Sebagai seorang lelaki tulen, Pekin yang hadir ke Studio Utusan bersama seorang lagi peneraju filem terbitan SPS Jaya itu, Cat Farish, 41, berkata, kewibawaannya selama hampir dua dekad bergelar pelakon benar-benar diuji.

Menurut jejaka kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu, cabaran membawakan karakter berlainan jantina tidak pernah diduga, tetapi dia menerimanya untuk meluaskan lagi portfolio sebagai seorang pelakon serba boleh.

“Setelah beberapa kali terbabit dalam sebuah karya seni bermutu tinggi seperti Ophilia, Apokalips X, Rumah Pusaka Di Simpang Jalan dan sebagainya. Tiba masanya untuk saya kembali berlakon dalam sebuah filem yang lebih santai.

“Coverina diarahkan oleh Khalid Nazri, adik kepada Ahmad Idham. Skripnya berkualiti sekalipun dikategorikan sebagai sebuah filem berbajet rendah dengan kos sekitar setengah juta sahaja.

“Saya menerima tawaran ini disebabkan jalan ceritanya yang menarik, di samping masih lagi mengekalkan ciri-ciri sebuah filem agar ia tidak nampak seperti karya murahan,” terang Pekin.

Sinopsis

Kamal, seorang pengangur yang sering membantu temannya Ery di warung burger, telah tersilap mengisi borang permohonan kerja, sehingga dia ditemu duga untuk bekerja di sebuah syarikat permotoran milik Rina, ratu permotoran negara, seorang anti-lelaki akibat ditinggalkan kekasihnya pada hari pernikahan mereka.

Semuanya berubah, apabila Kamal diterima bekerja di situ sebagai ‘despatch’ kerana pekerja wanita mereka telah berhenti secara tiba-tiba. Ery, telah menasihati Kamal, supaya menjadi wanita, untuk mengetahui isi hati Rina, dengan menyertai kumpulan motor berkuasa tinggi yang dianggotai oleh Sharifah, seorang ibu tunggal, Liz, seorang wanita berkeluarga, Ali, seorang gadis pengkid dan Rina sendiri.

Kejadian tidak sengaja telah berlaku dan membolehkan Kamal yang menyamar sebagai Kamalia untuk menyertai mereka.

Menyamar sebagai Kamalia, membolehkan Kamal menyelami perasaan Rina, dan cuba memikatnya. Namun, cubaannya tidak berkesan, dan menyebabkan Rina yang kesunyian, ingin kembali menjalin perhubungan dengan bekas kekasihnya.

Apa yang terjadi kepada perhubungan di antara Kamalia dan Rina? Adakah Kamal akan mengaku dia adalah Kamalia dan adakah Rina akan kembali kepada bekas kekasihnya? Semua akan diketahui dalam sebuah filem komedi arahan Khalid Nadzri di pawagam seluruh Malaysia, bermula 19 Februari 2015 lalu.

Ery penggerak cerita

Dalam pada itu, Cat yang mendukung watak Ery berkata, dia langsung tidak berasa tertekan membawakan peranan tersebut kerana adanya pelakon berbakat seperti Pekin dan Siti Elizad sebagai peneraju utamanya.

Menurut Cat, pembabitan dalam mana-mana produksi sekalipun, jika diberi rakan pelakon yang faham akan tugas masing-masing, cabaran melaksanakannya menjadi lebih mudah walaupun pada asalnya nampak sukar.

“Itu adalah lumrah. Apa jua cabaran, andai ada pendorong di sekeliling kita, tidak mustahil akan menjadi mudah. Mulanya memang nampak sukar disebabkan tanpa Ery, cerita ini mungkin tidak akan terjadi.

“Ery adalah penggerak cerita. Dia adalah rakan serumah Kamal atau Kamalia. Dialah yang menjadi master mind untuk merancang pelan membongkar masalah yang dihadapi Rina, lakonan Elizad.

“Pada masa yang sama, Ery juga yang membuka langkah buat Kamal mengenali Rina sebelum rakannya jatuh cinta terhadap wanita yang antilelaki itu,” cerita Cat ringkas mengenai watak yang dibawanya.

Pada masa yang sama, kebebasan yang diberikan pengarah untuk mengembangkan watak disambut baik oleh setiap pelakon. Cat memberitahu, tema kekeluargaan yang diterapkan memudahkannya untuk mewujudkan senario yang ceria terhadap jalan cerita.

Katanya, tema itu sangat dekat dengan penonton dan untuk memasukkan elemen humor, ia tidak begitu membebankan. Yang pasti, penekanan dan mesej itu sampai kepada penonton.

“Biarlah watak saya ini nampak klise, tetapi pembawakan yang berkesan tetap akan memberi impak tersendiri,” ujar Cat yang juga terlibat menyediakan skor muzik filem Coverina yang bakal ditayangkan pada 19 Februari ini.

Cukur bulu kaki

Menceritakan pengalamannya sepanjang 10 hari berpakaian dan berperwatakan wanita, tugas yang mencabar adalah untuk meyakinkan penonton bahawa watak Kamalia yang didukungnya merupakan seorang wanita, bukannya seorang mak nyah.

“Seorang pelakon lelaki yang membawakan watak wanita adalah berlainan sama sekali dengan karakter mak nyah atau pondan. Jadi, ia satu cabaran untuk memastikan penonton filem ini mengakui Kamalia seorang wanita tulen.

“Di samping saiz fizikal saya yang pastinya tidak boleh dibuat apa-apa untuk menutupi identiti seorang lelaki, saya cuba sebaik mungkin untuk mengkaji perilaku wanita supaya lakonan saya tidak menampakkan seperti seorang mak nyah.

“Justeru, penelitian bagi membezakan kedua-duanya penting dan sesekali membuatkan saya keliru. Pastinya, banyak sumber perlu saya rujuk untuk menjayakan watak Kamalia sehinggakan terpaksa mencukur bulu kaki.

“Begitu besar pengorbanan yang saya lakukan. Saya berani mengambil risiko berbuat demikian kerana menghargai kualiti filem ini. Dan yakin ini merupakan naskhah bermutu tanpa memerlukan bajet yang tinggi,” jelas Pekin berseloroh sambil menunjukkan betisnya yang licin.

Disebabkan itu, Pekin merayu kepada penonton agar menyokong karya tempatan menerusi penilaian yang lebih adil, bukannya menolak secara semberono. Dia akui, filem Melayu dipandang enteng oleh sesetengah individu hanya disebabkan lambakan karya yang tidak mempunyai piawaian terbaik.

Katanya, hanya disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Bagaimanapun, Pekin tidak menyalahkan penonton, malah optimis untuk memberikan yang lebih bagus pada masa akan datang.