Pengakuan itu dibuat di hadapan khalayak penonton yang hadir menyaksikan persembahan Marcell Once In A Lifetime di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini.

Pengakuan Marcell mungkin agak janggal bunyinya tetapi apa yang dimaksudkan oleh penyanyi yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada malam ini dijelaskannya seperti berikut:

"Support system saya adalah mereka yang bersama-sama saya selama 12 tahun sebagai pemuzik yang mengiringi setiap persembahan saya.

"Mereka adalah support system saya dalam berkarya.

"Namun support system saya yang paling utama ialah keluarga saya, anak dan isteri."

Persembahan Marcell yang bermula pada pukul 9 malam, seolah-olah membawa penonton melalui satu perjalanan atau journey.

Tanpa sedar atau tidak, pada awal persembahan, cara nyanyian Marcell adalah 'sharp and flat' atau vokal 'tenggelam timbul'.

Bentuk persembahan nyanyian Marcell sebenarnya berkarakter dan gaya nyanyian yang dipersembahkannya itu seakan-akan gaya nyanyian yang pernah dipentaskan oleh penyanyi popular dari Barat, Frank Sinatra.

Alunan lagu demi lagu oleh penyanyi yang 'makanan utamanya' ialah 'hardcore r&b' ini turut membawa penonton seperti menyaksikan sebuah 'gig', persembahan di 'subway', persembahan di kelab malam dan hiburan tepi pantai menyambut tahun baharu.

Begitu juga dengan genre lagu nyanyian Marcell pada malam ini yang dibawakan secara fusion.

Adakalanya susunan lagu balada, R&B soul, pop progresif, punk music dan jazz.

Bijak percaturan Marcell mengisi durasi dua jam setengah persembahan Marcell Once In A Lifetime.

Elemen kejutan dibawa ke atas pentas apabila Marcell mengundang isterinya, Rima Melati untuk berduet bersamanya.

Pada persembahan kejutan itu, selain daripada sebiji kek ulang tahun yang dibawa ke atas pentas oleh anak-anak Marcell, beliau memberi satu kejutan buat isterinya dengan menghadiahkan sebentuk cincin yang disarungkan ke jari manis Rima.

"Terima kasih kerana selama sembilan tahun kebelakang ini, hidup bersama saya.

"Susah dan senang bersama saya. Saya mengharapkan kehidupan bersama untuk 40 tahun yang mendatang," ucap Marcell kepada isterinya.

Seperti mana yang telah disebut oleh Marcell, Noh Salleh diundang untuk membuat persembahan.

Begitu juga dengan persembahan daripada Jimmy Saksafon, satu-satunya pemuzik dari Malaysia.

Secara keseluruhan Marcell mempersembahkan 40 buah lagu sepertimana yang dijanjikannya.

Jika dikatakan persembahan Marcell pada malam ini adalah persembahan syok sendiri, sememangnya malam ini adalah ulang tahun kelahiran beliau dan angka 40 hanya hadir sekali dalam hidup dan beliau berhak untuk mencorakkan persembahannya malam ini. - UTUSAN ONLINE