Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

[VIDEO] Hadiah daripada Allah

Wafa Abdul Kadir berkongsi kisah terkini mengenai keadaan kesihatannya.
Wafa Abdul Kadir berkongsi kisah terkini mengenai keadaan kesihatannya.

RAUT wajahnya masih jelita. Walaupun kelihatan menahan sakit dan tak berupaya untuk banyak bergerak, tidak sekalipun dia mengeluh. Malah berkali-kali menyatakan yang semuanya telah ditentukan oleh Yang Maha Esa, dia pasrah dengan yang diberikan kepadanya.

Katanya sambil tersenyum, apa pilihan lain yang dia ada, selain reda dan tawakal?

Bertemu dengan wanita cekal ini, Wafa Abdul Kadir, 51, yang mengidap kanser peritoneal, sejenis kanser yang jarang berlaku, banyak mengingatkan diri betapa ujian Tuhan itu datang dalam pelbagai cara.

Diduga berturut-turut bermula pada 2013, akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan pembedahan membetulkan tulang leher sehinggalah disahkan menghidap kanser ovari dua tahun lalu dan yang terkini, kanser peritoneal, Wafa melihat segala-galanya dari sudut positif.

Mengandaikan sakit itu berupa isyarat yang dihadiahkan oleh Yang Esa, sekali gus memberi peluang untuk dia lebih mendekati Allah SWT, dia tidak pernah kesal dengan yang berlaku.

Ikuti temu bual Mega HITS dengan pelakon Wafa yang sebelum ini popular dengan filem Azizah The Legend.


Video oleh NOR ASIKIN HASSAN

MEGA HITS: Apa perkembangan terkini Kak Wafa?

Wafa: Selepas keluar hospital akhir Januari lalu, saya menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan seterusnya di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya. Pakar-pakar di sana akan cuba mengenal pasti bentuk rawatan yang akan diberikan kepada kanser saya ini.

Maksudnya?

Begini, akhir 2014 saya mendapat simptom awal kanser. Mulanya ingatkan simptom menopaus atau kesan daripada pembedahan tulang sebelum ini. Apabila berjumpa pakar tulang, dia sahkan tiada punca daripadanya. Jadi saya pergi mendapatkan pakar sakit puan. Dari situlah saya dikesan ada kanser ovari yang sudah merebak ke beberapa bahagian termasuk ovari, uterus dan saluran fallopian. Cara terbaik ialah melalui pembedahan.

Jadi saya dibedah pada April 2015. Tetapi pada awal 2016, saya kena demam, sembelit, cirit-birit dan muntah hijau yang teruk. Saya masuk hospital kerana sangkakan keracunan tetapi kemudian doktor mendapati ada saki-baki sel kanser yang melilit sekitar usus dan dinding ovari. Saya tidak boleh dibedah dan harus mendapatkan rawatan kemoterapi. Saya menjalani 18 kali proses kemoterapi bagi mematikan sel kanser dan selesai pada Jun 2016.

Tetapi baru-baru ini, saya sekali lagi demam, muntah dan cirit-birit sehingga hijau kehitaman dan dibawa ke hospital. Darah saya tidak stabil dan hasil ujian, doktor sahkan yang saya menghidap kanser peritoneal, sejenis kanser yang jarang berlaku. Kanser ini merebak ke lapisan dalam dan banyak terdapat di luar usus.

Apa rawatan seterusnya?

Kanser jenis ini dipanggil kanser liar. Tak boleh nak dikikis di bahagian lapisan itu. Saya sendiri sudah memberitahu doktor, buatlah apa pun yang boleh. Kalau mahu dibuang usus saya atau dipendekkan, buat sahaja asalkan saya sihat. Tetapi semua itu tak dapat ditentukan lagi. Saya perlu bertemu dengan pakar di IKN dahulu dan mereka masih memikirkan apa rawatan terbaik untuk kanser ini.

