Katanya, bercuti memang satu kegiatan yang baik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan namun yang kurang disenanginya adalah kenapa melancong harus dibuat pada sambutan Aidilfitri.

“Tapi apabila saya fikirkan secara mendalam, barangkali mereka yang memilih untuk makan angin semasa cuti hari raya adalah kerana itulah masa yang ada untuk berhimpun dengan keluarga,” ujarnya kepada Mega HITS kala diajak berbicara mengenai budaya makan angin sempena Aidilfitri.

Bagi penyanyi yang sedang masyhur dengan lagu Boneka itu, sambutan Aidilfitri merupakan satu momen paling ideal untuk beliau meluangkan masa mengunjungi sanak saudara.

Kata Sheila, setiap kali hadirnya Syawal, beliau sentiasa mengingatkan anak-anaknya kepentingan menziarahi kaum keluarga terutama mereka yang lebih berusia.

Semua ini bertitik tolak daripada amalan yang didedahkan oleh ibu dan ayahnya kepada beliau serta adik-beradiknya.

Sheila mengakui, amalan ziarah sangat penting untuk mengikat kasih sayang sesama ahli keluarga.

“Yang paling utama adalah menziarahi ahli keluarga yang lebih tua. Saya sentiasa tekankan perkara ini kerana pada hari-hari biasa kita terlalu sibuk dengan urusan kerjaya dan keluarga sehingga kita terlupa untuk bertanya khabar ahli keluarga yang lebih tua daripada kita.

“Kerana itu saya didik dan beri penekanan kepada anak-anak saya ambil peluang pada cuti Hari Raya Aidilfitri untuk mengunjungi ahli keluarga yang tua. Adalah menjadi tanggungjawab yang muda menziarahi dan bertanya khabar mereka selain mengeratkan silaturahim,” tegas Sheila lagi.

Beruntungnya Sheila, suami Datuk Hashridz Murshim Hassim atau Acis dan anak-anaknya Wan Nur Khaleda, Megat Abdul Majid Aziz, Khadeja Zaireen Murshim dan Khalefa Laila Murshim juga sangat mementingkan amalan berkenaan menyebabkan mereka sekeluarga memilih untuk meraikan hari penuh bahagia itu dengan hati yang senang.

Lazimnya, pada pagi hari raya Sheila yang masih tinggal dengan ibunya, Datuk Saadiah Adam meluangkan masa bersama-sama keluarganya sebelum mengunjungi keluarga mentua yang jaraknya tidak berapa jauh dari kediamannya.

“Selesai beraya di rumah mentua, kami akan kembali ke rumah ibu kerana semua adik beradik saya berkumpul untuk menyambut hari raya dengan ibu,” kata Sheila menyambung cerita.

Seterusnya, Sheila dan anggota keluarganya akan mengunjungi kediaman ibu dan bapa saudara mereka di sekitar Lembah Kelang.

Keseronokan menyambut lebaran dengan keluarga kata Sheila, adalah nikmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata walaupun amalan itu sudah dilakukan sejak zaman kanak-kanak dan remajanya.

“Ada yang pernah bertanya kepada saya seronok ke beraya di Kuala Lumpur? Apa yang ada di Kuala Lumpur? Saya nak bagi tahu hanya orang Kuala Lumpur saja yang tau keseronokan beraya di sini.

“Mungkin kami tak ada kampung macam sesetengah orang tapi kami ada saudara-mara dan kawan-kawan. Sambutan raya di Kuala Lumpur ini meriah sebenarnya. Kalau nak rasa apa kata sesekali raya di sini,” katanya.

Sehubungan itu, Sheila berkata, beliau sentiasa mengingatkan anak-anaknya agar meneruskan amalan ini.

“Kita ini kalau moden macam mana sekalipun, akhirnya balik kepada keluarga juga. Sebab itu saya ingatkan anak-anak saya biar belajar tinggi dan berjaya macam mana sekalipun dalam hidup namun nilai-nilai murni dan saling menghormati jangan sesekali kita abaikan,” kata Sheila lagi.

Debaran menanti 5 Ogos

SEPANJANG Ramadan lalu, selain fokus kepada ibadah puasa dan tarawih, Sheila juga masih tetap meluangkan masa dengan menjalani latihan sempena konsert solonya yang akan diadakan pada 5 Ogos depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Walaupun sudah berpengalaman luas mengadakan konsert di dalam dan luar negara sepanjang kariernya namun untuk persembahan kali ini, Sheila mengakui, debaran tetap sama seperti pengalaman-pengalaman lalu.

“Bukan senang nak buat konsert ini. Tanyalah mana-mana artis, tentu semuanya akan berdebar selagi belum selesai.

“Macam saya ini, banyak juga benda yang kena fikir, bagaimana dengan susunan muzik, jumlah lagu yang saya akan sampaikan, mana risau orang datang tengok ke tidak dan macam-macam lagilah.

“Namun begitu, saya sangat bersyukur kerana saya disokong oleh pasukan pengurusan yang profesional dan begitu cekap. Saya sangat gembira kerana mereka ada untuk memberi sokongan dan bantuan kepada saya,” ujar Sheila sambil memberitahu beliau masih memikirkan senarai lagu yang perlu diberi perhatian untuk persembahan berkenaan.

Dalam berdebar menanti tarikh keramat itu, Sheila setidak-tidaknya sudah boleh menarik nafas lega kerana sambutan yang diberikan oleh peminatnya untuk konsert solo kali keempat beliau itu sungguh luar biasa.

Ketika berita ini ditulis, sudah 80 peratus tiket konsert solo beliau yang berharga antara RM388 dan RM888 telah terjual.

Ini menandakan pengaruh ratu jazz negara itu masih berbisa dan belum mampu ditandingi mana-mana artis solo.

Bagi Sheila, maklum balas positif itu menandakan beliau masih diterima oleh para peminatnya.

“Ini menggambarkan saya masih diterima peminat di tanah air sendiri dan saya berharap, para peminat yang di luar sana sekiranya benar menghargai dan menyokong karier saya selama 30 tahun, hadir ke Stadium Negara untuk menyaksikan konsert saya,” katanya.

Konsert pertama Sheila, Legenda diadakan di venue yang sama, Stadium Negara pada 1991 diikuti dua lagi konsert termasuk Konsert Ku Mohon.

Kata Sheila lagi, beliau gembira dapat menghubungi Mac Chew yang lebih banyak berada di luar negara untuk bertindak sebagai Pengarah Muzik pada konsertnya nanti.

“Selain Mac Chew, Jenny Chin dan Steve Thornton juga akan turut serta sebagai barisan pemuzik termasuklah Acis. Selain mereka yang disebut namanya, saya belum memuktamadkan barisan pemuzik. Insya-Allah, saya akan didokong oleh barisan para pemuzik hebat,” ujarnya.

Menyentuh tentang busana yang akan dipakai oleh Sheila sepanjang konsert beliau nanti, nama Michael Ong menjadi pilihan penyanyi kesayangan ramai ini.

Beliau berkata, Michael tahu rekaan apakah yang sesuai untuk beliau pakai ketika beraksi di pentas konsert nanti.

Bagi anda yang ingin mendapatkan tiket untuk menyaksikan Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 pada 5 Ogos, 8 malam di Stadium Negara, anjuran IME Malaysia, boleh layari www.ticketcharge.com.my.