Ketika ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, beliau memberitahu me­ngenali Allahyarham yang lebih popular dengan panggilan Azmil Mustapha dan berkawan rapat sejak empat tahun lalu.


Video Oleh ABDUL YAZID ALIAS

Katanya, sebelum ini Allahyarham kerap kali datang ke pejabatnya atas pelbagai urusan termasuklah mendapatkan tauliah penceramah.

“Kami (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan) beri tauliah mengajar. Bulan lepas arwah ada datang ke pejabat dengan cita-cita besar untuk membuka sebuah sekolah tahfiz dengan kemahiran seperti pertanian dan sebagainya, kami beri sokongan walaupun saya masa itu begitu sibuk.

“Bagaimanapun, saya panggil arwah naik kereta dengan saya dan makan di rumah bersama-sama... berselera arwah makan, itu kali terakhir saya jumpa dia. Arwah seorang yang mempunyai komitmen penuh kepada pembangunan agama,” katanya selepas mengimamkan solat jenazah Allahyarham Mohd. Azmil di masjid berkenaan.

Jenazah Mohd. Az­mil yang pernah membintangi pelbagai filem antaranya Mekanik (1983), Ali Setan (1985) dan Ali Setan 2 (1986), selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.26 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 selepas solat Asar.

Majlis pengebumian pelakon itu turut dihadiri beberapa artis terkenal antaranya Fauziah Datuk Ahmad Daud, Datuk Seri Shah Rezza, Datuk DJ Dave dan Datuk Rahim Razali.

Allahyarham yang meninggal di kediamannya di Pangsapuri Sri Permata, Seksyen 9, di sini kira-kira pukul 1 petang ini mempunyai lima orang anak iaitu Nur Syamira, Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd. Bazli Zhafri dan Nur Alia yang berusia antara 16 hingga 33 tahun.

Terdahulu, Nur Syamira, 33, memberitahu, sebelum meninggal dunia, bapanya ada memberitahu kepada salah seorang adiknya untuk keluar makan namun dia tidur semula di katil sebelum didapati tidak lagi bernafas.

“Tidak sangka itu perbualan terakhir arwah bersama adik saya sebelum dijemput Ilahi. Kami reda dengan pemergiannya,” kata anak sulung Allahyarham Mohd. Azmil itu.

Menurut Nur Sya­mira, ayahnya juga sudah merancang untuk menghadiri majlis resep­si perkahwinan adiknya yang akan berlangsung pada 17 Februari ini.

“Memang sangat terkejut dan dia juga tidak me­nunjukkan apa-apa tanda cuma lebih serius ketika membalas pesanan di telefon sedangkan dia seorang yang suka bergurau.

“Sepatutnya kami berjumpa pada majlis resepsi adik saya pada Sabtu ini yang diadakan di sebelah pihak lelaki,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu Allahyarham, Aziph Mustapha berkata, abangnya itu pernah menjalani pembedahan pintasan jantung dan pada tahun lepas turut menerima rawatan akibat komplikasi jantung.

“Dia memang mempunyai penyakit jantung dan pernah menerima rawatan sebelum ini.

“Bagaimanapun keadaan dia semakin baik sehingga ke pagi ini. Malah dia turut berceramah seperti biasa dan sudah mengesahkan untuk berceramah pada minggu hadapan,” katanya.