Teraju utama drama Zahir Tak Terucap itu berkata, dia mula membuat tinjauan untuk membeli hadiah berharga hampir RM250,000 tersebut sejak Januari tahun ini di beberapa bilik pameran jenama kereta buatan Jerman berkenaan.

“Memang harganya amat mahal, tetapi amat berbaloi dijadikan hadiah bagi menghargai kehebatan prestasi jentera keluaran jenama itu, seiring dengan kredibiliti kepimpinan Wawa yang merupakan pengemudi keluarga saya.

“Ini bukanlah sekadar hadiah, malah tanda penghargaan buat Wawa kerana telah menjalankan peranan sebaik mungkin sebagai isteri dalam menguruskan rumah tangga kami yang dibina sejak 2012.

“Bukan itu sahaja, Wawa juga banyak berkorban demi menunaikan tanggungjawabnya selaku ibu kepada dua orang cahaya mata kami berserta curahan kasih sayang secukupnya,” kata Aeril kepada Utusan Online.

Tambah pelakon siri Cinta Fatamorgana itu, kereta berwarna hitam lengkap dengan aksesori sporty itu adalah pilihan Wawa sendiri ketika dibawa ke sebuah bilik pameran Mercedes Benz pada awal tahun ini di ibu kota.

“Sewaktu lawatan itu, Wawa teruja dengan kecanggihan teknologi kejenteraan setiap rekaan Mercedes Benz dan model C200 edisi 2018 benar-benar menarik minatnya.

“Hari ini apabila dikejutkan dengan kejutan sedemikian, dia bagaikan tidak percaya dan berulang kali mengatakan saya sengaja mahu mempermainkannya.

“Alhamdulillah, naluri seorang isteri yang sentiasa meyakini keupayaan suaminya membuatkan Wawa akhirnya menerima kenyataan bahawa dia telah memiliki kereta idaman,” cerita Aeril berkongsi detik kebahagiaan pasangan tersebut.

Sebagai balasan, seloroh Aeril, isteri yang dicintainya itu diharapkan dapat menghadiahkan zuriat ketiga buat mereka selepas dikurniakan sepasang anak comel iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 5 dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 3. - UTUSAN ONLINE