Usia 12 tahun, Joeydi pentas Anugerah Grammy 2016

Joey Alexander kini menetap di New York, Amerika Syarikat. 3
Joey Alexander kini menetap di New York, Amerika Syarikat.

Minat mendalam bermain piano berentak jazz telah membawa anak muda dari Indonesia, Joey Alexander ke persada muzik jazz antarabangsa di Amerika Syarikat.

Sekali pandang, mungkin sukar untuk mempercayai pada usia 12 tahun, Joey mampu pergi ke tahap tinggi sehingga dicalonkan dalam anugerah berprestij, Anugerah Grammy 2016 pada Februari lalu.

Pada anugerah itu, Joey dicalonkan dalam dua kategori iaitu Best Instrumental Jazz Album (My Favorite Things) dan Best Jazz Solo Improvisation.

Lebih membanggakan, dia turut berpeluang membuat persembahan bersama Adele, Taylor Swift, Ed Sheeran, dan Bruno Mars dalam majlis yang ditayangkan ke seluruh dunia itu.

Bercerita mengenai bakat istimewa itu, Joey memberitahu ia diwarisi daripada hobi bapanya. Pada usia enam tahun dia mula berjinak-jinak dengan piano sehingga berjaya membuat persembahan di kelab-kelab di sekitar Bali dan Jakarta.

Pemain piano muda yang mempunyai gaya rambut kerinting dan bercermin mata bersaiz besar itu berkata, minat terhadap piano bermula apabila bapanya menghadiahkannya keyboard.

“Minat terhadap muzik jazz datang apabila saya sering bermain piano bersama bapa saya, meskipun bapa bukanlah pemain yang handal. Bapa bermain sekadar hobi sahaja.

“Saya mula jatuh cinta dengan bunyi piano kerana bagi saya, dalam sesuatu persembahan seperti orkestra, persembahan itu akan lengkap dengan adanya piano. Itu yang menarik minat saya untuk memahirkan diri bermain dengan alat muzik tersebut,” katanya yang dipetik portal BBC.

Bakatnya mula berkembang apabila keluarganya berpindah ke New York dua tahun lalu. Ketika itu, dia merupakan pemain piano termuda yang berpeluang membuat persembahan di festival Newport Jazz, Rochester Jazz, dan Jazz at Lincoln Center.

Joey juga berkesempatan menimba ilmu selama dua tahun bersama pemain piona jazz terkenal Indonesia, Indra Lesmana. Selepas tempoh itu, Joey diperkenalkan dengan pengurus program jazz di Lincoln Centre, Manhattan yang juga merupakan kawan baik Lesmana.

Lesmana berkata, bapa Joey sendiri yang meminta beliau mengajar anaknya bermain piano dengan menganggap bakat Joey sebagai satu anugerah dan berpotensi untuk menjadi ahli muzik terkenal pada masa hadapan.

Anak muda itu difahamkan sangat mengagumi pemuzik jazz seperti Clifford Brown, Wynton Marsalis, Brad Mehldau, Lee Morgan dan McCoy Tyner.

Dalam pada itu, Joey juga telah berjaya menulis lagu pertamanya berjudul Ma Blues pada usia 10 tahun. Beliau juga menghasilkan album muzik jazz My Favourite Things pada 12 Mei 2015.

Menurut Joey, perkara yang membuatkannya jatuh hati kepada muzik jazz adalah ‘kebebasan’ dalam bermuzik.

“Kebebasan dalam mengekspresikan diri untuk meningkatkan kemahiran bermuzik melalui perasaan sedih mahupun gembira. Jazz ini bersesuaian dengan semua golongan terutama kanak-kanak.

“Pada awal kemunculan, saya selalu menikmati muzik jazz dengan bermain bersama rakan-rakan kumpulan muzik dan juga penonton. Pada saat itu, saya merasakan yang jazz itu sangat indah,” katanya.

Sementara itu, dia tetap menganggap dirinya sebagai kanak-kanak yang menjalani kehidupan sama dengan orang lain yang sebaya dengannya. Cuma, yang membezakannya adalah perwatakannya lebih matang selepas melibatkan diri dalam bidang muzik.

Anak kecil itu yang bercita-cita untuk mengembangkan bakatnya dengan berkolabarasi bersama pemuzik-pemuzik handalan itu juga ingin mengelilingi dunia bagi mempromosi muzik jazz kepada dunia.

“Kepada anak-anak muda yang ingin berjaya, mereka perlu sentiasa berusaha dan jangan pernah mengalah dengan apa yang diminati,” katanya sebagai nasihat kepada peminatnya.

Joey adalah artis muda Indonesia pertama memasuki carta Billboard 200 di Amerika Syarikat, dengan album pertamanya My Favorite Things mencapai kedudukan 174 pada tahun lalu. Dia juga menjadi artis kedua dari Indonesia yang berjaya di carta Billboard setelah Anggun. 
- Susunan SITI AISHAH

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati