Berkesempatan bertemu baru-baru ini, Pancaindera berkongsi sedikit sebanyak kisah kehidupannya sejak dari kecil hingga sekarang. Menurut lelaki berusia 55 tahun ini, dia mula bergiat aktif dalam tarian selepas tamat persekolahan di Tingkatan Enam.

“Masa kecil dulu memang saya dah suka menari. Dengar sahaja muzik terus badan ikut bergerak. Selalunya saya menari di majlis kenduri kahwin. Waktu tu kalau ada sahaja orang kahwin, kawan saya akan datang naik basikal sambil jerit di hadapan rumah bagi tahu.

“Minat utama memang menari tapi seingat saya memang hidup saya lebih terarah pada seni biarpun tiada seorang pun ahli keluarga yang berdarah seni. Biarpun begitu keluarga tak pernah menghalang minat saya,” ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini.

Ketika berada dalam tingkatan tiga, dia pernah mewakili sekolahnya dalam satu pertandingan teater peringkat Negeri Melaka. Ketika itu dia bergelar pelakon pembantu.

“Masa tu kurang pelakon jadi saya ditawarkan untuk membawa satu watak. Saya tak pandai berlakon memang keras macam kayu lakonan saya sebab masa dah terlalu suntuk untuk berlatih. Tapi atas inisiatif diri sendiri saya berlatih depan cermin setiap malam.

“Tiba hari pertandingan tanpa disangka nama saya diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik peringkat Negeri Melaka. Rasa tak percaya. Tapi yang pasti waktu tu saya terharu dapat tolong pasukan sekolah sehingga menjadi juara,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba, Melaka.

Mengenang kisah lalu, tambahnya lagi setelah memenangi anugerah tersebut dia sering menjadi perhatian rakan-rakan di sekolah sehinggakan rakannya yang pandai bermain muzik bermurah hati mengajarnya bermain muzik pula.

“Dia tahu main gitar, jadi dia ajar saya. Bila dah agak pandai main gitar saya terus beli gitar sendiri. Setiap kali habis peperiksaan saya hiburkan kawan-kawan satu kelas pula. Saja-saja untuk tenangkan fikiran lepas periksa. Sambil memetik gitar saya turut menyanyi,” tutur anak kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Pada 1996, dia melebarkan sayap kepada bidang lakonan apabila terlibat dalam projek bangsawan bersama ASWARA. Ketika itu dia ditawarkan menjadi pelakon oleh pengarah terkenal Norhalim Ismail. Melalui teater tersebut dia mula bergiat aktif sebagai pelakon.

“Habis sahaja teater saya ditawarkan berlakon drama episod berjudul Orang Kaya Paduka. Jalan ceritanya sangat berat yang mana saya membawa watak sebagai pendekar betul-betul menguji saya yang baru bergelar pelakon ini. Bagi saya drama purba memang agak mencabar berbanding drama moden.

“Ketika ditawarkan untuk drama Di Batasan Hati bergandingan dengan Zila Bakarin, masa itulah ramai yang mengenali diri ini sebagai pelakon berbanding penyanyi. Waktu mula bergelar pelakon perkara yang paling sukar untuk saya buat adalah adegan menangis,” ujarnya sambil tersenyum.

Berkongsi pengalaman bergelar pelakon selama lebih dua puluh tahun, Zack mengakui dalam lakonan setiap pelakon mestilah mempunyai ilmu lakonan. Tanpa ilmu tak mungkin dapat menzahirkan perasaan yang nampak hidup dan meninggalkan kesan.

“Jadi pelakon kena banyak input. Kita bukan macam di Hollywood boleh pilih watak apa yang kita mahu. Kita kena bagi yang terbaik apa yang pengarah mahukan. Pendek kata sampai sahaja di set penggambaran kita dah sedia bukan masa tu baru nak berlatih,” ujar bapa kepada tujuh orang cahaya mata.

Menyentuh perkembangan terbaru, dia masih lagi aktif berlakon dan baru sahaja selesai penggambaran drama 13 episod selain drama Dendam Aurora yang masih lagi sedang ditayangkan. Ditanya bagaimana membahagikan masa di antara lakonan dan pekerjaan tetapnya di DBKL, menurutnya ia tidak pernah mendatangkan masalah.

“Dulu saya selalu ambil cuti tanpa gaji tapi sekarang ni bila dah banyak watak sebagai pembantu jadi tak ada masalah sangat,saya cuma akan susun jadual sebaik mungkin. Bagi saya mudah sahaja, selagi ada rezeki semuanya akan berjalan dengan teratur.

