Wilma Muhammad

Bukan sahaja mampu memukau audiens dengan kecantikannya yang menawan, bahkan bekas peragawati itu juga dilengkapkan dengan pakej bakat lantas membuatkan namanya melonjak meniti di bibir pemerhati pentas lakonan tempatan.

Namun sayangnya, selepas gah dengan lakonannya menerusi dua buah filem berkenaan, Wilma membuat keputusan mengundurkan diri sementelah membina mahligai bersama arwah suaminya, Allahyarham Mahir Effendi.

“Sejak itu, saya fokus menguruskan rumah tangga dan bahagia melakukannya. Tidak sedikit pun pernah berasa ralat meninggalkan dunia glamor walaupun saya akui seronok terlibat dalam bidang seni.

“Pada awal 2011, selepas suami meninggal dunia, baru terfikir untuk kembali berjinak-jinak dalam lapangan ini. Itupun selepas mengenangkan anak-anak yang sudah besar panjang, boleh menjaga diri sendiri dan satu sama lain,” katanya yang menghiasi muka depan Mega HITS minggu ini.

Meskipun usianya sudah mencecah 43 tahun, Wilma yang hadir seorang diri ke Studio Utusan baru-baru ini nyata masih menawan berserta gaya sederhana mengenakan tudung sebagai imej terkini, membuang jauh label artis seksi yang pernah diberikan kepadanya suatu ketika dahulu.

Berbicara lanjut tindakannya membuat ‘comeback’, Wilma berkata, semuanya gara-gara pujukan rakan artis serta anak-anak yang mahu melihatnya beraksi semula mewarnai persada seni lakon tanah air.

“Anak yang sulung sudah berusia 14 tahun dan yang kedua pula masuk 12 tahun. Sepanjang mereka membesar, ramai yang bertanya kepada mereka bila saya akan kembali berlakon?

“Disebabkan itu, dalam masa yang sama, mereka juga teringin melihat lakonan saya kerana sebelum ini hanya menonton dua filem itu sahaja berulang kali.

“Selepas berfikir panjang, barulah saya putuskan untuk kembali. Tetapi saya cuba mengelak daripada menerima tawaran yang memerlukan saya berlakon sehingga ke dini hari supaya tanggungjawab sebagai ibu dapat dilaksanakan sebaik-baiknya,” ujarnya memberi penjelasan.

 

Anak-anak semakin menerima

Setelah kematian suaminya akibat serangan jantung di kediaman mereka di Kampung Tunku, Petaling Jaya pada 27 Januari 2011, Wilma tidak menafikan kesunyian yang dirasakannya.

Dalam masa yang sama, dia turut sayu melihat lima orang anaknya membesar tanpa kasih seorang lelaki bergelar ayah.

Katanya, selepas arwah meninggal dunia, perwatakan anak-anak juga berubah daripada seorang yang ceria kepada pendiam. Hanya bercakap jika perlu, bergurau pun sesekali.

Disebabkan itulah, Wilma membuka hatinya untuk menerima lamaran seorang ahli perniagaan bujang yang hanya diperkenaln kepada umum sebagai Encik M.

“Kami berkahwin pada Jun 2012 dan saya tidak pernah lagi mendedahkannya kepada umum. Saya rasa lebih baik begitu kerana sayalah artis, bukannya suami atau anak-anak.

“Kehidupan peribadi saya lebih gemar disimpan untuk diri sendiri. Tidak semua perlu dikongsi dan saya bahagia begini,” jawabnya menetapkan pendirian.

Dia menambah, keceriaan anak-anak kembali selepas membina semula mahligai bersama suaminya untuk berkongsi kasih dan sayang. Menurutnya, suami bijak melayan kerenah anak-anak seperti darah dagingnya sendiri.

“Alhamdulillah, rumah tangga yang dibina bahagia dari semasa ke semasa. Syukur kerana terus dianugerahkan insan-insan istimewa di sisi saya,” beritahunya.