Lebih banyak mengimarahkan rumah Allah bersama jemaah tabligh yang disertainya, Iwan yang ditemui baru-baru ini mengatakan hala tuju hidupnya lebih terurus.

Pun begitu, Iwan tetap tidak pernah bersara daripada dunia hiburan tanah air. Kalau dahulunya dikenali menerusi genre dangdut, penyanyi itu masih mengekalkan irama tersebut tetapi diterapkan unsur ketuhanan dalam liriknya.

“Saya mempunyai asas agama sejak belasan tahun lagi hasil bimbingan guru atau ustaz yang pernah mencurahkan ilmu pengetahuan kepada saya. Cuma dahulu ketika sudah berada di persada seni hiburan tempatan, agak lalai mengamalkannya sehingga alpa kepada-Nya.

“Kini, saya aman dengan rutin kehidupan harian yang ditempuhi sejak berhijrah. Tetapi cinta terhadap muzik dangdut tidak pernah pudar dan akan terus mendendangkannya,” kata Iwan.

Selain masih lagi memenuhi undangan nyanyian pentas, Iwan berkata, dia sering mengikut kumpulan tablighnya berdakwah ke merata tempat seluruh Malaysia.

Peluang yang diberikan katanya adalah sesuatu yang tidak akan dilepaskan. Platform untuk berdakwah bukannya diperoleh semua orang, tetapi Iwan bersyukur kerana diberi kesempatan tersebut.

“Saya masih lagi belajar ilmu akhirat dengan mengikuti kumpulan ini. Ia berkonsepkan perkongsian, segala ilmu dikongsi bersama selagi ia masih di jalan yang lurus.

“Bermastautin dari satu tempat ke satu tempat memberi peluang kepada saya untuk mengetahui budaya dan tradisi setempat. Kumpulan tabligh saya cuba untuk menyelami cara mereka agar mudah untuk didekati,” katanya memberi penjelasan secara menyeluruh.