Saya pula tidak boleh menerima sebarangan ubat sebab dari kecil lagi saya alahan dengan sesetengah ubat terutamanya ubat tahan sakit, ponstan. Kalau orang lain makan satu biji ponstan akan kurang sakit tapi saya makan separuh pun boleh membawa maut. Sehinggakan saya memakai gelang besi pada tangan sebagai tanda amaran kepada pihak perubatan sekiranya tiba-tiba saya dimasukkan ke hospital.

Sesi temubual bersama Pelakon, Wafa Abdul Kadir di kediamannya
Sesi temubual bersama Pelakon, Wafa Abdul Kadir di kediamannya

Ada cuba perubatan alternatif?

Saya tidak berani. Memang ramai yang cakap itu dan ini bagus tapi saya sudah serik. Pernah pada awal kanser, saya mencuba perubatan alternatif, konon menggunakan daun belalai gajah. Mungkin bagi sesetengah orang berhasil tetapi tidak kepada saya. Apabila saya mengamalkan sekali sahaja, tekanan darah saya jatuh mendadak dan sel darah putih saya bertambah. Doktor tidak izinkan saya lagi kerana saya ada alahan. Tetapi di IKN sendiri, ada perubatan alternatif seperti fisioterapi dan akupuntur yang memang digalakkan oleh doktor.

Dari segi pemakanan?

Saya makan mengikut yang disarankan oleh doktor dan pakar pemakanan. Kalau nak diikutkan selera, memang tidak ada nafsu makan langsung tetapi saya paksa untuk mendapatkan tenaga. Kalau tak dipaksa makanan masuk ke mulut, saya akan jadi lebih lemah. Cuma saya terus amal memakan madu dan habatus sauda dan beberapa makanan yang sesuai untuk saya.

Barangkali ada yang mahu dikongsi dengan penghidap kanser yang lain?

Jangan ikut perasaan. Kena lawan perasaan malas dan letih. Ketika di IKN dahulu, banyak perkara yang saya belajar. Kami penghidap kanser saling berkongsi ilmu dan memberi semangat. Ada seorang rakan ini yang meminta saya mandi tidak kira waktu selepas habis kemoterapi. Bagi yang tidak tahu, rawatan kemoterapi ini sangat meletihkan dan melemahkan badan. Lain orang lain penerimaannya. Saya akan jadi sangat lembik selepas habis kemoterapi sehingga harus dipapah. Jadi rakan ini menyuruh saya kerap mandi tak kira waktu. Dan memang sangat membantu badan saya menjadi lebih segar.

Bagaimana keadaan Kak Wafa ketika ini?

Nampak sahaja muka saya sihat kan? Tapi ini sebenarnya kesan steroid. Saya panggil ini muka steroid. Saya sejuk tapi berpeluh. Badan saya ini sebenarnya penuh dengan morfin. Ada pad morfin di badan saya untuk kurangkan sakit. Ketika saya bercakap ini pun, saya tahan sakit sebab perut saya rasa tegang. Saya tak tahu bagaimana nak diterangkan, Allah SWT sahajalah yang tahu sakitnya tapi alhamdulillah, saya boleh harungi.

Masih berhubungan dengan rakan-rakan artis?

Saya tidak pernah putus hubungan dengan mereka kerana ada segelintirnya adalah sahabat-sahabat saya. Mereka mengunjungi saya ketika sakit tetapi saya tidaklah gembar-gemburkan kepada orang lain. Malah dalam Gegar Vaganza lepas, saya sempat dua kali datang ke Astro dan menonton secara langsung. Cuma bila balik sahaja ke rumah, saya demam teruk tiga hari kerana alahan dengan persekitaran. Bagi orang yang sihat, jika ada yang selsema di sebelah mereka, tidak beri kesan tetapi untuk saya akan beri kesan yang sangat teruk.

 

TRIVIA

  • Berkahwin dengan Tajul Faizal Tamimuddin pada 2010.
  • Ayahnya, Tan Sri Abdul Kader Talip merupakan bekas Mufti Wilayah Persekutuan 1991 - 1997 dan meninggal dunia pada 2015.
  • Ibunya Puan Sri Datin Sohair Abdel Moneim Sery meninggal dunia beberapa tahun lalu selepas 10 bulan disahkan mengidap kanser ovari.
  • Wafa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 18 kali.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan