Itulah antara inisiatif yang diambil pelakon, Zoey Rahman untuk memastikan diri terus kekal relevan dalam industri selain dapat memberi nilai tambah kepada pakej sedia ada.

Ujar Zoey, walaupun telah bergelar sebagai artis, seseorang itu tidak seharusnya berhenti daripada mencari ilmu kerana dunia hari ini mempunyai banyak cabarannya yang tersendiri.

“Tidak kiralah sama ada kita telah berjaya, menjadi kaya atau memiliki pangkat yang tinggi sekali pun, ilmu itu wajib untuk dicari.

“Lebih-lebih lagi ia membantu untuk urusan kita sama ada di dunia dan akhirat,” ujar Zoey kepada Utusan Online sewaktu ditemui dalam program Magnet Diri Mega 2018 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), Shah Alam.

Selain Zoey, usahawan kosmetik, Siti Arifah Mohd. Amin atau lebih dikenali sebagai Joy Revfa turut tidak melepaskan peluang untuk meningkatkan kebolehan komunikasi bersama para stokisnya.

“Para stokis Merve Cosmetics yang saya bawa hari ini ada datangnya daripada Selangor, Jakarta dan Brunei.

“Dalam perniagaan, saya mahu para stokis saya bukan sahaja hebat dalam berkomunikasi malah memiliki potensi diri yang cukup cemerlang untuk manfaat masing-masing,” katanya.

Tambah Joy lagi, program anjuran Akademi Magnet Sukses Sdn. Bhd. di bawah kelolaan pengacara, Amin Idris bukan sahaja padat dengan mesej malah memberi peluang kepada peserta untuk mengasah bakat dan kebolehan sedia ada.

Terdahulu, pelakon dan usahawan, Fizo Omar turut meluangkan masa bersama hampir bersama 300 peserta dalam berkongsi kisahnya bangkit daripada bankrap ke arah mencapai kejayaan semula dalam hidup menerusi perniagaan. - UTUSAN ONLINE