SITI KHADIJAH

Tubuh ramping dengan pinggang yang kecil. Rambut panjang dengan warna menarik. Kulit putih mulus, berhidung mancung dan mata besar membulat. Tetapi apakah cantik dalam erti kata sebenar? 

Bagi peserta Gadis Panca minggu ini, Siti Khadijah Ab Halim, definisi kecantikan sebenar adalah mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan sifat keperibadian seseorang. 

“Erti cantik bagi saya ialah keperibadian seseorang itu. Macam mana dia membawa diri dia dan cara bercakap serta bergaul dengan orang lain. Cantik itu juga adalah subjektif dan bukan hanya diluaran sahaja. 

“Bukan hanya sekadar cantik di luar tetapi perlu cantik dari segi dalaman juga. Budi bicara kita juga melambangkan diri kita yang sebenar. 

“Kalau setakat cantik paras rupa tapi hati penuh dengan hasad dengki dan sifat negatif, itu bukanlah kecantikan yang sebenar. 

“Saya tidak meletakkan kecantikan luaran itu adalah penting. Lebih baik saya cantikkan diri dengan pengetahuan dan pelajaran,” kata Siti Khadijah yang lebih mesra dengan panggilan Siti. 

Biarpun menerima banyak pujian, Siti tetap merendah diri dan berasa dirinya banyak kelemahan. 

“Ramai kawan-kawan mengatakan saya ada rupa paras yang cantik. Tetapi tiap kali pujian itu datang, saya tidak rasa bangga. Kerana saya masih banyak kelemahan yang orang tidak nampak. 

“Sebagai manusia biasa walaupun kita diberikan anugerah rupa yang cantik, tapi belum tentu kita sempurna. Jadi, bagi saya lebih baik kita cantikkan sifat-sifat dalaman terdahulu,” ujarnya.