Itu yang dapat disimpulkan secara keseluruhan menerusi pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) yang memasuki edisi ke-31.

Pada malam itu, ada beberapa penyanyi yang tidak boleh dinafikan kemampuan vokal mereka hadir dengan susunan muzik dan lirik yang menarik.

Tetapi Dayang Nurfaizah yang menyanyikan lagu Lelaki Teragung begitu menyinar sehingga penonton berdiri menepuk tangan sebagai tanda hormat.

Persembahan Dayang juga menunjukkan fungsi sebenar seorang penyanyi yang menjadi ketua dalam sebuah karya.

Perkara itu dipersetujui oleh ketua juri, Azmeer yang berpendapat lagu Lelaki Teragung yang dihasilkan oleh Natasyah dan lirik Iman Imran diangkat menjadi juara kerana kekuatan vokal Dayang.

“Vokal Dayang sangat menyerlah semasa persembahan malah yang didengar pada malam itu adalah lebih baik berbanding dalam cakera padat,” katanya.

Kesemua lagu yang tersenarai di AJL kelmarin mempunyai kelompok peminat tersendiri dan berada hampir dalam kesemua carta lagu semasa di stesen radio.

Malah juri sendiri sudah dapat mencongak lagu siapa yang bakal menjadi juara jika penilaian dilakukan berdasarkan lagu rakaman mereka.

“Semua lagu yang bertanding adalah popular dan mempunyai nilai estetika dan kesempurnaan dalam lagu.

“Jadi ada banyak punca yang boleh dinilai pada malam persembahan. Sama ada kerana gubahan lagu yang gagal atau vokal yang lemah.

“Vokal yang memberi sokongan kepada melodi dan jika penyanyi itu tidak mampu menyanyi dengan baik, walau sedap pun lagu itu, markah tetap akan ditarik balik,” jelasnya.

Ada beberapa lagu pada malam itu yang mempunyai kelompok peminat yang tinggi seperti Ku Rela Dibenci nyanyian Aiman Tino dan Terakhir (Sufian Suhaimi).

Mungkin disebabkan usia yang terlalu muda dan pertama kali beraksi di pentas besar mengganggu persembahan vokal mereka.

Jika dibandingkan dengan Dayang, Misha Omar, Black dan Hafiz Suip misalnya, mereka sudah mempunyai pengalaman dan boleh menggunakan sedaya upaya vokal mereka untuk memacu lagu yang dinyanyikan.

Lagu popular dan berjaya

Bagi edisi ke-31 pertandingan nyanyian anjuran stesen televisyen TV3 itu, rata-rata lagu yang dinyanyikan mempunyai irama lagu 90-an yang kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan pendengar.

Lagu Ku Rela Dibenci, Terakhir dan Sudah Ku Tahu antara yang mempunyai elemen muzik 90-an yang pada pandangan Azmeer sendiri tidak ada sebarang masalah dengan perkara tersebut.

Cuma beliau secara peribadi mahu kesemua lagu tidak kira genre dinyanyikan dengan baik dan sempurna.

Tegas beliau, lagu yang popular dan berjaya adalah dua perkara yang berbeza.

Lagu popular tidak semestinya boleh berjaya dalam pertandingan, katanya.

“Kalau nak menjadikan lagu itu baik, perlu menjadikan lagu itu popular dan dinyanyikan dengan vokal yang sempurna.

“Saya tidak kisah sama ada komposer mahu menaikkan semula lagu-lagu bergenre 90-an. Cuma kalau hendak buat, kena lakukan dengan betul,” ujarnya.

Projector Band menerusi lagu Sudah Ku Tahu pada malam itu memberi persembahan yang baik. Walaupun kali pertama beraksi, Iskandar yang bertindak selaku vokalis berjaya menguasai pentas.

Kemantapan suara terutama ketika menyanyikan lagu pada nota tinggi tanpa sebarang gangguan memberi kelebihan pada mereka untuk berada di tempat ketiga.

MUNGKIN ada yang tidak tahu bahawa isu lirik lagu Ku Rela Dibenci yang terpaksa ditukar kerana dikatakan mempunyai nilai negatif kepada pendengar.

Jika diikutkan, tidak ada masalah dengan lirik lagu tersebut apatah lagi itu adalah karya kreatif penulis liriknya.

Ada yang menyatakan bahawa Aiman sebenarnya sudah tersalah lirik sedangkan pertukaran itu sudah dilakukan sejak awal lagi.

Mengulas mengenai perkara itu, Azmeer tidak melihat lirik asal itu memberi masalah.

“Ada yang melihat secara positif dan juga negatif. Bagi saya itu bukan masalah besar.

“Lagipun ada lirik sebelum ini yang tidak menggunakan perkataan mati sekalipun tetapi mempunyai maksud yang sama,” katanya.

Pada malam kemuncak AJL31, Azmeer dan barisan juri melihat kepada lirik asal lagu tersebut dan bukannya kepada lirik yang ditukar.

Cuma bagi Azmeer, jika niat penyanyi itu menukar lirik lagi untuk memberi impak yang lebih positif kepada pendengar, itu sesuatu yang bagus.

Untuk sejarah AJL, rasanya ini adalah kali pertama isu lirik menjadi antara bahan bualan sebelum pertandingan bermula.