Jika dahulu dia merupakan pekerja di sebuah kedai vape atau rokok elektronik, Amir yang berasal dari Taman Melawati berasa bangga apabila dia kini sudah mampu bergelar bos atau tauke.

“Alhamdulillah, selepas klip video saya menyanyikan lagu dendangan band Indonesia itu tular dalam internet, saya mendapat peluang untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia.

“Peluang yang di luar jangkaan itu saya manfaatkan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman bergelar penyanyi dan setakat ini saya gembira melihat perjalanan seni saya.

“Bukan itu sahaja, penularan rakaman video tersebut turut melimpahkan rezeki kepada saya untuk menjalankan bisnes vape sendiri,” katanya yang kini membuka kedai vape di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Bercerita mengenai perkembangan terkininya, Amir baru sahaja melancarkan debut berjudul Bicaramu yang dihasilkannya sendiri bersama-sama dua rakannya, Haikal Azrin dan Rudy Nastia.

“Muzik video single pertama saya itu sudah pun berada di platform YouTube. Sejak dilancarkan pada hujung April lalu, klip tersebut telah ditonton kira-kira 56,000 kali.

“Saya berharap lagu ini diterima baik oleh peminat lagu Melayu tempatan, sekali gus membuka ruang kepada saya untuk terus meneroka bidang ini,” katanya yang turut berkebolehan menyanyi lagu rap.

Menurutnya, jika diberi peluang, pada masa akan datang Amir ingin menghasilkan lagu rap untuk membuktikan kredibiliti bakatnya yang pelbagai. - UTUSAN ONLINE