Video oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

Menurut Mahadzir, beliau sama sekali tidak menduga, laporan keadaan kesihatannya mendapat liputan meluas media tempatan selain perhatian daripada semua pihak termasuk golongan kenamaan, rakan-rakan artis serta peminat-peminatnya.

Mahadzir, 60, yang kini dirawat di wad biasa selepas lima hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, beliau bersyukur kerana Allah memulihkannya daripada penyakit dalam waktu yang cukup singkat.

“Kesyukuran yang tidak terhingga saya panjatkan pada Allah kerana memberi kesembuhan. Terima kasih pada kaum keluarga yang berada di sisi saya sepanjang masa ketika saya di ICU. Begitu juga rakan-rakan karib termasuk dari Jakarta, Indonesia yang tidak putus-putus berdoa, bertanya khabar dan datang menziarahi saya di hospital. Sesungguhnya perhatian semua amat saya hargai.

“Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan rasa terima kasih kepada semua media tempatan khususnya Utusan Online yang telah memberikan laporan yang tepat terutama ketika saya didakwa sudah meninggal dunia, Utusan Online yang pertama sekali memperbetulkan dakwaan tidak benar itu.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira kerana masih disayangi oleh rakan-rakan media,” ujar Mahadzir ketika ditemui di PPUM petang tadi.

Sepanjang hari ini, Mahadzir menerima ramai tetamu terutamanya kenalan dekat beliau termasuk dari Jakarta.

Turut hadir menziarahi pengacara majlis ternama negara itu ialah vokalis Search, Amy.

Beberapa hari lalu, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan palsu kononnya Mahadzir meninggal dunia menyebabkan keluarga bekas penyampai berita itu membuat kenyataan kepada Utusan Online meminta dakwaan tidak benar itu dihentikan.

Mahadzir dikejarkan ke PPUM pada awal pagi Ahad lalu selepas tidak sedarkan diri di rumah. - UTUSAN ONLINE