Zizan Razak

Ada sahaja ruang yang boleh disertai, pasti lelaki yang berasal dari Terengganu ini akan mencubanya. Dia sendiri memberitahu memang niatnya untuk menjadi seorang yang versatil dan tidak tertumpu pada satu bidang sahaja.

Malah biarpun sudah banyak watak yang dilakonkannya tetapi Zizan akui, dirinya belum boleh berpuas hati dengan kemampuan dan perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk meneroka pelbagai lagi watak dalam lakonan.

“Untuk menjadi seorang yang versatil, saya kena berani mencuba. Tetapi bukan cuba secara sembarangan, kita sendiri kena tahu tahap kemampuan dan pastikan tidak menyusahkan orang lain.

“Saya sudah buat filem aksi, komedi malah romantik komedi pun sudah menerusi telefilem dan komen-komen yang diberikan sangat positif. Itu yang menaikkan semangat saya untuk terus mencari watak-watak baharu untuk dibawa,” jelasnya.

Bercerita mengenai tawaran watak, Zizan sendiri tidak mahu bersikap terburu-buru untuk menerima sebarang tawaran kerana yang penting adalah kualiti, bukannya kuantiti.

Malah jika ada watak yang tidak mampu dilakukannya, dia rela untuk menolak tawaran berkenaan berbanding melakukan sesuatu yang akhirnya menyusahkan orang lain.

Tahun lalu, ketika dia terlibat sebagai pengacara Akademi Fantasia (AF), dia juga terlibat dengan penggambaran filem Polis Evo dan pengalaman itu menjadi pengajaran berguna buatnya.

“Semasa saya buat kedua-duanya tahun lalu, saya akui memang mengganggu hasil kerja saya. Saya penat dan akhirnya pihak produksi tidak berpuas hati dengan mutu lakonan saya.

“Jadi pengalaman itu membuatkan saya berfikir untuk tidak tamak kerana jika kita melakukan yang ditugaskan dengan sebaik mungkin, populariti itu akan hadir dengan sendirinya.

“Lagipun ketika ini, tiada yang saya ingin kejarkan melainkan menghasilkan sesuatu yang berkualiti,” jelasnya.

Ditanya mengenai kerjaya sebagai pelawak dan penglibatannya dalam dunia lawak tempatan buat masa ini, jelas Zizan, dia cuma memilih yang berbaloi buat dirinya.

“Dari dulu lagi saya memilih untuk menjadi seorang bintang filem. Apabila peluang itu datang kepada saya, pastinya saya akan ambil dan gunakan sebaik mungkin,” katanya.

Apatah lagi dalam bidang seni menurutnya dia perlu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meningkatkan kualiti dirinya menerusi kerja-kerja yang dilakukan.

“Kalau ada yang saya rasa nak buat, saya akan lakukan bukan kerana duit tetapi kerana kepuasan dan masa depan kerjaya saya,” jelasnya.

Watak Abang Long Fadil sememangnya sudah menjadi tumpuan ramai sebelum dan sehingga kini, watak tersebut sudah berjaya mengumpulkan peminatnya yang tersendiri.

Menerusi filem Abang Long Fadil 2, individu yang bertanggungjawab membawa watak itu, Zizan mengakui tidak banyak yang berubah dan personaliti watak itu masih dikekalkan.

Tidak ada pembaharuan dalam watak Fadil yang sudah insaf daripada terlibat dengan dunia jenayah dan gengster.

“Untuk filem kedua ini, Fadil memang tidak mahu terlibat dengan sebarang aktiviti gengster dan cuba mencari makan dengan cara lain. Tetapi dia menjadi mangsa dan akhirnya terperangkap untuk melakukan jenayah,” jelasnya.

Terlibat dengan banyak adegan aksi, Zizan memberitahu, tidak semua babak aksi dilakukannya sendiri atas nasihat daripada produksi.

“Kalau boleh, memang saya nak lakukan semua adegan aksi tetapi produksi risau jika apa-apa berlaku kepada saya kecuali jika ada babak yang memerlukan wajah Zizan.

“Melakukan babak aksi ini memang kita tidak lepas daripada kecederaan. Saya sendiri luka-luka pada tubuh badan dan terseliuh kaki. Tetapi bagi seorang pelakon, itu perkara biasa,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia secara peribadi mahu melihat siri ketiga filem tersebut, jelas Zizan, memang dia sedia untuk terlibat dengan sekuel filem itu tetapi semuanya terpulang kepada penerimaan filem kedua ini.

“Untuk yang pertama, memang Abang Long Fadil sudah ada pengikut dan saya percaya jika siri kedua filem ini berjaya mendapat sambutan yang baik, pasti akan ada sambungannya dan saya sendiri bersedia untuk terlibat,” jelasnya.