Menetap di Kuala Lumpur manakala isteri dan anak berada di negara kelahirannya di Singapura menguruskan bisnes keluarga, Alif memberitahu, jarak pemisah tersebut menerbitkan rasa rindu yang tidak keruan.

“Sebulan sekali pasti saya akan mencuri masa untuk pulang ke kampung halaman. Sesibuk mana pun, saya akan berusaha untuk bertemu mereka walaupun sekejap. Paling penting adalah kualiti, bukannya kuantiti masa.

“Apabila saya bersama-sama isteri dan anak, saya pasti akan manfaatkan masa itu untuk mereka. Pergi bersiar-siar, makan angin atau duduk di rumah membuat pelbagai aktiviti,” katanya.

Alif berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran single baharunya, Buat Selamanya yang diadakan di SukaSucre Bistro, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah penyanyi rap itu, sejak berkahwin, dia mulai sedar matlamatnya dalam berkerja dan mencari duit.

“Kalau dulu masa bujang, tak pernah fikir duit cukup atau tidak. Tetapi sekarang kena berkerja keras memastikan nafkah keluarga dipenuhi. Ada arah tuju dan panduan dalam memastikan saya sentiasa rajin.

“Jika tidak, anak isteri akan terasa impaknya. Apatah lagi Alana semakin membesar dan banyak perbelanjaan diperlukan sehinggalah dia meningkat dewasa. Ini baru seorang, kalau dikurniakan cahaya mata lagi, lain pula ceritanya,” ujar Alif.

Pada masa yang sama, dia tidak menafikan rasa terkilan kerana tidak melihat berpeluang Alana membesar di depan mata. Namun dia akur dengan pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi mencari rezeki.

Boleh dikatakan, hampir setiap hari dia akan membuat panggilan video untuk berkomunikasi dengan isteri dan anaknya untuk mengubat kerinduan.

Batal hasrat pindah ke Malaysia

Merencana untuk berpindah menetap bersama-sama keluarga di Kuala Lumpur, Alif berkata, hasratnya itu terpaksa dibatalkan buat sementara waktu atas alasan tertentu.

“Ikutkan pada Jun lalu kami berpindah ke sini tetapi isteri terikat dengan urusan perniagaan di sana. Dia diamanahkan untuk menguruskan perniagaan restoran milik keluarganya.

“Oleh sebab itu, saya akur dan reda. Mungkin ada hikmahnya kami duduk berjauhan. Sekurang-kurangnya rasa rindu itu membuak-buak,” katanya.

Menurut Alif, isterinya juga melarang dia pulang ke Singapura malah memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk meneruskan kerjaya di negara ini.

“Selepas emak saya meninggal dunia pada tahun lalu, keluarga ada menyuruh saya kembali ke Singapura. Tetapi isteri memberi dorongan dan galakan agar terus tinggal di sini.

“Dia amat memahami dan faham betapa susahnya saya untuk mencipta nama di sini suatu ketika dahulu sewaktu dengan Sleeq,” tambahnya.

Mengulas lanjut tentang lagu baharu, Buat Selamanya, karya hasil ciptaannya itu menyentuh mengenai isu keganasan rumah tangga.

Bagaimanapun Alif menafikan dia menyokong jenayah itu sebaliknya mahu memberi kesedaran kepada setiap insan di muka bumi ini.

“Lagu ini tidak ditujukan kepada sesiapa secara spesifik. Setiap hubungan sesama manusia sama ada suami isteri, adik-beradik, anak-beranak atau sahabat handai pasti melalui satu detik sukar, tiada persefahaman.

“Situasi itulah yang cuba disampaikan kepada pendengar dan saya sengaja mencari kelainan. Apatah lagi kita selalu diperdengarkan dengan lagu-lagu berunsur cinta nan bahagia,” jelasnya.