“Kumpulan Kool juga bakal membuat kemunculan semula namun semuanya masih dalam perancangan sebab kos agak tinggi. Selain itu, saya juga ada single terbaru yang berjudul Kerana Cintamu. Lagu ni dah pun boleh didengari di JOOX Music,” ujarnya yang aktif menerima undangan nyanyian.

Anak didik Jaafar Onn

Setelah tamat tingkatan enam, dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Hampir satu tahun di sana dia diterima bekerja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Biarpun ketika itu telah mendapat pekerjaan yang tetap namun minat dalam tarian masih membara.

“Dah biasa menari jadi rasa tak lengkap bila tak menari. Nak dijadikan cerita salah seorang rakan saya merupakan anak didik di Studio Jaafar Onn. Satu hari dia mempelawa saya melihat dia berlatih menari. Nasib saya agak baik tiba sahaja di studio saya bernasib baik sebab dia ada.

“Bila melihat saya, Jaafar Onn terus meminta buat ujibakat. Mujurlah saya ni pandai juga menari tarian 60-an jadi terus diterima menyertai mereka. Saat itu bermulalah lah kehidupan saya sebagai penari. Siang bekerja malam pula menari.

“Selain daripada belajar dengan Jaafar Onn saya juga turut menimba ilmu tarian tradisional dengan kumpulan Busana Tari. Sementara untuk tarian moden pula saya mengikuti kelas tarian dengan Bad Latif di Radio Televisyen Malaysia (RTM),” ujarnya.

Hampir lapan tahun menari dia dipertemukan dengan Jay (Kool) yang merupakan seorang koreografer. Ketika itu, Jay ingin menubuhkan sebuah kumpulan muzik. Melalui Jay dia lebih banyak mempelajari gerakan tarian moden. Akhirnya pada 1994, mereka menubuhkan kumpulan Kool yang dianggotai oleh Jay, Zack, Riot dan Hairie.

“Bila dah jumpa ahli yang layak kami sama-sama adakan latihan setiap malam semata-mata nak pergi ujibakat. Alhamdulillah kami diterima sebagai artis rakaman di Sony Music. Biarpun karier saya sebagai penyanyi agak lewat ketika umur 28 tahun namun saya gembira kerana akhirnya berjaya juga bergelar anak seni.

“Waktu tu Kool merupakan salah satu kumpulan yang popular juga. Bezanya kumpulan kami dengan yang lain ketika itu, semua anggota Kool akan menyanyi dan menari. Jadi peminat mendapat kepuasan yang lebih kerana itu juga kami diberi perhatian.

“Kool mula dikenali apabila menggantikan Ning Baizura untuk lagu Kau dan Aku dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik Kategori Pop Rock pada 1995. Penyanyi itu masa tu tak lagi bersama Sony Music jadi penyertaan lagu tersebut perlu digantikan dengan artis Sony Music lain,” ungkap Timbalan Presiden Seniman ini.

Menceritakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika itu, mereka pernah diserbu peminat ketika sedang berehat di dalam bilik hotel. Gara-gara diserbu, mereka tidak dapat tidur sepanjang malam.

“Biasalah waktu tengah popular. Kami pula tak ada pengurus. Habis sahaja persembahan, masuk bilik. Pintu diketuk, buka sahaja terus peminat serbu masuk. Walaupun waktu tu penat sangat sebab baru habis pertunjukan tapi terpaksa melayan mereka sehingga pagi," katanya.

KOOL sempat menghasilkan tiga buah album antaranya KOOL, Fantasi dan Satu Arah. Selain daripada itu mereka juga banyak menyertai pertandingan dan mendapat anugerah. Antaranya Anugerah Juara Lagu 1995-Juara Pop Rock (Kau Dan Aku), Anugerah Juara Lagu 1996-Juara Pop Rock (Bebas), mewakili Sony Music ke Shanghai Muzik Festival,China dan banyak lagi.

Mereka juga pernah bergabung dengan kumpulan Nico, kumpulan Shades dan kumpulan A To Z di bawah nama GX4 dan muncul dengan dua buah single berjudul Integriti dan Kerana Kasihmu serta dua buah lagu popular mereka iaitu Bebas dan Satu Arah.

Namun pada 1996, dia terpaksa meninggalkan KOOL untuk menumpukan perhatian kepada pengajiannya di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) dan menganggotai kumpulan baru, V3 tidak lama kemudian.

Untuk sebarang jemputan persembahan, bolehlah menghubungi Zack di talian 019-367 0774. Instagram: @zackkool Facebook: Zack Koolg