Zarith atau nama sebenarnya Zarith Sofea Md. Yasin, 23, sekalipun tidak pernah menjangka akan diberikan peluang keemasan sebegitu rupa.

“Zaman sekarang bukan mudah untuk merakamkan sebuah lagu. Perlukan belanja yang banyak. Tetapi saya, diberi peluang yang sangat bernilai.

“Sudah tentu teruja untuk ke Amerika Syarikat kerana saya berpeluang belajar mengenai ilmu muzik di samping merakamkan lagu di sana,” katanya yang turut membawa pulang wang tunai RM50,000.

Buat masa ini, belum ada lagi tarikh tetap untuk dia pergi ke sana dan semuanya terpulang pada KRU Studios. Bagi Zarith, dia sentiasa bersedia dan teruja untuk menerima peluang yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Bercerita lanjut perihal dirinya, anak jati Johor ini mula aktif membuat persembahan di hotel dan majlis-majlis keraian. Lima tahun Zarith berada di lapangan nyanyian sebelum berjaya bergelar penyanyi sekarang.

“Pengalaman sudah lama tetapi saya lebih selesa untuk menganggap diri sebagai orang baharu dalam bidang ini.

“Masih banyak yang perlu saya belajar mengenai selok-belok industri ini dan apa yang menjadi kerisauan ialah penerimaan pendengar terhadap saya,” jelasnya.

Zarith ditemui pada sesi pelancaran single digital mereka baru-baru ini bersama dengan finalis yang lain iaitu Nona, Awal, Dans dan Liawanis.

Turut hadir, Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn. Bhd., Datuk Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Operasi KRU Music, Rizal Sahimy serta Ketua Saluran Tempatan dan Media Baru TM, Wan Rozita.

Dalam pada itu, Zarith sempat melahirkan rasa bangganya kerana dapat beguru dengan penyanyi rock terkenal, Datuk Ramli Sarip sepanjang program itu berlangsung.

“Macam-macam yang saya peroleh menerusi program ini termasuklah teknik nyanyian dan sebagainya. Malah, setiap minggu, Ramli Sarip akan memberi pesanan dan itu yang sangat berharga sebenarnya,” jelasnya.

Sementara itu, Norman pula berpuas hati kerana program itu yang disirkan di (saluran 116) HyppTV berjaya mendapat sambutan yang baik.

Buat masa ini, jelasnya belum ada lagi perancangan untuk membawa program tersebut ke musim kedua.

“Kita akan fikirkan tetapi rasanya lebih baik kami fokus terlebih dahulu untuk memperkenalkan jenama program ini,” jelasnya.