Belum merancang membuat rumah terbuka khas buat peminat mahupun keluarga, Fara yang beraya di Kerling, Selangor turut menyediakan wang khas buat kanak-kanak kecil yang beraya di rumahnya.

Namun dalam keseronokan beraya sebagai selebriti, jelas Fara, dia dan adiknya, Aiman Tino tidaklah terlalu ghairah beraya dan perlu membantu ibu bapa menyediakan pelbagai persiapan

 

memandangkan mereka mempunyai ramai adik beradik kecil.

“Raya pertama tempoh hari saya beraya di Kerling dan kemudian ke Sabak Bernam. Jadi jika ada masa nanti dalam bulan Syawal ini saya akan ke rumah ibu angkat di Perlis dan kemudian bercuti di Thailand.

“Tahun ini Alhamdulillah raya memang meriah, saya beli baju raya untuk adik-adik sekali. Kalau dulu baju semua sedondon, tapi untuk kali ini kami pakai ‘rojak’ sahaja. Mak saya kata kalau pakai sedondon nampak macam boria pula.

“Menariknya hari raya kali ini saya sediakan angpau buat kanak-kanak. Kalau dulu sebelum jadi artis memang saya tak sediakan, tapi sekarang makcik-makcik tahu saya sudah bekerja, jadi ramai anak buah yang meminta,” kata Fara.

Tidak marah jika ditanya soal jodoh, jelas Fara, dia sebelum ini sudah menetapkan usia sesuai untuk berumah tangga.

“Sebelum jadi artis saya rancang mahu tamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun, tapi sekarang saya gerakkan jauh sedikit dari usia itu untuk menikmati lebih banyak peluang kerjaya.

“Namun kalau boleh saya tak mahu berkahwin dengan artis sebab kalau kami sama-sama sibuk dengan kerjaya, bagaimana pula dengan rumah tangga kami nanti.

“Buat masa sekarang saya masih belum punya sebarang hubungan dengan mana-mana lelaki. Emak pesan kalau boleh biar kenal-kenal dahulu. Saya suka berkongsi cerita dengan emak, jadi semua perkara berkaitan peribadi dan cinta akan saya ceritakan padanya,” jelas Fara jujur.

Tiada jiwa berlakon

Tidak mahu hanya bergelar penyanyi, Fara turut mencuba nasib dalam bidang lakonan. Terbaharu, Fara baru sahaja selesai penggambaran telefilem berjudul Cikgu Pencen yang akan bersiaran di RTM tidak lama lagi.

Pertama kali beraksi ternyata Fara tidak mempunyai jiwa untuk meneruskan cita-cita sebagai pelakon.

“Lepas berlakon telefilem Cikgu Pencen, pengarah tersebut ada tawarkan satu lagi drama tapi saya terpaksa tolak sebab mahu tengok dahulu hasil lakonan yang pertama.

“Jujurnya saya tak ada jiwa lagi untuk berlakon. Saya tak boleh tunggu lama di lokasi, ia sangat berlainan dengan menyanyi.

“Namun saya berhasrat kembangkan bakat pada bidang pengacaraan. Kalau ada rezeki dan tawaran, insya-Allah saya akan laksanakan dengan baik,” ujar Fara.