Yang pasti teater berdurasi 90 minit yang bakal di pentaskan di Istana budaya pada 13 Februari hingga 21 Februari ini akan membuatkan penonton tidak kering gusi dengan jenaka yang santai tetapi mempunyai maksud tersendiri.

Menariknya, Zombie La La La akan menjadi teater pertama di Istana Budaya yang akan menampilkan props kapal yang akan bebas bergerak di atas pentas, berbeza sebelum ini apabila hanya menampilkannya dalam bentuk multi media atau sebahagian sahaja.

“Saya gembira kerana penerbit memberi peluang dan kebebasan kepada saya untuk menghasilkan sebuah kapal yang akan menjadi pengangkutan utama untuk zombie bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Meskipun mekanisma pergerakan itu tidak dapat dilakukan secara bermotor kerana kekangan teknikal namun saya percaya membawakan kesan ‘gah’ apabila ditonton,” kata pereka set dan multimedia, Najiffaizal Mohd Tawil.

Berpengalaman sejak 10 tahun dalam bidang rekaan tersebut akan menampilkan kerja kreatif lain seperti animasi yang digabungkan dengan pentas.

“Latar teater ini berubah dari satu tempat ke satu tempat dengan cepat dan pelbagai arah maka saya menggunakan teknik fotografi yang dipancarkan ke layar.

“Antara lokasi yang dipilih ialah tempat pelancongan terkenal sekitar Kuala Lumpur seperti KLCC, Dataran Merdeka, Tugu Negara, Zoo Negara, Muzium Negara dan Putrajaya,” jelasnya.

Sementara itu, pereka kostum, Sarena Azizan melihat teater yang ditulis skripnya oleh Siti Rohayah Attan ini memberi dimensi berbeza dari sudut rekaan dan penggunaan.

“Teater ini tidak dinyatakan latar masa yang terperinci kerana kebanyakan watak utama telah hidup lebih awal dari zaman sekarang. Justeru, kostum yang direka tidak menggambarkan sesuatu zaman sebaliknya mengikut watak dan latar tempat.

“Contohnya, watak CleoPapa diinspirasikan daripada kisah Cleopatra, watak LiliPoh dirujuk kepada Hang Li Po manakala watak ElviPasola adalah gambaran penyanyi lagenda Elvis Presley,” ujarnya yang pernah mereka kostum untuk teater Upin & Ipin The Musical, Di Bawah Lindungan Kaabah dan puluhan teater lain di Istana Budaya.

Menghimpunkan nama-nama seperti Amar Baharin sebagai KaptenCook, Janna Nick (MeMangNak) dan Hafreez Adam (ElviPasola), tidak ketinggalan Amy mastura (HappyWitch), Zulin Aziz (Miss-K), aktivis makyung Rosnan Rahman (PatihKurnia) dan pelakon muda seperti Mei Fen (LiliPoh), Syed Atiq (Jin Aprit), Pavithraah Rajendran (mummy India), Zera Hariz (ZombieRemaja), Seera Kamal (ZombieRemaja), Ajeera Rosli (ZombieRemaja) dan Nani Nanuel (ZombieRemaja).

“Perasaan teruja, takut, seram dan pelbagai sekarang menguasai diri tetapi saya percaya dengan bimbingan pengarah dan rakan-rakan watak sebagai MeMangNak ini akan saya bawa dengan sebaik-baiknya,” kata Janna Nick tentang penampilan sulungnya di pentas teater.

Perasaan yang sama dikongsi oleh Hafreez Adam yang berusaha keras untuk memastikan watak yang dibawa tidak kaku dan keterlaluan.

Zombie La La La arahan A.Aris Kadir mengisahkan tentang sekumpulan zombie dari Malaysia, Thailand, Amerika Syarikat, Mesir dan Indonesia datang ke Kuala Lumpur setelah mengetahui terdapat formula untuk memulihkan rupa paras mereka.

Pelbagai peristiwa lucu dan sedih berlaku ketika mereka mencari lokasi formula tersebut.

Teater ini diterbitkan bersama-sama oleh CTRA Production, Rumah Karya Citra, Istana Budaya dan Persatuan Teater Malaysia (PTM) bagi mempromosikan kempen Cuti Cuti 1Malaysia Dekat Je.

Tiket berharga RM37 hingga RM260 boleh dibeli di www.airasiaredtix.com. Keterangan lanjut boleh melayari facebook CTRA Production atau hubungi 03-40265558/ 03-61866592.

Bagi pakej korporat 017-8716060/017-2004249.

FORMULA ZOMBIE