mencari rakan-rakan terdekat mendiang. Pertemuan bersama lima orang rakan rapat mendiang membolehkan saya merungkai sesuatu yang baru dan lebih menarik lagi,” katanya.

Mengakui melalui proses pemilihan pelakon yang memakan masa selama empat tahun, ia merupakan satu tempoh yang agak lama semata-mata ingin mencari pelakon yang dapat membawakan watak Kanang.

“Saya berjumpa ramai pelakon Melayu kita yang hebat namun tidak sesuai kerana Kanang adalah orang Iban dan banyak ritual di dalam watak ini yang bercanggah dengan orang Islam.

“Saya dan penerbit Zainal Fikri pergi ke seluruh kem askar seluruh Malaysia untuk mencari watak Kanang. Kita adakan uji bakat dan akhirnya kami menemui Langgi Kanang yang juga merupakan anak kepada mendiang. Biarpun tiada pengalaman berlakon memandangkan dia seorang tentera namun kesungguhan dia untuk menghidupkan watak mendiang ayahnya itu sangat mengagumkan kami,” katanya memberikan gambaran awal.

Selain Langgi, turut terlibat dalam filem ini termasuklah Adi Putra, Johan As’ari, Zach X-Factor, Taufiq Hanafi, Adam Shahz, Ruzana Ibrahim, Livonia Guing, Amai Kamarudin dan Aidil Aziz.

Jiwa Ruzana

TIDAK melihat isu gender sebagai salah satu sebab untuknya mengalah dalam filem aksi begini, tentu sahaja membuatkan Ruzana yakin memberikan lakonan terbaik setanding dengan pelakon lelaki yang ada.

Menariknya dia yang diberikan peranan membawakan watak Senah yang juga merupakan seorang komunis.

“Pada peringkat awal saya memang tak menyangka akan diberikan watak komunis. Tentu sahaja apabila diberikan tanggungjawab tersebut, saya tidak menolak. Tidak mungkin peluang begini akan datang lagi pada masa hadapan apatah lagi melibatkan naskhah filem.

“Walaupun saya teruk dilanyak ketika penggambaran berlangsung, perkara tersebut tidak memberikan masalah. Apa yang penting saya berjaya membawakan watak tersebut dengan baik mengikut kehendak pengarah,” tutur pelakon yang popular dengan drama Isteri Tuan Ihsan ini lagi.

Pun begitu, Ruzana berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang watak komunis. Tentunya tidak banyak rujukan yang dapat dibuat berbanding dengan watak askar yang boleh diperoleh dengan senang.

Mengakui Bade banyak memberikan gambaran dan tunjuk ajar apa yang perlu dilakukan, dia perlu memahami setiap perbuatan memandangkan karektor komunis yang licik, banyak helah dan tidak meninggalkan jejak.

“Saya banyak terlibat dengan babak perang yang pastinya menuntut ketahanan mental dan fizikal. Tidak mudah sebenarnya untuk membawakan watak ini jika tidak kental. Untungnya kebanyakan pelakon, kru dan pengarah banyak membantu saya mengekalkan momentum.

“Tentunya saya tak mahu orang memandangkan rendah keupayaan lakonan saya. Meskipun membawakan watak komunis, saya perlu tunjukkan kekuatan sebenar walaupun melibatkan hal kecil seperti memegang senjata dan sebagainya,” kata Ruzana lagi.

Filem ini mengisahkan tentang Kanang yang merupakan kaum Iban yang tinggal di kawasan hulu pedalaman Sarawak. Kanang membesar sebagai seorang pemburu dan penjejak hutan yang hebat hasil tunjuk ajar datuknya.

Kerjayanya bermula apabila beliau menyertai Rejimen Renjer Sarawak sebagai Iban Tracker, sehinggalah dia menjadi Sarjan Mejar di Rejimen Renjer Ke-8 dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Semangatnya berjuang bersama pasukan platun menghapuskan komunis dari 1948 sehingga 1983 tidak pernah padam. Pertempuran sengit berlarutan hingga ke Hutan Korbu dan Tanah Hitam di Perak. Semasa pertempuran di sana, Kanang ditembak.

Semangat

BAGI Amai Kamarudin tentu sahaja penglibatannya dalam filem ini merupakan antara kejayaan manis yang dicapai sepanjang satu dekad bergelar pelakon. Tambah memberikan rasa uja apabila berpeluang terlibat dalam naskhah melibatkan tokoh besar begini.

Membawakan watak sebagai Kotap Buang yang juga merupakan rakan platun kepada Kanang, tentu sahaja kenangan semasa penggambaran kembali mengalir deras dalam ingatan lelaki yang berusia 29 tahun ini.

“Sejak diberikan kepercayaan terlibat sama dalam naskhah KALTIW, tentu sahaja perasaan teruja dan bangga mula dirasakan. Kisah yang berlaku kepada Kanang satu ketika dahulu terus bergulir dalam ingatan dan membuatkan saya bersemangat.

“Hampir sebulan juga saya berada di set penggambaran di Ipoh (Perak) dan tentunya banyak pelajaran baharu yang saya peroleh apabila terlibat dalam naskhah besar begini,” kata Amai.

Sepanjang penggambaran, Amai merupakan antara pelakon yang paling teruk ‘dilanyak’ memandangkan peranannya itu. Dia terpaksa memikul senjata jenis LMG seberat 16 kilogram seperti mana kisah benar yang pernah terjadi kepada Kotap ketika itu.

Mengakui tangan dan badannya ‘penat’ memikul senjata berat tersebut, dia tidak pernah sesal dan menganggap ini adalah pengalaman baharu sambil menyelami sendiri perasaan perajurit yang berjuang untuk tanah air.

Menjalani latihan selama dua minggu bersama para pelakon lain di salah sebuah kem askar di Ipoh, mereka diberikan latihan asas termasuklah menggunakan senjata, latihan berkawad dan beberapa latihan lain yang perlu.

“Di sini saya banyak belajar perkara baharu tentang dunia askar yang sebenar. Cara nak memegang dan memikul senjata juga perlu kena dengan gayanya supaya apa yang divisual dalam filem nanti tidak canggung.

“Tentunya saya berterima kasih kepada Bade dan Zainal Fikri selaku penerbit yang percaya pada bakat saya. Harapnya peminat akan datang menyaksikan filem ini nanti,” kata Amai lagi.