Bazli atau nama sebenarnya Bazli Hazwan Osman, 33, menerusi akaun Facebooknya memaklumkan mengenai pemergian anak sulungnya itu.

“Anak ayah kesayangan @syahid_bintangsyurga dah pergi meninggalkan kita sebentar tadi. Allah sayangkan Syahid.. Anakku...,” katanya dalam status terbaharunya di Facebook hari ini.

Muhammad Syahid dimasukkan ke HKL sekitar Februari lalu selepas menjalani rawatan awal di Pusat Perubatan KPJ Damansara dan Hospital Sungai Buloh, Selangor sejak awal tahun ini.

Solat jenazah Muhammad Syahid akan diadakan selepas Zuhur ini. di Masjid Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh. 

Allahyarham merupakan zuriat hasil perkahwinan Bazli dan isterinya, Asiah Abu Bakar, mereka dikurniakan seorang lagi anak, Muhammad Assfan yang berusia sembilan bulan.

Dalam pada itu, menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 25 Jun ini, Muhammad Syahid telah dihadiahkan sepasang baju Melayu berwarna hijau gelap oleh orang ramai untuk dipakai pada 1 Syawal nanti.

“Terima kasih pada tuan yang budiman menghadiahkan Muhammad Syahid hadiah. Moga Muhammad Syahid lekas sihat,” ujarnya.

Sementara itu, Bazli turut berkongsikan video berdurasi 48 saat mengenai kenangan manisnya membaca al-Quran bersama Muhammad Syahid.

"Syahid.. Ayah akan rindu nak baca al-Quran dengan Syahid lagi nak," katanya. - UTUSAN ONLINE